
Makhluk mitos dan alam semula jadi sejak sekian lama menjadi sumber ilham seni, penceritaan dan pertukangan. Bagi Qeelin, rumah barang kemas mewah yang berakar pada warisan Timur, simbol-simbol abadi ini dihidupkan semula melalui lensa moden.
Memperkenalkan koleksi barang kemas 2025 yang mengetengahkan makhluk legenda kepada kilauan permata. Daripada keindahan halus rama-rama, keriangan tarian singa, keanggunan ikan emas dan keagungan naga dan burung phoenix. Setiap ciptaan bergema dengan simbolisme budaya.
Bambu & Rama-Rama

Melambangkan keteguhan dan integriti, bambu menjadi latar harmoni bagi koleksi Bamboo & Butterfly. Direka daripada emas putih 18K, simpulan bambu berhiaskan berlian pavé halus berpadu dengan rama-rama yang terbang indah. Badannya dibentuk daripada zamrud potongan marquise, manakala sayapnya bersinar dengan gradasi nilam hijau dan garnet yang berkilau mengikut cahaya. Setiap batu permata disusun tangan dengan teliti untuk menangkap gerakan kepak yang halus, sementara berlian pavé menambah cahaya gemilang.
Panda & Bambu

Ikon Qeelin, Bo Bo Panda kembali dengan habitat semula jadinya: bambu. Dalam koleksi Bamboo & Bo Bo, si panda berehat riang dalam ukiran emas putih 18K, dihiasi berlian pavé yang memantulkan kilauan di celah batang bambu. Daun bambu berwarna hijau zamrud menambah kedalaman dan kesegaran, menyerlahkan hubungan rapat antara panda dan dunianya.
Ikan Emas

Dalam budaya Timur, ikan emas melambangkan kekayaan dan keberkatan. Qeelin memperbaharui simbol ini melalui Qin Qin, di mana setiap bentuk diukir daripada emas kuning 18K, emas mawar 18K atau emas putih 18K. Lalu dihiasi dengan permata terang: safir jingga dan kuning, gradasi safir merah jambu dan delima. Pada dahinya, sebuah rubellite cabochon khas menjadi titik tumpu. Ekor yang boleh bergerak menghasilkan efek seolah-olah berenang di dalam air.
Tarian Singa

Tarian singa diangkat semula dalam koleksi Xi Xi. Setiap singa dicipta daripada emas 18K dan batu permata dengan kisahnya tersendiri. Rekaan pertama, daripada emas putih 18K, menyala dengan berlian pavé, delima dan zamrud potongan bujur di tengah. Rekaan kedua, daripada emas mawar 18K menampilkan wajah singa yang lebih feminin, dihiasi berlian dan delima. Manakala, rekaan ketiga paling mewah: emas mawar 18K berpadu dengan zamrud potongan bujur, delima marquise, jed dan berlian.
Naga & Phoenix

Simbol empayar kuasa dan keanggunan, naga dan phoenix berpadu dalam koleksi King & Queen. Setiap karya diukir daripada emas putih 18K, dihiasi gradasi delima, safir merah jambu dan berlian. Garisan berliku-liku menghidupkan tenaga api dan gerakan terbang, menyatukan simbolisme Timur dengan reka bentuk moden.
Wulu Shansui

Dalam Wulu Shanshui, landskap semula jadi menjadi tumpuan. Terinspirasi lukisan dakwat tradisional Cina, rekaan ini menggunakan teknik tebuk dengan emas 18K yang dihiasi lapisan berlian, safir, dan batu permata lain. Gunung, pokok dan bunga dihidupkan dalam butiran halus, sementara ruang kosong bertukar menjadi landskap puitis.
