Langgan

The Runway Rundown: Momen Penting Dari Minggu Fesyen Haute Couture Paris Musim Luruh/Dingin 2026

Ikuti sorotan terbaik daripada pertunjukan haute couture musim ini.
Oleh | TERJEMAHAN Athirah Zahra
2 minit untuk membaca
Published: July 9, 2026

Giorgio Armani Privé

Gambar ihsan Giorgio Armani

Banyak pertunjukan haute couture musim ini membawa kita mengembara ke dunia penuh kemewahan, menggabungkan fantasi dan alam semula jadi. Namun, Silvana Armani memilih untuk membawa kita ke dalam ruang yang tertutup, meneroka suasana intim sebuah boudoir peribadi - ruang di mana wanita dapat menikmati proses bersiap sebagai satu ritual yang sangat peribadi.

Potongan tailored yang lembut menyerlahkan sensualiti, seluar sut berpotongan santai dipadankan bersama blazer berhias permata serta jaket bolero berjumbai yang kaya dengan tekstur. Sementara itu, busana-busana yang layak menghiasi karpet merah Oscar memancarkan glamor sofistikated, direka dalam palet after-dark (gelap) yang menampilkan rona permata gelap, dihidupkan menerusi fabrik baldu mewah dan sutera berkilau.

Ini merupakan pertunjukan solo kedua pereka itu semenjak mengambil alih empayar fesyen yang dibina oleh mendiang bapa saudaranya. Pada masa yang sama, ia mengesahkan bahawa dia tidak berhasrat untuk melakukan pembaharuan kreatif secara menyeluruh. Sebaliknya, dia terus mengembangkan bahasa reka bentuk yang menjadi identiti Giorgio Armani.

Chanel Couture

Gambar ihsan Chanel

Pada hari Selasa, Matthieu Blazy memperkenalkan bab terbaharu dalam kisah dongeng haute couture yang dihasilkannya di Chanel. Pokok willow dan cendawan toadstool merah jambu yang menghiasi musim lalu digantikan dengan pokok menjalar subur dan bunga-bunga gergasi dalam rona kaleidoskop yang memukau. Ia seperti mewujudkan satu lagi latar bagi koleksi yang penuh fantasi bak mimpi dalam meraikan savoir-faire Chanel.

Kisah-kisah dongeng yang membesar bersama kita: 'Jack and the Beanstalk', 'The Ugly Duckling' dan 'Goldilocks and the Three Bears' - menjadi titik permulaan buat Matthieu selepas dia menemui sebuah buku cerita dongeng di perpustakaan Gabrielle Chanel. “Saya bertanya kepada diri sendiri sama ada kami mampu menghasilkan busana yang mampu bercerita seperti sebuah buku bersama atelier haute couture,” katanya.

Namun, fantasi dalam koleksi haute couture Matthieu benar-benar dihidupkan menerusi perincian. Daripada fabrik, sulaman, lapisan hingga ke appliqués, ia mengubah sesuatu yang biasa menjadi sesuatu yang luar biasa. Koleksi itu sendiri, berteraskan siluet ikonik Chanel, tampil boleh digayalan, sesuatu yang jarang dikaitkan dengan haute couture. Bagi Matthieu, sama seperti Gabrielle Chanel, terdapat nilai fungsi yang terselit dalam fantasi. Itulah sebahagian daripada perkara yang menjadikan koleksinya tampak begitu bersahaja, namun tetap terasa begitu memikat.

Dior Couture

Gambar ihsan Dior

Pengarah Kreatif Christian Dior, Jonathan Anderson ialah pereka yang paling diperkatakan sepanjang hujung minggu lalu selepas pendedahan bahawa dialah yang bertanggungjawah untuk busana perkahwinan Taylor Swift dan Travis Kelce di perkahwinan mereka di Madison Square Garden pada 3 Julai. Tidak, kita masih belum melihat gambar-gambarnya, tetapi itu tidak menghalang keterujaan tentang fakta yang pengantin perempuan itu memakai Dior! Dan, itulah yang dianggap sebagai sebuah perkahwinan diraja bagi versi Amerika.

Kegilaan peminat itu boleh dianggap sebagai sejenis 'pep rally' untuk persembahan couture kedua pereka tersebut di Paris pada hari Isnin. Untuk pertunjukan kali ini, Jonathan mengalihkan perhatiannya kepada seorang lagi figura dari Amerika: artis dan pengarca Lynda Benglis, yang kembali bekerjasama dengannya untuk menghasilkan beg-beg bagi koleksi tersebut (mereka pernah bekerjasama sebelum ini ketika Jonathan masih di Loewe). Pengaruh artis itu turut terserlah dalam rekaan busana dengan lipatan lamé metalik serta kipas besar berhias bunga yang menghiasi busana sutera labuh berpotongan ketat. Pertunjukan itu diakhiri dengan busana putih indah yang sesuai untuk perkahwinan kisah dongeng, sekali gus meningkatkan lagi keterujaan dalam menantikan pendedahan busana Taylor.

Artikel diterjemah daripada ELLE UK

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down