Marilyn Monroe melenggang manja di platform kereta api dalam filem ‘Some Like It Hot’ pada tahun 1959. Melanie Griffith berulang-alik ke Manhattan dalam ‘Working Girl’ pada tahun 1988. Kate Moss bergaya minimalis di karpet merah pada tahun 1997. Michelle Obama pula memukau dalam rona terang J Crew di White House sekitar tahun 2008. Christina Hendricks sebagai Joan Holloway dalam ‘Mad Men’. Skirt pensel telah menjadi sebahagian daripada sejarah fesyen dengan dominasi skirt midi sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini — ditambah pula dengan kebangkitan semula gaya mini seperti bubble skirt. Ia kini lebih dianggap sebagai: a thing of the past.
Tetapi musim ini segalanya berubah. Skirt pensel kembali mencuri perhatian. Lihat Rihanna yang sedang hamil berjalan penuh yakin dalam rekaan Prada ketika hujan sebelum Met Gala atau Daisy Edgar-Jones yang tampil anggun dengan rekaan berkilau Gucci dalam rona pistachio di SXSW awal tahun ini. Kebangkitan ini disokong oleh pentas fesyen musim luruh/dingin 2025: Saint Laurent menampilkan skirt paras lutut dengan potongan tirus yang dipadankan bersama jaket bahu besar, diinspirasikan oleh gaya ikonik pengasasnya pada era 1980-an.
Di pentas lain, ia hadir dalam gaya bersaiz besar berinspirasikan vintaj di Prada, kemas dan berpotongan tailored oleh Sarah Burton di Givenchy, digandingkan dengan bra dan stoking 10-denier di Ludovic de Saint Sernin, serta gaya klasik pertengahan abad di Emilia Wickstead. Sementara itu, jenama New York seperti Tory Burch dan Calvin Klein meraikan warisan gaya korporat bandar dengan memadankan skirt pensel bersama jaket sedondon dalam rekaan semula skirt-sut. Dan begitulah, skirt pensel yang suatu ketika dahulu hanya dianggap sebagai gaya retro, kembali menjadi sebahagian daripada perbualan budaya fesyen semasa.
“Ia adalah satu risiko besar,” kata Ludovic tentang keputusan untuk memasukkan rekaan skirt pensel dalam koleksinya. Sebelum ini, Saint dikenali dengan rekaan yang sangat pendek atau labuh mencecah lantai. “Saya tertanya-tanya, adakah sesiapa akan menggemarinya? Adakah wanita akan menyukainya?” Namun, skirt pensel itu akhirnya muncul sebagai item paling laris musim ini. Para pembeli benar-benar jatuh hati padanya.
Keberhasilan skirt pensel mungkin boleh dijelaskan dengan faktor mudah: ia adalah potongan klasik, mempunyai warisan tersendiri, namun juga serba boleh. Ia dapat digayakan dengan kasut tumit tinggi dan kemeja poplin atau dipadankan dengan kasut Speedcats dan baby tee yang juga tampak sama menarik. Emilia Wickstead sendiri mempunyai skirt pensel sebagai item wajib dalam almari pakaiannya. “Saya suka bagaimana ia membuatkan saya rasa kemas, teratur namun tidak kaku,” katanya. “Anda boleh memakainya dengan baju kait ringkas atau kemeja kemas dan ia pasti akan tetap berhasil,” tambahnya lagi.
Saya sendiri boleh mengesahkannya. Skirt pensel bercorak pinstripe setia menjadi pilihan item wajib dalam rotasi gaya saya; ia berjaya bertahan daripada sesi pembersihan almari selama hampir sedekad. Kay Barron, pengarah fesyen di Net-A-Porter, turut sependapat. “Walaupun skirt pensel bukanlah sebahagian daripada pakaian harian saya, saya memiliki satu rekaan kegemaran daripada Victoria Beckham yang sering saya gayakan pada musim luruh dan sejuk,” katanya. “Ia adalah skirt hitam klasik yang biasanya saya padankan bersama baju cropped berleher turtle daripada Norma Kamali.”
Berakar daripada skirt hobble (dinamakan sedemikian kerana potongannya yang terlalu sempit sehingga menyukarkan pergerakan) pada awal abad ke-20, skirt pensel paras lutut mula dipopularkan pada era 1950-an oleh pereka seperti Christian Dior dan Cristóbal Balenciaga. Bintang Hollywood seperti Marilyn Monroe, Audrey Hepburn dan Grace Kelly pula menjadi ikon gaya baharu ini. Skirt tersebut kembali mendapat perhatian pada era 1980-an apabila pereka seperti Saint Laurent, Giorgio Armani dan Emanuel Ungaro menjadikannya tunjang utama bagi gaya power dressing.
Kay menganggap sejarah skirt pensel sebagai satu kelebihan untuk masa kini: “Daripada mengelak elemen retro, lebih menarik jika diraikan apabila ia adalah trend ini.” Bagi Ludovic pula, potongan skirt tersebut terus merujuk kepada memori awal fesyennya. “Salah satu koleksi yang mempengaruhi rekaan saya adalah koleksi Prada musim bunga/panas 2009, dengan semua padanan bra dan skirt. Ia sangat ikonik.” Dan, rujukan dalam moodboard-nya? Victoria sekitar tahun 2014. “Dia sering tampil dengan gaun paras lutut dan kasut platform besar. Ia cukup mewakili era yang saya lalui ketika membesar.”
Tentunya, ini bukan sekadar perjalanan nostalgia. Skirt pensel hari ini tampil dengan kemas kini yang lebih kreatif, sama ada melalui potongan di Prada atau tekstur di Tory Burch. “Kami menyulam skirt kait agar kelihatan seperti tweed dan menambah tali serut pada pinggang untuk gaya mohair berbulu,” jelas Tory Burch. Semua ini lahir daripada semangat baharu. “Wanita kini sedang mendefinisikan semula makna ‘klasik’ mengikut perspektif mereka sendiri,” tambahnya.
Legasi skirt pensel semakin kukuh melalui peranannya dalam filem dan TV, khususnya dalam drama pejabat, genre yang semakin mendapat perhatian. Momen ikonik seperti Nicole Kidman di sebuah rave dengan masih menggayakan pakaian kerjanya dalam ‘Babygirl’ atau Britt Lower sebagai Helly R dalam ‘Severance’. Ia turut membakar inspirasi bagi estetika ‘corpcore’, seperti yang dipersembahkan dalam pertunjukan Stock Exchange Balenciaga pada tahun 2023 dan gaya bertali leher yang ditampilkan bintang seperti Ayo Edebiri dan Chappell Roan. Sebagai gaya klasik pejabat, skirt pensel dijangka menjadi item fokus yang seterusnya. Malah, Ludovic menamakan koleksinya sebagai ‘The Interview’. “Ia tentang power dressing dan berpakaian untuk mendapatkan pekerjaan yang anda idamkan,” katanya.
Pereka tersebut turut merujuk kepada ‘All’s Fair’, drama perundangan arahan Ryan Murphy yang bakal menemui penonton pada musim luruh ini, malah turut menjadi satu lagi sumber inspirasi baharu. Siri ini dibintangi Kim Kardashian, Naomi Watts dan Niecy Nash - berdasarkan pratontonnya, skirt pensel jelas memainkan peranan penting. “Watak-wataknya adalah wanita profesional yang berjaya, namun berani dalam pilihan fesyen mereka,” jelas pereka kostum Paula Bradley. “Siluet skirt pensel meraikan bentuk tubuh wanita, merangkumi segala kritikan daripada simbol penindasan sehinggalah lambang kuasa feminin tertinggi,” katanya. “Dalam ‘All’s Fair’, ia terasa benar-benar moden.”
Bagi Paula, wajar jika wanita kembali menggayakan skirt pensel dalam kehidupan sebenar. “Berbeza dengan masa lalu, saya rasa kita akan mengadaptasi gaya ini bukan lagi demi pandangan lelaki, tetapi dari sudut bahawa sifat feminin itu sendiri adalah berkuasa,” jelasnya. “Wanita kini berpakaian untuk diri sendiri dan juga untuk wanita lain, perkara itu semakin jelas kelihatan dalam fesyen.” Secara keseluruhan, daya tarikan skirt pensel ini terletak pada asas rekaannya. “Kita sedang merindukan keterus-terangan,” kata Emilia. “Skirt pensel bersifat terus terang, ia tidak berlebih-lebihan. Ia tidak terlalu rumit namun menyampaikan pelbagai makna. Dalam momen yang penuh dengan bunyi dan gangguan, siluet ini menghadirkan fokus. Ia bagaikan reset visual.”
Skirt pensel di pentas peragaan
1. Bally

2. Alaïa

3. Blumarine

4. Elie Saab

5. Fendi

6. Ferrari

7. Gucci

8. Jil Sander

9. Ludovic de Saint Sernin

10. Miu Miu


