
Dunia fiksyen semakin diraikan dengan bercambahnya penulis-penulis muda yang datang dengan ilham baru penulisan. Barisan naratif ditulis tahun ini bergerak sebagai sebuah pemikiran dan sudut pandang generasi masa kini. Musim panas datang lagi dan ini senarai baca summer reads yang wajib menjadi teman anda sepanjang tahun.
Yesteryear (Caro Claire Burke)
Satira thriller membawa kisah Natalie, seorang influencer 'tradwife' berprofil tinggi yang memaparkan kehidupan sempurna dan tradisional ala abad ke-19 di media sosial. Apabila dia tiba-tiba terjaga di era 1800-an yang sebenar, dia berdepan realiti gaya hidup itu yang kejam dan tidak romantik.
Famesick (Lena Dunham)
Lena Dunham kembali dengan memoir keduanya, Famesick. Kali ini dia meneroka pasang surut kemasyhuran sebagai selebriti, tentang penyakit kronik yang dialaminya serta bagaimana kritikan manusia memisahkan realiti. Banyak rahsia Hollywood dan kisah hitam yang dikongsi kali ini sebagai bahan bacaan.
Strangers (Belle Burden)
Novel yang digarap daripada essei yang ditulis Belle Burden berjudul Was I Married To A Stranger? ini mengangkat kisah kedewasaan pasangan yang melalui satu transisi dalam perhubungan. Turun naik dalam rumah tangga dikupas penuh emosi serta surreal.
Pool House (Mary H.K. Choi)
Mengisahkan tentang seorang wanita muda dan ibunya yang juga seorang pelakon, yang terpaksa berpindah ke pool house mereka semula setelah tiada lagi tawaran berlakon. Konflik tercipta pabila rumah tersebut juga harus dikongsi bersama dua lagi teman serumah yang bukan orang asing membawa pada kejutan luar duga dua beranak ini.
The Silverbook (Olivia Laing)
Mengambil latar di Itali pada tahun 1974 novel ini menelusuri dunia perfileman dan era “Years of Lead”. Ia berpaksi pada kisah Nicholas seorang lelaki muda yang menjadi kekasih dan pembantu kepada Danilo Donati, seorang pereka kostum terkenal untuk Pasolini dan Fellini. Fiksyen yang diolah daripada kisah nyata.
This is Where the Serpent Lives (Daniyal Mueenuddin)
Kisah bermula pada tahun 1955 tentang seorang penjual teh yatim piatu di bazar Rawalpindi. Naratif berkembang menjejaki kehidupan berbeza sebuah keluarga kaya serta lelaki dan wanita yang bekerja untuk mereka. Ia merupakan karya fiksyen yang merungkai perbezaan darjat dalam masyarakat yang kritis pada kritikan sosial.






