
Awal tahun lepas, satu bab baharu bermula untuk Gucci dengan pelantikan Demna sebagai Pengarah Kreatif baharu maison tersebut. Sebelum ini menerajui Balenciaga di mana dia membentuk antara bahasa reka bentuk yang paling dikenali dalam dunia fesyen sepanjang dekad lalu, Demna juga merupakan salah seorang pengasas jenama Vetements. Dia dikenali kerana keberaniannya mencabar konvensyen, meneroka estetika futuristik, pemberontakan dan sisi gelap fesyen sambil mempersoalkan semula konsep kemewahan dan keinginan dalam dunia fesyen. Pada pandangan pertama, pendekatan ini mungkin kelihatan bertentangan dengan identiti Gucci. Namun, percanggahan itulah yang menjadikan pelantikan Demna cukup menarik.
Gucci sememangnya sebuah maison yang sentiasa berevolusi dengan identitinya dibentuk dan ditafsirkan semula oleh setiap pengarah kreatif yang mengambil alih. Daripada Gucci yang maksimalis dan eklektik di bawah Alessandro Michele kepada interpretasi Sabato De Sarno yang lebih terkawal dan kontemporari, rumah Gucci telah berulang kali membuktikan keupayaannya untuk berubah tanpa kehilangan identiti yang menjadikannya Gucci.
Justeru, bagi pengikut setia Gucci, kehadiran Demna bukan sahaja pertukaran kepimpinan kreatif. Ia menjadi persoalan tentang bagaimana seorang pereka dengan bahasa visual yang begitu berbeza akan mentafsir semula salah satu maison paling disayangi dalam dunia fesyen. Jawapannya diperlihatkan di Milan pada bulan Februari awal tahun ini menerusi koleksi runway pertama Demna untuk Gucci yang dinamakan Gucci Primavera.
Daripada membina satu estetika yang terlalu rigid, koleksi ini lebih menyerupai sebuah wardrobe yang direka untuk bercakap kepada pelbagai kelompok yang sudah mempunyai hubungan dengan Gucci, pada masa yang sama membuka pintu kepada generasi baharu. Pada terasnya, Primavera memperkenalkan kosa kata baharu melalui siluet, tekstur dan material dengan reka bentuk produk menjadi antara fokus utama koleksi. Apa yang paling menarik perhatian ialah pendekatan Demna terhadap konstruksi pakaian dan idea menggabungkan fungsi serta kategori pakaian yang berbeza. Antara eksperimen tersebut termasuk tracksuit yang diolah menjadi track-dress moden; leggings yang digabungkan bersama seluar; jaket dan top yang dicantumkan menjadi satu pakaian ultra-fitted serta kasut kulit dan sneakers yang digabungkan menjadi bentuk baharu dengan garis aerodinamik seolah-olah sebuah kereta sport. Terdapat elemen futuristik yang hampir bersifat dystopian, tetapi ia diseimbangkan dengan glamor, sensualiti dan rasa effortless yang masih berakar kuat dalam DNA Gucci. Demna tidak cuba meninggalkan apa yang Gucci telah bina sebelum ini. Sebaliknya, dia mengambil kod-kod ikonik tersebut dan memutar serta mentafsirkannya melalui perspektif yang jauh lebih kontemporari.

Koleksi tersebut kemudiannya dibawa ke rantau kita menerusi sebuah persembahan khas di ICONSIAM, Bangkok, bagi meraikan Gucci Primavera. Acara tersebut memberi peluang kepada para tetamu untuk mendekati koleksi ini dalam suasana yang lebih intim, sambil menikmati malam yang dipenuhi perbualan, fesyen dan perayaan terhadap era baharu Gucci di bawah Demna. Antara tetamu yang hadir termasuk duta jenama Gucci daripada Thailand, Davika Hoorne, Gulf Kanawut dan Bilkin. Turut hadir ialah beberapa personaliti terkemuka dari seluruh Asia Tenggara, termasuk Ayden Sng dari Singapura, Meerqeen dari Malaysia, Chi Pu dan HURRYKNG dari Vietnam, di samping barisan selebriti Thailand dan tetamu serantau yang lain.



















