Merentasi genre pop, alternatif dan K-pop, karya-karya ini bukan sekadar menawarkan melodi yang mudah melekat di ingatan, malah membawa mesej tentang identiti, harga diri dan kekuatan wanita. Berikut enam girl power anthems pilihan ELLE yang wajar berada dalam senarai main anda tahun ini.
Girl Power Anthems pilihan ELLE
1. 'Petal' – Ariana Grande
'Petal' daripada Ariana Grande sekali lagi memperlihatkan sisi artistiknya yang lebih berani dan introspektif. Mengangkat tema tekanan serta proses mengenali kekuatan diri di sebalik segala penilaian luaran. Di dalam video muziknya menampilkan Ariana berdepan penolakan ketika menghadiri sesi uji bakat. Naratif tersebut memberikan gambaran tentang tekanan untuk memenuhi jangkaan industri hiburan, khususnya terhadap penampilan dan kebolehan seseorang wanita. Di sebalik imej yang sering dituntut sempurna, petal mengingatkan bahawa nilai seorang wanita tidak seharusnya ditentukan oleh penerimaan orang lain.

2. 'Housewife' – Tate McRae
Karya Tate McRae ini mencatat pencapaian memberangsangkan apabila debut di kedudukan pertama carta Billboard Global 200 dan Spotify Global. Lebih menarik, Tate turut mempersembahkan lagu ini di pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2026. Korusnya yang menyebut keinginan untuk memperoleh kekayaan sendiri dan menjadi housewife atas pilihannya, membawa perspektif bahawa wanita mampu mengejar kejayaan, membina kestabilan kewangan dan menentukan sendiri kehidupan yang ingin dimiliki. Menjadi seorang wanita bekerjaya serta menceritakan kehidupan domestik bukanlah sesuatu yang perlu ditentukan oleh jangkaan masyarakat.

3. 'Stop The Wedding!' – Ashe
Tular sebagai antara perbualan muzik di media sosial, 'Stop The Wedding!' oleh Ashe mengetengahkan sebuah naratif yang cukup menarik tentang keputusan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Menerusi lirik seperti “You can burn the dress, and run away”, Ashe menggambarkan bahawa sebuah keputusan tidak semestinya perlu diteruskan hanya kerana segala persiapan telah dilakukan dengan harapan orang sekeliling. Sebuah peringatan bahawa wanita juga berhak menentukan masa depan dan kebahagiaan mereka sendiri.

4. 'PINKY UP' – KATSEYE
KATSEYE menerusi single 'PINKY UP' yang dilancarkan pada 9 April 2026. Dengan susunan muzik yang bertenaga, elemen punk-pop dan karakter persembahan yang penuh keberanian, kumpulan ini membawa sisi wanita yang lebih ekspresif, bebas dan tidak takut menjadi perhatian. Menerusi mesej tentang keyakinan, kegembiraan dan keberanian menjalani kehidupan tanpa teragak-agak, 'PINKY UP' mengajak pendengar untuk tidak terlalu terikat dengan batasan yang ditentukan orang lain.

5. 'Nicole Kidman' – ADÉLA
Berani, glamor dan penuh karakter, ADÉLA menerusi 'Nicole Kidman' mempersembahkan sebuah karya yang meraikan keyakinan serta pesona seorang wanita. Lagu ini mengambil inspirasi daripada figura pelakon 'Nicole Kidman' menampilkan ADÉLA menghidupkan semula beberapa penampilan serta babak yang sinonim dengan perjalanan kerjaya Nicole. Lebih daripada sekadar penghormatan terhadap seorang figura terkenal, lagu ini meraikan wanita yang berani menonjolkan identiti, memiliki daya tarikan tersendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengesahan orang lain untuk berasa yakin. Satu bentuk ekspresi feminin yang tidak meminta izin untuk bersinar.

6. 'It’s Me' – ILLIT
Mewakili sisi K-pop dalam senarai ini, kumpulan wanita ILLIT hadir dengan 'It’s Me', sebuah lagu dengan sentuhan techno yang bertenaga serta melodi yang mudah melekat di ingatan, lagu ini membawa naratif tentang keberanian menyatakan perasaan tanpa terlalu memikirkan tanggapan orang lain. Mengisahkan perasaan selepas janji temu pertama, ILLIT memperlihatkan sisi wanita muda yang lebih yakin untuk mengambil inisiatif dan menyuarakan kehendak sendiri. Walaupun dipenuhi karakter muzik yang ceria dan bersahaja, mesej keyakinan yang dibawanya cukup dekat dengan generasi muda hari ini. Menjadikan diri sendiri juga bermula dengan keberanian untuk berkata, ‘It’s me!’.

Daripada kisah mengenali harga diri, kebebasan membuat pilihan sehinggalah keberanian untuk mengekspresikan identiti, lagu-lagu ini memperlihatkan bahawa girl power anthems hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak terikat pada satu naratif sahaja. Suara wanita tidak seharusnya diperkecilkan. Dan mungkin, inilah masanya untuk kita memperlahankan dunia seketika, memasang fon telinga dan membiarkan suara mereka bergema dengan lebih lantang.

