
Ilham survival dalam filem menjadi idea yang sudah berulang banyak dalam pembikinan filem-filem Hollywood terutamanya. Sama ada ia menggugah cerita berkait unsur alam (127 Hours, Cast Away) mahupun sains fiksyen (A Quiet Place) kesemuanya berpaksi pada sebuah penghasilan cerita yang membuah tanda tanya penonton tentang pengakhirannya.
Netlix pengeluar filem penstriman terbesar hari ini antara yang semakin produktif dalam menghasilkan cereka beragam genre untuk penonton. Setelah 'Apex' yang cukup diperkatakan tahun ini, Netflix kembali dengan sebuah lagi thriller / sains fiksyen berjudul 'The Last House'.
Lebih menarik naskhah arahan Louis Leterrier ini menampilkan pelakon pelapis Hollywood yang sering terkait dengan filem-filem festival. Wagner Moura pemenang Anugerah Golden Globes bersama Greta Lee yang juga penerima pencalonan Golden Globes kemunculan debut lewat filem 'Past Lives'.
Berbekal dua nama besar ini sahaja sebetulnya Netflix sudah mampu menarik perhatian cinephile untuk menonton cereka ini. Namun cukupkah sekadar terampilan nama besar untuk menjadikan sesebuah karya itu bergerak sebagai sebuah filem yang baik, itu bukan jaminannya.

Bencana Yang Tak Dibicarakan
Naratif "The Last House" bergerak dengan penceritaan Jason yang merupakan seorang nelayan moden yang tinggal bersama isteri dan dua anaknya di di sebuah kawasan luar bandar. Kehidupan mereka sederhana seperti kebanyakan penghuni kejiranan mereka. Namun bencana hilang punca berlaku, kesemua keluarga yang tinggal di kawasan kediaman tersebut terjerat dalam rumah mereka sendiri.
Apa yang terjadi setelah itu adalah sebuah tanda tanya yang tak terjawab sehingga lima tahun lamanya mereka terperangkap. Lama bukan? Dan selama lima tahun terperangkap di rumah tersebut mereka jalani kehidupan seperti biasa sebagai watak survival di filem lain yang mengangkat tema serupa.
Tragedi demi tragedi terjadi, sehingga ekosistem bumi membelah resam dengan kemunculan makhluk asing yang entahkan dari mana datangnya cuba menguasi bumi (atau setidaknya kediaman mereka). Hal ini menimbul tanda tanya saya sebagai penonton kerana plot cerita ini tidak diperkemas dengan sebaiknya.
Saya tertanya dari mana datangnya makhul asing tersebut dan persoalan paling besar, mengapa hanya setelah lima tahun terperangkap di dalam rumah tersebut keluarga ini terfikir untuk keluar daripada zon itu? Kalau dihitung soal logik naratifnya begitu gagal dalam perkembangan sebuah cereka.
Banyak hal dalam filem ini tidak kukuh asas ceritanya. Mengapa alam begitu marah dengan bumi? Apa perkaitan hujan yang tidak berhenti dengan makhluk asing? dan mengapa Louis Leterrier tidak mengupas sudut pandang bencana dengan terperinci? Seperti yang saya katakan tadi asas ceritanya terlalu rapuh untuk ia bergerak sebagai sebuah naratif yang kuat.
Filem ini ada potensi besar untuk menjadi A Quiet Place meets Alien namun ceritanya tidak bertumpu pada sebab dan asbab mengapa bencana itu terjadi tetapi sang sutradaranya memilih untuk menghabiskan masa penonton dengan aktiviti kekeluargaan yang terperangkap dengan durasi panjang yang begitu menjemukan.

