
Daripada retinol yang sudah lama menjadi pilihan pencinta penjagaan kulit kepada peptida yang semakin mendapat tempat sentiasa memperkenalkan bahan aktif baharu yang menjanjikan kulit lebih sihat dan berseri. Kini, perhatian beralih kepada PDRN ataupun Polydeoxyribonucleotide, yang juga sering digelar sebagai salmon DNA. Kedengarannya sedikit luar biasa, namun popularitinya semakin meningkat, khususnya dalam kalangan Gen-Z yang sering bimbang ketinggalan perkembangan atau dikenali sebagai fomo dalam mana-mana trend terbaharu. Persoalannya, adakah PDRN sekadar trend media sosial atau benar-benar berpotensi menjadi bahan kecantikan masa hadapan?
Mengenali PDRN : Di Sebalik Fenomena Salmon DNA

PDRN ialah sejenis serpihan atau blok binaan DNA yang lazimnya diekstrak daripada sperma atau tisu DNA ikan. Dalam bidang perubatan dan estetik, PDRN telah lama dikaji kerana potensinya dalam menyokong pembaikan dan peremajaan kulit. Ia juga berfungsi untuk merangsang aktiviti fibroblas, meningkatkan peredaran mikro dan membantu kulit tumbuh semula secara semula jadi.
Dalam dunia kecantikan pula, bahan ini semakin dikenali melalui produk penjagaan kulit serta rawatan estetik. Antaranya termasuklah peningkatan keanjalan kulit, penghidratan yang lebih baik, tekstur yang lebih licin dan pemulihan yang dipertingkatkan selepas prosedur estetik. Namun, istilah Salmon DNA yang kedengaran menarik di media sosial tidak bermakna pengguna sedang menyapu DNA salmon secara terus ke wajah. PDRN ialah bahan yang telah diproses dan diformulasikan untuk kegunaan tertentu. Jadi, jangan biarkan nama uniknya sekadar menjadi alasan untuk mencubanya.
PDRN, Retinol dan Peptida : Setiap Bahan Ada Peranannya

Jika dibandingkan dengan bahan aktif popular lain, PDRN hadir dengan pendekatan yang berbeza. Retinol sebagai contoh, terkenal kerana keupayaannya menunda penuaan, mengatasi jerawat, memperbaiki tekstur dan memudarkan bintik hitam, tetapi penggunaannya boleh menyebabkan kekeringan atau iritasi terutama bagi kulit sensitif. Peptida pula lebih sinonim dengan sokongan terhadap kolagen, menyamarkan garis halus dan tanda penuaan, memperkuat skin barrier dan menjaga kelembapan. PDRN pula lebih banyak dikaitan dengan proses pemulihan dan sokongan terhadap keadaan kulit, menjadikannya menarik kepada mereka yang mahu memberi tumpuan kepada kelembapan dan penampilan kulit yang lebih sihat. Ini tidak bermaksud PDRN lebih hebat daripada retinol atau peptida. Sebaliknya, setiap bahan mempunyai fungsi dan kekuatan tersendiri, bergantung kepada keperluan kulit.
Pengaruh K-Beauty dan FOMO Gen-Z

Populariti PDRN juga tidak boleh dipisahkan daripada budaya K-Beauty dan pengaruh media sosial. Gen Z kini lebih celik tentang ramuan produk, gemar membaca label dan tidak lagi hanya membeli berdasarkan jenama atau pembungkusan. Istilah seperti skin barrier, glass skin, repair dan regenerative skincare mudah menjadi sebahagian daripada perbualan kecantikan digital. Ditambah pula dengan kandungan di TikTok, ulasan pencipta kandungan dan kemunculan produk PDRN daripada pelbagai jenama, bahan ini mempunyai faktor ingin tahu yang kuat. Namanya yang unik sahaja sudah cukup untuk membuatkan pengguna tertanya-tanya sama ada ia benar-benar berbaloi untuk dicuba. Namun, trend tidak seharusnya menjadi pengganti kepada pemahaman tentang keperluan kulit sendiri.
Trend Salmon DNA : Perlukah Pengguna Malaysia Mencubanya?
Bagi pengguna di Malaysia, PDRN sememangnya menarik untuk diterokai, tetapi tidak perlu terburu-buru mengikut trend. Cuaca Malaysia yang panas dan lembap menjadikan rutin penjagaan kulit yang ringkas, selesa dan konsisten lebih penting. Sebelum menambah PDRN ke dalam rak kecantikan, asas seperti pembersih yang sesuai, pelembap dan pelindung matahari masih tidak boleh diketepikan. PDRN mungkin mempunyai tempat dalam masa depan kecantikan, tetapi ia bukan ramuan ajaib yang mampu menyelesaikan semua masalah kulit. Buat masa ini, trend “Salmon DNA” mungkin lebih tepat dilihat sebagai satu lagi inovasi yang menarik untuk diperhatikan bukan sesuatu yang wajib dimiliki. Kerana pada akhirnya, masa depan kecantikan bukan sekadar tentang mencari bahan paling baharu, tetapi memahami apa yang benar-benar diperlukan oleh kulit.

