
Merentangi dua dimensi yang menggenggam teguh jati diri, namun ‘bersobat’ dalam membentuk ciptaan. Buat julung kalinya, Longchamp bergandingan tenaga dengan Gloverall mengikat tradisi menjadi seberkas kreativiti untuk dunia fesyen dan barangan kulit. Kerjasama yang menyeratakan juang pemeliharaan tradisi dan tidak menjauh jarak daripada kekinian.
Mengharung deras samudera, dengan pukulan gelora yang menghempas dan angkatan laut Inggeris pula gigih mencari tempat pelestarian. Mereka bersedia dalam seragam berbutang toggle, bentuknya longgar dan dilengkapi hud. Seragam kot ini adalah simbol ketahanan menentang dingin ketika perang. Seragam yang dikehendaki itu adalah kot duffel yang berbilang fungsi, yang asalnya direka untuk kegunaan dek kapal.

Tingkat kualiti kot ini diangkat oleh Harold Morris dan Freda Morris – mengolah bentuk, menyalin imej, meneliti sifat rekaannya dan mengenal strukturnya. Mereka menilai potensi yang ada pada kot duffel dari pelbagai perspektif, menerokai utility serta versatility bukan hanya untuk ketenteraan. Sinergi idea Harold dan Freda subur berkembang kepada terciptanya jenama Gloverall, yang memenangkan aspek kot dufel.
Keingintahuan jenama Longchamp menyusur laluannya ke binaan idea kot dufel. Longchamp berkelana jauh ; dalam bahasa ibaratnya, dari Perancis ke United Kingdom ; mahu mengerti benar dunia luar, terutama sekali kit dufel dan memilih Gloverall sebagai rakan kolaborasi. Longchamp membimbit matlamat untuk mengawankan budaya Perancis dengan identiti Inggeris Gloverall, namun tidak mahu ‘membelah’ kedua-dua kejatian diri. Longchamp membisikkan kehalusan kualiti buatan kulit serta keanggunnan Perancis, manakala sejarah ketenteraan dan sifat utility Gloverall masih belum usang ditelan zaman.
Umpama membuka ruang rantaian dialog antara dua budaya dan berbantukan gandingan Longchamp, Gloverall bergerak seiring sezaman. Lahirlah rangkaian himpunan Longchamp X Gloverall.
Sumber Ilham Longchamp x Gloverall : Toggle
“Paduan tenaga ini bertolak daripada ciptaan beg Le Roseau yang berilhamkan toggle kot dufel,” Sophie Delafontaine, Pengarah Kreatif untuk Longchamp melisankan sejarah rekaan beg ikoniknya. Sudah lebih tiga dasawarsa lalu, beg Le Roseau mengutip inspirasi butang toggle kot dufel dan tidak membasuh bersih citra ini. Sophie mencungkil sejarah permulaan rekaan ini dengan bekerja bersama Gloverall. “Mereka adalah artisan sejati dan kami mahu menyatukan keunggulan jenama Longchamp berserta hal-hal keindahan yang menjadi kegemaran kami,” Sophie menyambung bicaranya. Setiap perincian, setiap butiran dalam kolaborasi ini digarap dengan penuh cermat demi menghormati tradisi masing-masing – ia berkepanjagan sehingga ke pengolahan baharu labelnya yang terisi lambang French Tricolore dan Union Jack. Gloverall mengemudi biduk adat atau tradisi yang berkelantasan ke generasi masa kini, malah ini adalah cerminan yang sudah menjadi nilai kewibawaan jenamanya.

Pencinta Dufel
Sedari awal tahun 50-an lagi, permintaan Gloverall tiada takat lagi. Ia dicintai gerombolan peminat-peminat yang sejujurnya memandang kot dufel Gloverall seganding karakter atau personaliti mereka. Asosiasi Gloverall adalah individu-individu seperti Field Marshal Montgomery, Jean Cocteau dan Stanley Kubrick. Ia mengerik pemikiran jumud bahawa kot dufel bukan hanya untuk mereka yang sudah lanjut usia, namun telah diperturunkan gayanya ke pelbagai generasi, sampaikan sudah mendewasa menjadi sebahagian daripada budaya. Inspirasi seragam Royal Navy yang mengagungkan status ikonik ini akhirnya didukung oleh kelompok wanita.

Gloverall menggugah perspektif baharu tentang kot dufel, ia bertukar menjadi ideogram kebebasan serta keutuhan jiwa. Brigitte Bardot, Alexa Chung antara individu-individu wanita yang memodenkan kot dufel. Kot dufel tak perlu mengekor trend, sebaliknya ia mengungguli trend.
