
Secara umum, tiada istilah khas yang boleh menggambarkan versi British untuk Amerikana. Namun, koleksi Burberry Musim Bunga 2026 oleh Daniel Lee, hampir memvisualkannya. Di bawah khemah yang berbumbungkan langit biru berawan, dalam lokasi yang menyerupai sarkas, deretan model berjalan menghidupkan semangat keresahan yang tersembunyi di sebalik generasi ‘flower power’. Sebuah era ketika muzik folk bertemu dengan classic rock.
Bagi orang Amerika, mereka sukar untuk menolak daripada melihat koleksi ini melalui kaca mata estetika koboi. Namun, alunan muzik Black Sabbath bersama percikan jaket kalis air kuning terang ala ‘we all live in a submarine’, mengikat rekaan ini dengan jelas pada dunia countercultural British. Malah, tali leher ultra nipis sehalus tali akrobat dan sut cigarette klasik terus membangkitkan bayangan persembahan bersejarah The Beatles di rancangan The Ed Sullivan. Hari ini, DJ seperti The Dare masih memakai gaya yang sama, cuma kini bukan di kaca televisyen waktu perdana, tetapi di pentas DJ tengah malam. Sebenarnya, ada gaya dalam muzik yang tidak betul-betul berubah.



Tafsiran pentas peragaan terhadap kelompok remaja penuh pemberontakan ini tampil lebih kemas, berbeza daripada generasi awal yang mengilhami gaya tersebut. Generasi baharu ini dibentuk oleh algoritma Instagram dan keinginan kemewahan dalam diri. Mereka memperlihatkan kemeja-T berlogo flower power dikemaskan, ataupun secara ironinya di sisi jaket kulit turquoise berumbai yang mewah. Kot trench bercetak kad tarot dan skarf nipis seakan terus tersalin daripada manuskrip gaya hippie, sama seperti gaun crochet berhias cermin, beg bahu berumbai dan sut denim pudar. Corak berkotak ikonik Burberry pula tidak diubah sepenuhnya, tetapi didefinisikan semula dengan palet hijau elektrik, kuning dan merah jambu, lalu diolah dengan berani ke atas gaun mini dengan rantai bercorak kotak.



Tidak dapat dinafikan, seperti banyak lagi yang kita lihat bulan ini, aura koleksi ini terbina daripada penciptaan persona rekaan yang sengaja diwujudkan. Namun sepanjang tempoh Daniel di rumah fesyen tersebut, ini mungkin kali pertama dia mengetepikan konsep warisan untuk menuruti minat peribadinya yang lebih esoterik. Dalam legasi rekaannya sendiri, Daniel memastikan semangat rock ‘n’ roll terus hidup.
Artikel diterjemah daripada ELLE USA

