Sejak dimahkotakan pemenang Gadis Panca pada tahun 2017, aura Siti Khadijah Halim terus bersinar. Gadis yang lebih mesra disapa Siti ini hadir dengan pakej raut wajah manis dan senyuman yang mudah memikat. Kemunculannya di layar skrin menonjolkan ketulenan dan karakternya. Dalam persaingan dunia seni yang sentiasa menyaksikan kemunculan wajah baharu, Siti yakin bahawa bakat dan minat yang tulus adalah kunci untuk terus kekal relevan menjadikannya antara pelapis muda yang menyerlah dengan pesona komersial serta mutu lakonan dikedepankan.
Namanya terus melonjak apabila berjaya dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 menerusi siri romantik komedi 'From Saga With Love'. Gandingannya bersama Ikmal Amry itu mencipta keserasian menghiburkan. Kini siri tersebut kembali dengan sekuel lebih mendalam memperlihatkan sisi watak Karma yang lebih emosional dan kompleks sekali gus membuka ruang baharu buat Siti menonjolkan kredibiliti dan kehalusan bakat lakonannya sebagai pelakon pelapis yang berkeyakinan serta menjadi pilihan.

Temu bual bersama Siti dimulakan dengan bicara tentang kesibukannya terkini. Dalam senyuman, dia mengakui jadualnya padat dengan penggambaran filem terbaharu berjudul 'Khadam' di bawah produksi Red Communications/Red Film, syarikat yang tidak asing lagi dengan deretan naskhah romantik komedi seperti 'Gol & Gincu', filem 'Istanbul Aku Datang' dan tentunya episod 'From Saga With Love' yang turut dibintangi Siti sendiri bersama Ikmal Amry, Sophia Albarakbah dan Fimie Don.
Apabila ditanya apakah yang membuatkan Siti yakin untuk tampil di hadapan kamera dan khalayak ramai setiap hari jawabnya ringkas, “Personaliti untuk menjadi lebih mesra dan disenangi sesiapa sahaja kerana apabila disenangi kita akan mudah membina keyakinan dalam diri dan kehidupan sekeliling.”

ELLE: Bermula sebagai pemenang Gadis Panca dan aktif di media sosial, sejauh mana Siti percaya bakat membuka banyak ruang kepada arah kerjaya?
Siti: Bakat hanya membantu kita menonjol dalam sesuatu platform tetapi minat yang mendalam menentukan sama ada kita diterima oleh orang ramai atau tidak sehingga mempunyai kumpulan sendiri. Tanpa minat sukar juga untuk kekal fokus dalam kerjaya.
ELLE: Jadi bagi Siti minat itu lebih penting?
S: Kedua-duanya harus bergerak seiringan. Saya melangkah masuk ke industri ini tanpa sebarang pengalaman juga, zero experience. Namun minat yang kuat membuatkan saya terus bertahan hingga hari ini. Masih ingat lagi saya belajar membaca skrip dan menghafalnya satu persatu. Paling penting jangan mudah putus asa atau rasa demotivated bila lakukannya. Jika kita gabungkan bakat dan minat ia akan membawa kita capai apa yang diinginkan.
E: Pernah bakat Siti dipersoalkan kerana ketika itu belum cukup dikenali?
S: Tentunya pernah. Orang kata lakonan saya kayu dan hingga ada yang pernah mempersoalkan kenapa lakonan Siti selalu terjerit-jerit. Pada Siti seorang pelakon itu hanyalah medium kepada skrip yang diberikan dan ditayangkan kepada umum. Jadi normal sahaja sebagai pelakon untuk bakat kita dipersoalkan sesiapa sahaja, terpulang kepada kita (pelakon) untuk mengubah persoalan orang ramai sebagai takrifan positif.
E: Jadi sebagai pelakon, Siti percaya bakat yang konsisten lebih bertahan berbanding menjadi tular dengan kontroversi sensasi?
S: Ye, betul. Orang tidak pernah nampak apa yang berlaku di sebalik kamera. Penonton hanya mengharapkan jalan cerita itu memenuhi tekak mereka sahaja. Kerja keras sebagai pelakon dan produksi untuk bekerja di belakang set penggambaran sebenarnya perlu diketahui juga.
Jadi bakat yang konsisten itu memang diperlukan untuk kekal relevan. Bukan tidak menghiraukan apa yang orang kata di luar sana tetapi untuk sleep better every night kita sebagai pelakon atau penggiat seni juga harus konsisten dengan bakat dan minat melalui cara sendiri.
E: Di media sosial, Siti pernah terkesan dengan komen tentang bakat atau minat.
S: Tipulah kalau tidak pernah terkesan baca dan cari nama sendiri. Manusia ini adalah makhluk tuhan atau kejadian yang selalu curious. Siti juga pernah search nama dan cerita sendiri. Saya tahu kadangkala saya akan sakit hati lebih-lebih lagi di awal kemunculan dahulu. Namun sekarang kini kita ambil yang baik-baik sahaja untuk protect my own feelings.
E: Pernah tolak tawaran kerana merasakan projek itu terlalu bergantung kepada populariti berbanding bakat atau minat?
S: Sebagai pelakon saya jarang tolak tawaran kerana setiap peluang itu adalah rezeki. Asalkan ianya tidak memudaratkan atau menyusahkan Siti, saya boleh terimanya dan gunakan bakat yang saya ada serta minat ini sebaiknya kepada haluan yang baik.


E: Jadi apabila di set, apa sebenarnya yang paling penting bagi Siti?
S: Siti akan cuba look on the bright side of every project. Walaupun sesetengah produksi kadangkala akan selalu cuba ride on populariti tetapi Siti percaya bakat dan minat itu akan dihargai apabila digunakan oleh seseorang pelakon sebaiknya.
E: Bagaimana pula Siti melihat generasi pelakon baharu adakah mereka terlalu dikejar tekanan membina imej di media sosial?
S: Mana-mana manusia tidak akan lari daripada sifat tamak, kita akan biasa terkejar-kejar oleh banyak perkara. Cumanya jangan terlalu tamak dalam kerjaya. Kalau rezeki itu untuk kita maka dia akan sampai pada kita juga. Untuk Siti sampai ke tahap ini juga memerlukan proses panjang dan mengambil hingga lapan tahun barulah dikenali orang ramai termasuk orang-orang dalam industri. Imej di media sosial itu boleh kita bina. Sekali lagi, number of followers boleh naik jika kita gunakan bakat dan minat sebaiknya.
E: Siapa tiga pelakon lelaki yang pernah digandingkan dan Siti rasa mereka betul-betul ada keseimbangan ideal antara bakat dan minat.
S: Mudah sahaja Ikmal Amry, Fimie Don dan Hun Haqeem. Siti selesa bekerja dengan mereka bertiga dan mudah menjadi kawan. Mereka juga sentiasa hormat each other tidak kira di dalam set atau di luar.

E: Yang belum pernah dapat peluang bergandingan. Siapa dan kenapa?
S: Teringin bekerja dengan Evertts Gomes! (tertawa).
E: Hari ini, Siti dilihat lebih berhati-hati dalam berkongsi soal peribadi. Adakah itu cara Siti mencipta personal space sebagai anak seni?
S: Siti bermula sebagai influencer dan YouTuber di internet. Jadi Siti banyak kongsi pelbagai perkara contohnya kisah ex-boyfriend dan pergi ke mana-mana pon dikongsi dengan peminat. Itu akhirnya jadi kesilapan diri sendiri. Apabila perkara itu seakan oversharing ramai orang mula compare personal life Siti.
Jadi daripada hal itu, Siti belajar benda baharu. Kita memang tidak boleh undo kalau kita sudah terlepas cakap atau tersilap lakukan perkara. Yang boleh kita lakukan cuma perbaiki diri dan sentiasa menjadi lebih baik di masa-masa akan datang.
E: Jadi adakah si dia juga sebahagian personal space yang tidak mahu dikongsi?
S: Betul. Bukan setakat selebriti sahaja orang biasa juga perlukan hal itu. Contohnya di tempat kerja, kita kena ada personal space untuk tenangkan diri supaya tidak akan serabut dengan perkara remeh. You do you kan?
E: Selepas lebih lapan tahun dalam industri, apa lagi yang belum Siti cuba?
S: Siti sangat ingin mula cuba dalam perniagaan F&B. Jika orang tanya where do you see yourself in 10 years? Jawapannya Siti akan berada di Jepun dan settle down di sana. Kita tidak pernah tahu aturan Tuhan bagaimana. Just do my best. Kalau tidak di Jepun mungkin ada perniagaan di Malaysia Siti sudah happy. Jika di Malaysia Siti mahu jual bingsu dan angan-angan saya di kedai bingsu itu semua pelanggan boleh take away. Cute kan?
E: Sepanjang lapan tahun ini juga, apa watak yang Siti impikan tetapi belum berpeluang untuk bawa?
S: Action! Sangat susah untuk dapatkan watak itu. Siti tahu kalau dapat watak itu kena sediakan diri dengan stamina yang kuat dan sentiasa bergerak pantas, banyak berlari dan sebagainya. Saya yakin boleh lakukan cumanya belum lagi ada peluang datang untuk challenge myself bawanya.
E: Berbeza tak Siti semasa 'Dia Yang Ku Cinta' dengan dalam 'Di Sebalik Reda'?
S: Sangat berbeza. Waktu ‘Dia Yang Ku Cinta’ itu Siti sangat baru dalam industri. Semasa datang ke set pun tidak pasti apa perlu mula buat dahulu, macam mana untuk bercakap dengan orang yang dandan rambut serta bagaimana mahu mulakan make-up juga Siti masih teragak-agak. Perbezaan itu sangat ketara kini dan inilah sebenarnya definisi matang dan keyakinan diri.

E: 'From Saga With Love' dikatakan menjadi dan menaikkan nama Siti. Mahu kongsikan tentangnya.
S: Semasa kecil Siti memang suka tengok pelakon di TV, internet dan sebagainya. Siti sangat suka apabila lihat ada selebriti itu dapat bawa pelbagai watak dengan ekspresi sendiri sehingga berpeluang berada di set sampai ke luar negara.
Semasa pihak produksi ceritakan yang pemilihan watak itu memerlukan beberapa proses tapisan dan beberapa nama namun akhirnya nama Siti yang dipilih, Siti sangat terharu. Sampai hendak menangis juga ada. Sejak projek itu Siti percaya bahawa rezeki itu luas untuk mereka yang berusaha dan watak itu memang diciptakan special untuk Siti.
E: Selepas kejayaan itu, adakah ia membuka lebih banyak peluang atau mengubah cara Siti dilihat dalam industri?
S: Iya betul. Apabila Siti buat projek itu ramai orang mula kata bahawa genre romantik komedi memang sesuai dengan karakter diri Siti. Tidak pernah terlintas di fikiran sekalipun kerana Siti masuk ke industri dengan goals bahawa untuk be happy dan cabar diri dengan segala watak yang boleh dibawakan.
Saya harap ramai pengarah di luar sana, produksi dan sesiapa sahaja yang membaca temu bual ini tahu bahawa Siti ini seorang yang mahu cuba lebih banyak watak lagi. Siti terbuka dengan apa sahaja peluang dan cadangan yang datang kerana sekali lagi Siti percaya rezeki itu tidak akan salah alamat lagi-lagi dalam industri hiburan dan kerja-kerja kreatif penuh cabaran ini.
E: Akhir sekali, apakah perasaan Siti dipilih sebagai wajah digital cover ELLE?
S: Excited! Mungkin dengan temu bual ini Siti akan dapat peluang yang lebih besar lagi nanti bekerja bersama-sama ELLE. Siapa tahu bukan?
Mengakhiri temu bual, Siti menyimpulkan bahawa dia bermula dalam industri hanya sebagai seorang gadis biasa yang yakin dengan bakat dan minat. Dia juga sempat berkongsi bahawa dia membesar dengan membaca majalah seperti ELLE dan pelbagai majalah antarabangsa. Dalam persaingan industri penuh cabaran, sentiasalah percaya bakat dan minat yang bergerak seiringan akan membawa kepada penempaan nama kepada segala hal baik dalam kehidupan.
