Lacoste bersenang-senang. Tidak mempercumakan peluang untuk keluar dari ‘gelanggang’ dan bertandang desa. Gagasan ini meriwayatkan himpunan musim bunga/panas 2025 jenama Lacoste, membesarkan rasa cinta pada semangat kebebasan yang diilhamkan oleh pengasasnya, René Lacoste. Lacoste bertualang, menempuh waktu ke buana silam percutian René Lacoste di sebuah pantai di Perancis.

Seraut wajah René Lacoste yang berkulit sawo matang, bertubuh tinggi terlihat beria-ria bercuti bersama rakan-rakannya menerusi foto arkib percutiannya. Semangat anak watan yang tidak berpergian jauh, sekadar ke pantai di Perancis cukup memadai buatnya. Bayangan keseronokan sebuah gaya hidup era 1920-an, di luar arena sukan yang penuh gelak tawa, keakraban dengan teman-teman serta nilai yang melawan pesimis membuahkan inspirasi buat Lacoste dalam membangunkan idea himpunan musim bunga/panas 2025.
Pengarah Seni Lacoste, Pelagia Kolotouros umpama menerawang di bingkai jendela ilham percutian René Lacoste, lalu menerapkan gagasan ini – masih memelihara warisan atletik Lacoste, seraya tidak menyisi nada stail Perancis moden. Keterserlahan aspek seperti rona-rona cerah, breezy silhouettes, semangat acuh tak acuh, aliran sensual serta mainan bijak transparency berpadu dalam menciptakan sebarisan himpunan rekaannya. Segala apa aspek ini berbancuh dengan profil seni bina bangunan era 1920-an yang memperkukuhkan lagi atribut rekaan kali ini.

Melanjutkan bicara tentang seni bina ini (tempat pementasan Lacoste musim bunga/panas 2025), ia menyenangkan lagi persepsi kita fasal himpunan Lacoste. Apalagi latarnya penuh dengan tumbuh-tumbuhan serta visual jeladeri yang disinari cahaya semula jadi. Bahagian tengah-tengahnya pula dilengkapi arca jaring berskala besar, sebagai tanda penghormatan buat simbol ikonik dalam sukan yang dihasilkan oleh artis Inggeris, Susie MacMurray.
Pelagia menaruh keseimbangan dalam rekaan-rekaannya. Antara aspek formal dan santai, semangat kesukanan dan kelapangan. Lantas, memperluas pemahaman kita tentang konsep pemakaian rekaan-rekaan Lacoste musim bunga/panas 2025 yang versatile. Ke pantai, seterusnya ke parti dan berhujung dengan aktiviti sukan hujung minggu? Siluet-siluet sensual, feminin dan sporty dimadukan lagi dengan butiran-butiran lisu, cut-outs serta perincian pakaian dalam. Rentak gaya-gaya lelaki bergabung padan dengan lambang susuk jijak René Lacoste bersut, bertepatan benar dengan aspek easy sportswear, dapper, dipadankan bersama konsep bahu lembut dan performance shorts.

Lacoste malah tidak menunda untuk menyelit suntikan moden pada pakaian mandi yang berteraskan gaya era 20-an serta 30-an. Pakaian mandi romper, beach wear dan pakaian dalam yang tidak menyelindung kulit dirangka sebagai helaian-helaian utama musim bunga/panas 2025. Naratif Lacoste musim ini diteruskan lagi dengan penerokaan Pelagia yang menggarap logo terkenal Maison secara kreatif dan mentafsirkan semula imej buaya Lacoste. Pelagia mengekspresikan ia dalam rupa taktil – bouclé jacquard, kemasan renda pada pakaian kait serta cetakan besar – dibalas dengan motif-motif mikro pada kemeja musim panas, pajama sutera dan sut trek berteknologi tinggi.
Lacoste malah berani memfesyenkan semula gaya sukan tenis, dengan menampilkan konsep neo-tenis. Pelagia mengolah kemeja polo ikonik Lacoste yang diubah menjadi kemeja-T, dress-dress evening serta skirt tenis. Dalam merekakan semua ini, Pelagia memandang rujukan arkib seperti bola tenis, raket tenis dan cetakan logo buaya yang direka oleh rakan karib René Lacoste sendiri yakni Robert George.
