Langgan

Dior Circus of Dreams, Pop-Up Mesti Kunjung di Pulau Pinang!

Selamat datang ke Circus of Dreams, musim yang paling dinanti-nantikan, musim hujung tahun dengan banjiran hadiah-hadiah menarik dalam bungkusan edisi terhad. 
4 minit untuk membaca
Published: November 10, 2025

Selamat datang ke Circus of Dreams, musim yang paling dinanti-nantikan, musim percutian hujung tahun dengan banjiran hadiah-hadiah menarik dalam bungkusan edisi terhad. 

Dior Circus of Dreams membuka tirainya di penghujung tahun ini dengan dunia penuh magis, sebuah pentas berkonsepkan sarkas yang berkilauan di bawah langit berbintang. Bayangan ahli akrobat, kontorsionis dan artis trapez berputar lincah di pentas pertunjukan yang memukau, diserikan oleh kostum berona gemerlapan, cahaya serta warna-warni yang menari dalam suasana penuh keriangan.

Musim perayaan kali ini menjadi jemputan istimewa dari rumah kecantikan Dior, mengajak kita kembali menyelami keindahan zaman kanak-kanak, saat segala yang mustahil terasa mungkin, dan setiap detik dipenuhi keajaiban.

Menerusi koleksi percutian hujung tahun, keanggunan Dior diterjemah dalam pembungkusan yang indah, istimewa dan penuh kemewahan. Sekali lagi, artis Itali tersohor Pietro Ruffo diangkat sebagai tangan kreatif di sebalik rekaan corak koleksi eksklusif tahun ini, hasil seni yang mempesona dengan percikan emas, perak dan merah jambu, seakan menyeru aura magis dari mimpi sarkas yang abadi.

Seperti tradisi setiap tahun, kotak hadiah Dior tampil sebagai lambang keajaiban dan keanggunan. Setiap helaian reben putih dihiasi bintang keemasan, diikat rapi dalam simpulan elegan inspirasi Fontange, Dagger atau Butterfly. Sentuhan terakhirnya begitu memikat menerusi empat perhiasan rona emas eksklusif, diinspirasikan oleh dunia sarkas dan estetika rumah indah ini, melengkapkan persembahan hadiah yang bukan sekadar pemberian tetapi pengalaman penuh pesona.

Malle des Rêves, Advent Calendar Istimewa Tahun Ini 

Perayaan hujung tahun tidak akan lengkap tanpa kehadiran hadiah istimewa, sebuah kalendar advent yang menghidupkan kembali semangat memberi dalam gaya paling elegan. Tahun ini, Dior mempersembahkan kalendar edisi terhad bernombor, Malle des Rêves, sebuah khazanah yang wajib dimiliki pada bulan Disember ini.

Lebih mempesona daripada sebelumnya, kotak ikonik ini diolah semula menjadi sebuah coiffeuse couture yang luar biasa indah. Objek seni yang diperbuat daripada kayu halus ini diserikan dengan pemegang logam keemasan berbentuk bintang, simbol penghormatan kepada tema Circus of Dreams. Sentuhan Pietro Ruffo pula pada rekaan hiasannya yang terinspirasi daripada alamat legenda 30 Avenue Montaigne menjadikan Malle des Rêves bukan sekadar kotak, tetapi karya seni yang memancarkan keanggunan abadi.

Apabila dibuka dengan rapi, 24 laci tersembunyi menanti untuk diteroka, setiap satunya menyimpan rahsia ciptaan Dior daripada pilihan eksklusif La Collection Privée hinggalah aksesori couture yang menjadi lambang kemewahan sejati.

Dalam dunia olfaktori Dior, deretan Eaux de Parfum dan Esprits de Parfums mengundang anda menyelami haruman yang halus dan mendalam daripada La Collection Privée Christian Dior. Ritual kecantikan ini disempurnakan dengan semburan pewangi rambut yang tahan lebih lama, melengkapkan pengalaman aromatik yang penuh pesona.

Eksklusif juga buat musim ini, lilin beraroma “Piste aux Étoiles” hasil ciptaan Francis Kurkdjian, Pengarah Ciptaan Wangian Dior, menghangatkan lagi suasana perayaan dengan aroma badam karamel juga gula kapas, satu alunan manis yang membangkitkan nostalgia sarkas dalam bayangan bintang. Dibaluti dengan corak magis rekaan Pietro Ruffo, lilin ini menjadi lambang kehalusan seni dan deria.

Sebagai penghormatan kepada Monsieur Dior, sang couturier-parfumeur sejati, Malle des Rêves turut menampilkan Mitzah sutera twill hitam putih bermotif houndstooth ikonik buat pertama kali, dilengkapi sepasang subang elegan yang memancarkan pesona feminin yang klasik namun kontemporari.

The L’Or de J’adore Music Box

Tidak berhenti di situ, Dior turut mempersembahkan The L’Or de J’adore Music Box, sebuah kotak muzik eksklusif yang membawa kita ke dalam dunia miniatur Circus of Dreams. Untuk tahun kedua, keajaiban ini dihidupkan dalam skala kecil yang memukau dengan kehadiran khemah sarkas berkilauan, akrobat anggun, binatang miniatur yang menawan dan di tengahnya, L’Or de J’adore bersinar megah sebagai kemuncak glamor dan impian.

Pop Up Istimewa 

ELLE berpeluang terbang ke Pulau Pinang untuk menyaksikan sendiri keajaiban dunia Dior Circus of Dreams, pop-up eksklusif yang menjelmakan kemeriahan sarkas dalam gaya penuh glamor. Bertempat di Gurney Plaza, dari 31 Oktober hingga 16 November 2025, ruang ini menjadi destinasi wajib buat pencinta keindahan dan seni persembahan.

Jack Goh & Jane Chuck

Sejurus melangkah masuk, kami disambut dengan pertunjukan sarkas yang memukau, diiringi sorotan cahaya dan muzik yang membangkitkan suasana magis. Di tengah ruang, tersergam sebuah pokok Krismas setinggi tiga meter, dihiasi dekorasi bertemakan Dior, perhiasan berkilau, bintang keemasan dan sentuhan rekaan mewah yang seakan membawa kita ke dunia mimpi Christian Dior sendiri.

Pop-up ini bukan sekadar pameran kecantikan, tetapi satu pengalaman sensori yang menyeluruh. Selain menampilkan koleksi percutian edisi terhad, pengunjung diundang meneroka pelbagai ruang interaktif. Di ruang Dior Makeup, sesi konsultasi khas menggunakan koleksi percutian rekaan Peter Philips, Pengarah Imej dan Kreatif Dior Makeup, memberi peluang untuk mencuba look glamor sempena musim perayaan.

Lisha Ho

Sementara itu, di Dior Art of Gifting, pengunjung boleh menyesuaikan hadiah mereka sendiri dengan reben eksklusif yang dihiasi empat jenis ornament emas, setiap satu diinspirasikan oleh tema Circus of Dreams. Bagi mereka yang menghargai sentuhan peribadi, pop-up ini turut menawarkan servis ukiran nama pada botol haruman pilihan, menjadikan setiap pembelian satu kenangan yang unik dan bermakna.

Bagi yang terlepas pengalaman ajaib di Pulau Pinang, jangan bimbang. Dior Circus of Dreams akan meneruskan jelajahnya ke North Court, The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru dari 26 November 2025 hingga 4 Januari 2026. Sebuah peluang kedua untuk menikmati dunia penuh magis, di mana seni solekan, penjagaan wajah haruman dan kemewahan berpadu dalam satu persembahan yang mempesona.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down