
Sentiasa menjadi sorotan di mana-mana acara fesyen, rapper yang kini juga style-setter, A$AP Rocky, kini secara rasmi mewakili Chanel sebagai duta jenamanya. Rumah fesyen Perancis itu mengumumkan kerjasama tersebut hari ini, menyatakan “bakat, rasa ingin tahu dan kreativiti tanpa batas” sebagai ciri-ciri yang menjadikan Rocky padanan sempurna untuk Chanel.
“Rocky ialah seorang artis luar biasa yang mencurahkan seluruh jiwa dan raganya dalam setiap projek yang dia sentuh, selain menjadi seorang insan yang hebat,” kata pengarah artistik, Matthieu Blazy, dalam satu kenyataan.
Matthieu menambah, “Pemuzik, pelakon, bapa, rakan… dia membawa begitu banyak nilai dan sentiasa menghamparkan kebaikan. Kami amat berbesar hati menyambutnya ke Chanel dan saya sendiri teruja untuk bekerjasama lagi.”
Kaguman itu nyata saling berbalas. Mengulas tentang Blazy, Rocky berkata, “Imaginasi Matthieu sedang menggerakkan fesyen ke hadapan. Rekaannya mempunyai sensitiviti dan kekuatan; ia berpijak pada realiti namun pada masa yang sama sentiasa mengundang keajaiban. Saya sangat teruja melihat arah baharu Chanel bersamanya.”

Pada akhir Oktober, Rocky dilihat menjalani penggambaran bersama pelakon Margaret Qualley di jalanan New York City untuk sebuah “projek rahsia Chanel.”
Tahun ini menjadi antara yang paling bermakna buat artis serba boleh itu, yang baru sahaja menyambut kelahiran anak ketiganya, Rocki Irish Mayers, bersama pasangannya, Rihanna. Rocki melengkapkan keluarga kecil mereka bersama dua anak lelaki, RZA dan Riot Rose. Rocky turut membintangi dua filem, ‘If I Had Legs I’d Kick You’ dan ‘Spike Lee’s Highest 2 Lowest’. Pada bulan Oktober dia dinobatkan sebagai Ikon Fesyen 2025 oleh CFDA.
Pengerusi CFDA, Thom Browne, berkata mengenai pengiktirafan itu, “A$AP Rocky ialah ikon fesyen dalam erti kata paling tulen. Dia seorang yang benar-benar unik… pendekatan fesyennya yang asli menginspirasikan saya, dan begitu ramai lagi, untuk berfikir di luar kebiasaan.”
Rocky pernah memberitahu The New York Times bahawa dia “tidak pernah berhasrat menjadi pereka fesyen,” namun jelas pakaian merupakan salah satu minatnya dan sesuatu yang dikuasainya dengan cemerlang. Sebagai ketua bersama Met Gala 2025, Rocky tampil dalam rekaan daripada agensi kreatifnya, AWGE, sebagai penghormatan kepada kot Marmot. Busana itu dipadankan dengan kasut oxford Christian Louboutin hasil kerjasama bersama AWGE serta perhiasan Bulgari.
“Marmot adalah tradisi Harlem. Musim sejuk, semua orang ada kot Marmot,” katanya kepada Vogue. “Itu jaket zaman remaja kami.”

Rocky dan Rihanna juga dikenali kerana sentiasa mencuri perhatian di setiap permaidani merah yang mereka jejaki. Pasangan itu kerap bergurau mengenai kecintaan mereka terhadap fesyen dan tabiat ‘mencuri’ pakaian satu sama lain.
Dalam episod Mei 2025 podcast ‘Vogue’s The Run-Through’ Rocky berkongsi tentang gaya peribadinya, “Bro, maaf bahasa, saya buat apa saja yang saya nak. Saya mahu mewakili, saya mahu menjadi pemangkin kepada lelaki yang berani.”
Dia menambah, “Saya tak tahu siapa yang memisahkan feminin daripada maskulin, maaf. Saya tak tahu siapa yang melukis garis itu, tapi bagi saya tidak ada batasnya.”
Rihanna pula pernah berkongsi bagaimana Rocky menginspirasikannya untuk berpenampilan lebih bergaya setiap hari. “Saya nak naik kapal terbang. Patutnya kita pakai sweater saja. Dia nak pakai sut Bottega penuh. Saya macam, ‘Kenapa nak buat aku macam ni?’” katanya sambil ketawa.

Namun dalam temu bual bersama ELLE, Rocky menjelaskan bahawa keutamaan sebenar dalam hidupnya ialah keluarga. “Apa yang benar-benar ‘fly’ adalah membesarkan keluarga, bro, dan mencintai mereka. Ada untuk mereka,” katanya. “Bila balik rumah, semuanya tentang keluarga, tentang hubungan, tentang rumah tangga. Bukan pasal benda lain.”
Artikel asal daripada ELLE US.

