Langgan

Pereka Fesyen Tersohor Itali Giorgio Armani Meninggal Dunia

Pereka yang menghidupkan semula seni jahitan moden sambil membentuk semula wajah fesyen kontemporari.
Oleh | TERJEMAHAN Sarah Hani Jamil
3 minit untuk membaca
Published: September 5, 2025
Giorgio Armani Meninggal Dunia
Gambar: Launchmetrics Spotlight

Giorgio Armani, bapa fesyen Itali yang mentakrifkan semula jaket klasik untuk era moden dan membantu menjadikan Milan sebagai salah satu daripada empat ibu kota fesyen utama, telah meninggal dunia, menurut pekerja dan keluarganya pada 4 September. Nalurinya untuk membuang lapisan dan struktur dalaman yang secara tradisional memberikan potongan pakaian bentuk tegar telah meniupkan nafas baharu ke dalam busana lelaki tradisional dengan memperkenalkan pakaian ibarat "kulit kedua" yang membolehkan lelaki dan wanita bergerak bebas. Dia berusia 91 tahun.

“Saya membina seluruh karya saya berdasarkan jaket,” renung Armani dalam dokumentari pendek ‘Made in Milan’ arahan Martin Scorsese. “Ia adalah titik permulaan saya untuk segalanya.” 

Giorgio Armani S.p.A., syarikat yang diasaskannya bersama mendiang rakan kongsi Sergio Galeotti pada tahun 1975, di mana dia kekal sebagai pereka dan ketua eksekutif selama 50 tahun sehingga saat pemergiannya, berkembang menjadi jenama gaya hidup global. Daripada jenama seluar jeans Armani Exchange sehingga haute couture Armani Privé, termasuk Hotel Armani dan Kafe Armani yang dilengkapi perabot Armani/Casa.

Armani mendaftar di Universiti Milan pada 1953 untuk belajar perubatan, tetapi berhenti selepas dua tahun dan menyertai tentera. Sekembalinya ke Milan pada 1957 setelah tamat perkhidmatan wajib, seorang rakan membantunya mendapat kerja di gedung La Rinascente, di mana dia menghabiskan hampir sedekad mempelajari asas industri, bermula sebagai penyusun tingkap pameran sebelum menjadi pembeli pakaian lelaki. Pada 1965, Armani bekerja sebagai pereka untuk barisan pakaian lelaki Nino Cerruti, Hitman, dan mula melakukan “eksperimen pembedahan” dalam dekontruksi fesyen yang diteruskannya pada dekad berikutnya di labelnya sendiri.

Giorgio Armani Meninggal Dunia
Gambar: Launchmetrics Spotlight

Pelancaran koleksi pertama pakaian lelaki dan sedia-pakai Giorgio Armani untuk Musim Bunga/Panas 1976 merupakan detik yang sangat penting dalam sejarah fesyen. “Terdapat kedutan pada jaket baharu Armani yang disengajakan, tetapi pada masa yang sama wujud rasa mewah santai yang mengujakan,” tulis Patrick McCarthy, editor Women’s Wear Daily. Apa yang kemudiannya dikenali sebagai “penampilan Armani” meramalkan pelbagai arus fesyen kontemporari daripada androgini dan athleisure kepada slow fashion dan quiet luxury. Pada 1982, Armani menjadi pereka fesyen pertama menghiasi kulit majalah Time sejak Christian Dior memperkenalkan “New Look” suku abad sebelumnya.

Armani sering berkata bahawa laluan kerjaya lain yang ingin diterokanya ialah pengarahan filem dan dia adalah antara pereka terawal memahami kekuatan pemasaran Hollywood. Dia mereka jaket linen kelabu-beige yang dipakai Diane Keaton ketika menerima Oscar Pelakon Wanita Terbaik pada 1978. Armani juga mereka sut Richard Gere untuk filem ‘American Gigolo’ (1980) yang melonjakkan nama pelakon itu. Helen Mirren, Julia Roberts, Glenn Close, Jodie Foster dan Michelle Pfeiffer semuanya pernah menyarung tuxedo rekaan Armani di karpet merah. Namun, dia bukan sahaja mahir dalam rekaan sut. Gaun tulle ringkas bertatah manik berkilauan, satu penghormatan pada minatnya terhadap Art Deco, mewakili glamor serius dan menjadi pilihan tetap untuk tayangan perdana filem dan majlis anugerah. “Dalam pakaian Armani, saya tidak kehilangan identiti saya,” kata Glenn Close.

Giorgio Armani Meninggal Dunia
Getty Images

Pengkritik kadangkala berkata bahawa apabila menonton pertunjukan fesyen Armani, sukar untuk menentukan tahun bila ia dihasilkan. Namun, itu memang disengajakan. Giorgio Armani tidak berminat mengikut trend bermusim. Sebaliknya, dia percaya pada rekaan yang abadi sesuatu yang akhirnya terbukti bijak apabila industri fesyen mula sedar tentang sifat pembazirannya. Dalam surat terbuka pada tahun 2020, dia menjelaskan bahawa tidak masuk akal bagi jaket atau sut rekaannya hanya berada di kedai selama beberapa minggu sebelum digantikan dengan sesuatu yang hampir sama. Dia enggan bekerja dengan cara itu dan menganggapnya tidak bermoral. Baginya, keanggunan sebenar adalah sesuatu yang abadi dan pakaian sepatutnya dibuat untuk tahan lama.

Artikel asal daripada ELLE UK.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down