Langgan

Kod Gaya Preppy Baharu

Kod collegiate kembali dalam agenda fesyen musim ini, tetapi dalam cara berbeza. Trend ini diolah semula secara bebas dan jauh lebih inklusif, tulisan Laura Craik.
Oleh | TERJEMAHAN Athirah Zahra
5 minit untuk membaca
Published: June 30, 2026

Adakah anda kembali menyelongkar kemeja polo lama anda? Atau mula menggemari sepasang kasut plimsoll? Atau tiba-tiba tertarik dengan skirt berlipat selepas beberapa musim menggayakan seluar panjang? Tahniah! Anda sudah terjebak dengan fenomena Preppymania, trend musim bunga paling memikat, muncul sepantas balingan bola antara Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner. 

Seperti punk, hippy atau mod, gaya preppy adalah satu trend yang sarat dengan konotasi budaya; akarnya sangat mendalam, bertentangan dengan gaya ‘Tomato Girl Summer’. Walaupun sering dianggap berasal dari Amerika, preppy sebenarnya berakar daripada kehidupan aristokrat British, khususnya di sekolah persediaan elit atau ‘prep schools’. Kod gayanya memikat golongan pemuja Inggeris di universiti Ivy League pada awal abad ke-20, lalu diadaptasikan sebagai gaya mereka sendiri. Keseluruhan gaya menghasilkan gabungan pengaruh kolej British dan pakaian sukan Amerika — dibentuk oleh aktiviti kampus seperti tenis, rowing dan golf, termasuk uniform masing-masing. Item asas merangkumi blazer (markah tambahan jika ada kemasan piping), baju panas rajutan, kemeja polo, jersi ragbi, seluar chinos atau khakis, skirt berlipat, stoking paras buku lali, loafer dan kasut plimsoll yang begitu kemas.

Preppy Generasi Kini

Walaupun gaya preppy mempunyai sejarah menyenangkan berbanding trend mikro seperti cottagecore atau frazzled English woman (yang cepat berlalu), ia tidak bermaksud terlepas daripada pengaruh global, meskipun sudah wujud lebih seabad sebelum era TikTok. Malah, tiada satu pun trend yang kebal daripada menjadi estetika viral Gen Z dan akibatnya, preppy kini membawa maksud yang lebih liar dan lebih bebas berbanding dahulu. Peraturan lama kini sudah dilonggarkan — sesuatu yang mungkin tidak disenangi oleh golongan puris, namun para peminat berpendapat itulah yang menjadikan preppy kali ini lebih menarik.

Lihat palet warna versi baharu gaya preppy. Ia sudah tidak lagi terhad kepada warna beige, putih, krim dan navy. Sebaliknya, rona-rona terang dan berani menjadi pilihan utama kini. Perkara ini paling jelas dilihat di Lacoste, di mana pengarah kreatifnya, Pelagia Kolotouros menampilkan rekaan klasik jenama itu dengan sentuhan yang lebih bertenaga dalam koleksi yang digelarkan sebagai ‘Tech Heritage’. Gaya sukan era 90-an seperti sut trek longgar, tank top berleher V dan jaket nilon berzip hadir dalam warna merah menyala, oren, biru kingfisher dan hijau yang sangat menonjol. “Kebanyakkan kod yang kita kaitkan dengan gaya preppy hari ini sebenarnya berasal daripada komuniti tenis,” kata Pelagia. “Kemeja polo, skirt berlipat, cable knitwear yang diletakkan pada bahu – semua ini pada asalnya direka untuk pergerakan dan keselesaan sebelum menjadi rujukan gaya. Saya tertarik dengan keseimbangan antara disiplin dan effortless. Gaya preppy melambangkan satu jenis kelas dan formaliti. Ia nampak polished tetapi masih santai. Dan, ketegangan antara kedua-dua elemen ini adalah sesuatu yang sangat memberi inspirasi,” tambahnya.

Kod Gaya Yang Berevolusi

Sentuhan kreatif dan perincian baharu turut diperkenalkan. Selepas debut menswear bertemakan preppy, koleksi womenswear pertama Jonathan Anderson untuk Christian Dior pula menampilkan seluar pendek, skirt pendek berlipat yang dipadankan dengan jaket Bar berstruktur pinggul pannier, kemeja plaid dihiasi pussy bow, serta loafer dua tona dihiasi logo emas Dior yang jelas kelihatan.

Tolu Coker, gambar ihsan Launchmetrics Spotlight

Di Tolu Coker pula, elemen preppy seperti weskot, skirt tenis dan seluar pendek paras lutut bertukar menjadi ikon almari pakaian moden sepenuhnya. Ini merupakan hasil daripada olahan rekaan dan penataan gaya yang bijak. Koleksi ini bermain dengan idea warisan, di mana Tolu Coker menyatakan bahawa dia menyukai konsep pakaian yang bertahan lebih lama daripada pemilik asalnya, lalu dijadikan sebagai item pusaka yang membawa legasi. Sudah tentu ia selari dengan aspek kelestarian. Tetapi pada masa yang sama, ia juga mencerminkan idea asal estetika preppy, di mana pelajar universiti daripada golongan berada menggayakan pakaian lama milik ibu bapa mereka dari zaman kolej terdahulu. 

Selain itu, proporsi siluet turut berubah. Di Celine, Michael Rider mengecutkan cricket jumper menjadi ketat dengan rajutan nipis serta menukar baju ragbi kepada fabrik sutera yang longgar dan besar. Di Thom Browne pula, siluet telah diubah sepenuhnya: bahu jaket yang kemas dan kemeja polo dibesarkan secara tidak seimbang, malah ada jaket dan seluar yang mempunyai beberapa lengan dan kaki. Bagi seorang pereka yang membina empayarnya berdasarkan kawalan yang sangat ketat, tindakan Thom Browne menggayakan model dengan aksesori kepala Mekon berwarna hijau dan pengimbas kod bar terasa seperti sebahagian gurauan ringan, sebahagian lagi kritikan sosial yang mendalam.

Thom Browne, gambar ihsan Launchmetrics Spotlight

Daripada Elitisme Kepada Inklusif

Apa yang cuba disampaikan oleh Thom Browne sebenarnya terbuka kepada pelbagai tafsiran. Salah satunya adalah berkaitan dengan orang luar, di mana makhluk asing melambangkan ‘kelainan’ atau golongan yang berbeza. Tafsiran ini sesuai dengan asal-usul gaya preppy yang menyokong elitisme. “Gaya preppy berakar daripada fahaman Anglo-Amerika tentang golongan elit kelas atasan, serta satu hierarki yang sebelum ini menempatkan wanita, pendatang asing dan orang kulit hitam dalam peranan sekunder,” kata Danielle Thom, kurator kanan di Design Museum London. “Ia adalah gaya yang sering diambil oleh kumpulan yang secara sejarahnya dipinggirkan untuk menunjukkan status mereka, mendapatkan penghormatan atau bahkan menentang hierarki sedia ada dengan cara yang bersifat ironi. Salah satu contoh terbaik didokumentasikan dalam buku ‘Black Ivy: A Revolt in Style’ oleh Jason Jules dan Graham Marsh. Kita juga melihatnya diterokai dalam pameran Met Gala tahun lalu bertajuk ‘Superfine: Tailoring Black Style’,” tambahnya.

Walaupun semua ini benar, kebanyakan individu bersetuju bahawa trend preppy kali ini lebih inklusif. Dahulu ia sering dikaitkan dengan old-money, warisan, hak istimewa dan tradisi (idea yang menjadi semakin kukuh dengan penerbitan ‘The Official Preppy Handbook’ pada tahun 1980). Namun pada tahun 2026, ia kini digayakan oleh kumpulan yang jauh lebih luas, tidak kira bangsa atau kelas sosial pemakainya. Daya tarikan preppy mungkin terletak pada rasa keteraturan dan keselamatannya. Dalam dunia yang terasa tidak menentu, sesuatu yang tidak asing seperti kemeja polo boleh memberikan rasa selamat. Keselesaan juga boleh diperolehi daripada kod seragam yang jelas konsisten. Seperti yang pernah dikatakan oleh raja gaya preppy, Ralph Lauren: “Orang bertanya bagaimana budak Yahudi dari Bronx boleh memakai pakaian preppy? Adakah ia berkaitan dengan kelas dan wang? Ia adalah impian.”

Rujukan Gaya Selebriti

Bagi mereka yang mencari inspirasi bagi menggayakan trend ini, pelbagai gaya terkini daripada selebriti A-list boleh dijadikan sebagai rujukan. Ikon terawal trend ini, Zendaya, sudah lama menggayakan estetika tenniscore sejak mempromosikan filem ‘Challengers’ pada tahun 2024. Dia menjadikan kemeja polo kelihatan begitu menarik berbanding sebelumnya. Di pertunjukan koleksi Dior Musim Bunga 2026 di Paris pula, bintang Anora, Mikey Madison tampil dengan kemeja polo merah jambu berkolar tegak yang dipadankan bersama blazer, manakala pelakon Bridgerton, Florence Hunt, kelihatan seperti pemain ragbi paling menawan menerusi padanan baju ragbi dan seluar chinos. Jennifer Lawrence pula membuktikan weskot mampu tampil chic apabila digayakan bersama seluar flanel kelabu dan kemeja biru klasik. Namun, interpretasi kegemaran sebenar saya, Cat Burns mengetengahkan gaya preppy ala pelajar kolej geeky — topi besbol, jumper ragbi Tommy Hilfiger bersaiz oversized, seluar pendek paras lutut serta loafer dengan stoking tinggi hingga ke betis. Ia sekali gus memperlihatkan cara moden untuk menggayakan estetika preppy kini.

Mikey Madison, gambar ihsan Launchmetrics Spotlight

Cara Menggayakannya Hari Ini

“Gaya preppy sememangnya kembali menjadi trend, namun bukan dalam cara tradisional yang kita kenali sebelum ini,” kata Charlotte Berry, penyelia kanan dagang dalam talian di Farfetch. “Walaupun item asas klasik masih kekal sebagai staple dalam almari pakaian, ia kini diberi nafas baharu. Bayangkan loafer klasik diperbaharui dengan sentuhan lebih santai seperti bahagian belakang bergetah,” ujarnya lagi.

“Kunci utama adalah mengekalkan semangatnya tetapi bermain dengan siluet dan konteks. Item preppy paling menarik apabila pengayaannya terasa tidak dijangka. Padankan kemeja polo atau skirt berlipat dengan sesuatu yang lebih teknikal atau sporty untuk mencipta kontras segar. Pendekatan lain adalah untuk memikirkan semula skala dan layering: baju kait oversized, tailoring yang lebih santai atau menggabungkan fabrik tradisional dengan material berprestasi tinggi. Apa yang paling penting adalah untuk mencipta interpretasi anda sendiri,” kata Pelagia.

Dior, gambar ihsan Launchmetrics Spotlight

Dia sememangnya betul. Ya, fahami kodnya tetapi jangan terlalu terikat dengannya sehingga mengorbankan keseronokan atau terlalu rigid sehingga anda rasa seperti pelakon tambahan dalam ‘The Talented Mr. Ripley’. “Apa yang paling saya suka tentang gaya preppy, ia sesuai untuk apa jua acara,” kata rakan stylish saya, Mette. “Ia menjadi pilihan utama apabila saya tidak begitu pasti apa yang mahu dipakai. Ia kemas tetapi tidak terlalu kaku, rapi tetapi tidak tegang dan boleh menjadi subversif seperti yang anda mahukan,” tambahnya. Marge Sherwood pasti akan bersetuju.

 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down