
Apabila Miu Miu melancarkan Literary Club di Milan tahun lalu, projek itu menandakan komitmen baharu terhadap budaya intelektual dengan mengambil inspirasi daripada warisan salon kesusasteraan Eropah. Tahun ini, Miu Miu Literary Club diperkenalkan buat pertama kali di Shanghai dengan tema 'A Woman’s Education' yang memberi tumpuan kepada tiga tokoh sastera wanita terkemuka: Simone de Beauvoir, Fumiko Enchi dan Eileen Chang.
Literary Club Shanghai berlangsung sebagai siri perbincangan yang mengupas topik-topik yang telah lama mendefinisikan penulisan wanita sambil mencabar jangkaan yang selama ini dikenakan ke atas mereka. Pembacaan puisi, prosa dan persembahan muzik pula menghidupkan suasana. Namun, inti penting acara ini tetap terletak pada sesi panelnya, tempat sastera dijadikan lensa untuk menilai semula makna kewanitaan.

Perbincangan pembukaan ‘Simone de Beauvoir: The Power of Self-Awareness’ menghimpunkan sarjana Cao Dongxue, Yuan Xiaoyi dan Zhang Pingjin untuk meneliti ‘The Inseparables’. Dialog mereka menegaskan sekali lagi pengaruh berterusan pemikir eksistensialis Perancis itu terhadap naratif persahabatan, keinginan serta pemahaman diri wanita.

Panel kedua ‘Fumiko Enchi: Love and Resistance’ yang menampilkan Yoshii Shinobu, Huang Yuning dan Ye Zi, memberi tumpuan kepada ‘The Waiting Years'. Perbincangan tersebut menjejak kos emosi dan sosial yang ditanggung seorang wanita apabila dia dipaksa mengorbankan keperluannya demi memenuhi tuntutan kuasa lelaki.

Namun, sesi penutup ‘Eileen Chang: Growth and Runaway’ menjadi detik yang cukup bermakna sepanjang acara. Bersama sarjana Zhang Xi dan novelis Di An, penulis dan wartawan Malaysia, Li Zishu, mengupas ‘The Fall of the Pagoda’ dengan pendekatan yang bukan sahaja mendalam tetapi juga kaya dengan resonans budaya.

Pemerhatian mereka terhadap watak Shen Pipa – remaja yang cintakan seni dan sastera sehingga berani melepaskan diri daripada cengkungan keluarganya – diterjemahkan melalui pemahaman tentang perjuangan wanita dalam dunia berbahasa Cina untuk mencapai autonomi intelektual. Melalui tafsiran ini, novel separa autobiografi Chang muncul sebagai potret transformasi, memperlihatkan bagaimana pertentangan antara tanggungjawab keluarga dan keinginan kreatif masih membentuk perjalanan penulis wanita hari ini.

