Mengimbau keindahan kecantikan klasik sambil menyingkap makna baharu kecantikan moden masa kini. Edisi kali ini membawa kita menyusuri perjalanan dari era 50-an hingga ke 2000an, meraikan transformasi dan evolusi pesona wanita melayu sepanjang zaman.
Konsep & Teks Amira Azman Arahan Seni: Iera Nadzlim Fotografi: Bibo Aswan Solekan: Khir Khalid Rambut: Philex Chin
Klasik Feminin

Era 50-an menyaksikan kemunculan biduanita negara pertama, Puan Sri Saloma, yang mempelopori gaya kening tinggi bersama bibir merah mungil, simbol kecantikan klasik yang abadi. Diadun pula bersama inspirasi rambut ikon Hollywood pada era yang sama, Marilyn Monroe. Cukup ikonik dengan gaya dandanan ‘Middy’ yang tidak lekang dek zaman.
Eksperimentasi Warna

Era 60-an diraikan dengan keberanian bermain warna. Rona pastel menghiasi kelopak mata, mencipta sentuhan lembut yang segar lagi feminin. Sosok Seniwati Sarimah Ahmad menyerlah sebagai lambang kejelitaan Melayu waktu itu. Tidak ketinggalan, pengaruh Twiggy dengan gaya mata besar dan bulu mata dramatik turut mencorak trend solekan tempatan, menandakan pertembungan indah antara Timur dan Barat dalam dunia kecantikan ketika itu.
Retro Disko


Era 70-an diraikan dengan cahaya parti dan irama dansa yang menggema di setiap penjuru. Noorkumalasari muncul sebagai figura ikonik, membawa pesona hangat melalui palet rona bumi dan sentuhan emas yang mewah. Rambut panjang mengurai menjadi simbol kebebasan, gaya yang seiring dengan semangat bohemia dan glamor seperti yang diagungkan Cher pada masa itu.
Bold & Berani


Rona-rona terang menjadi bahasa utama kecantikan di era 80-an ini. Think Madonna, think Raja Ema. Pembayang mata rona ungu ceria menghiasi kelopak mata, pembayang pipi dilayang tinggi di tulang pipi. Keyakinan terserlah di dalam setiap sapuan, segalanya tentang keseronokan serta energi yang tinggi!
Nostalgia Grunge

Era 90-an memperkenalkan pelbagai aliran solekan yang menarik, namun gaya grunge kekal paling diingati. Didorong oleh pengaruh dunia muzik ketika itu, solekan ini menonjolkan sisi raw dan unpolished, rona gelap pada mata dan bibir menjadi pilihan, mencipta aura edgy yang tersendiri.
Y2K

Dari tahun 2000-an hingga ke hari ini, aura Y2K terus hidup dalam dunia kecantikan. Glitters, shimmer, dan bibir berkilau glos menjadi tanda gaya ceria. Inspirasi daripada Britney Spears serta pesona manis Dato’ Sri Siti Nurhaliza, menggabungkan semangat pop Barat dan keayuan tempatan dalam satu gaya yang kekal relevan hingga kini.

