
Tissot memperkenalkan edisi SRV, sebuah jam tangan terbaru yang datang dengan siluet bersegi dalam cerminan era 70-an yang sinonim dengan rekaan geometri. Ini merupakan kelangsungan pada penciptaan perdana yang diperkenalkan pada tahun 1975 yang ditafsirkan dengan sentuhan moden.
SRV menjadi satu penanda aras baru jenama jam tangan ini dalam menerajui keterampilan serba baru yang dianggap sebagai satu detik transformasi yang kekinian. Satu kempen baru dirakam bagi meraikan hayat baru SRV diberi nama Celebrate Every Facet yang dihidupkan dengan pengalaman baru buat penggemar siri jam tangan ini.

Paris Destinasi Keanggunan Tissot
Tiada destinasi yang lebih sempurna untuk meraikan keanggunan SRV selain di kota romatntis, Paris. Setiap sudut jalan penuh dengan gaya dan keindahan. Kempen Celebrate Every Facet berlangsung dengan penuh anggun di latar cukup ikonik ini.
Menampilkan model Agathe Teyssier, kempen ini dihidupkan menerusi siri sinematik yang mencerminkan sifat pelbagai dimensi wanita moden. Kempen ini mengubah detik harian menjadi potret wanita yang penuh keyakinan.
Keaslian, keyakinan dan hubungan yang tulus menjadi nadi pada naratif yang disusun. Di teras kempen ini terletak kepercayaan bahawa wanita tidak ditakrifkan oleh satu peranan atau satu detik. Mereka adalah satu kematangan yang dibentuk oleh pengalaman. Seperti SRV itu sendiri yang dihasilkan seperti permata dengan garis bersegi dan permukaan yang berkilauan. Lambang wanita moden yang sebenar.
