
Terdapat perbezaan antara beg It bermusim dan beg klasik sepanjang zaman. Tahun ini (dalam tempoh yang cukup singkat), Dior Cigale secara rasminya telah menyeberangi status itu. Pertama kali diperkenalkan menerusi debut Pengarah Kreatif Jonathan Anderson untuk koleksi Dior Musim Bunga/Panas 2026, beg ini terus menjadi pilihan ramai pencinta fesyen dengan cita rasa tinggi, termasuk Jennifer Lawrence, Greta Lee, Ethel Cain dan Lily Allen. Malah, Taylor Swift turut dilihat menggayakannya di tepi gelanggang ketika menyaksikan perlawanan New York Knicks.
Dengan pantas menghampiri status ikon seperti Lady Dior, daya tarikan Cigale terletak pada gabungan sempurna antara bentuk dan fungsi: kemahiran seni bina yang halus, kelembutan tekstur yang memikat, serta olahan baharu terhadap perincian warisan – kemahiran Jonathon yang cukup dikagumi.
Dengan ciri flap sampul yang sleek dan siluet arca yang elegan, bentuk Cigale diinspirasikan daripada gaun landmark 'La Cigale' rekaan Christian Dior pada tahun 1952 – sebuah karya arkib yang disifatkan oleh Jonathan sebagai busana kegemaran sepanjang masa.
“Saya tidak pernah terfikir untuk memulakan perjalanan di Dior tanpa merujuk kepada La Cigale. Kerana bagi saya, ia merupakan antara pencapaian kejuruteraan fesyen terhebat dari segi gaun,” katanya kepada Business of Fashion.
Beg ini menterjemahkan skirt moiré dramatik pada gaun itu menjadi rangka yang lembut tetapi berstruktur. Diperbuat di atelier Dior di Itali daripada kulit anak lembu yang kaya dan lembut bersama kemasan tekstur buaya yang timbul, Cigale menampilkan tapak lebar yang kemudiannya meruncing ke bahagian atas dalam bentuk sampul. Reben halus berstruktur menghiasi bahagian hadapan, memberikan sentuhan volum dan gerakan organik pada garis geometri rekaannya.
“Dior Cigale adalah beg sempurna untuk memenuhi kepelbagaian gaya yang diperlukan oleh setiap wanita,” kata Editor Fesyen dan Penata Gaya ELLE Australia, Sophia Stamellos. “Sama ada dipadankan dengan seluar jean atau digayakan untuk acara malam yang istimewa, terdapat kesegaran keanggunan melalui perincian playful yang menjadi ciri khas Jonathan Anderson. Kami melihat beg ini sebagai item penting dalam almari pakaian kerana mudah digayakan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai klasik masa depan menerusi gabungan harmoni antara warisan abadi Dior dan sentuhan moden.”
View this post on Instagram
Aksen berani menambah daya tarikan gaya jalanan unik pada beg. Grommet logam bersaiz besar mengukuhkan pemegang atas berstruktur tunggal, manakala satu lubang mata yang berlebihan secara bijak berfungsi sebagai 'O' dalam insignia Dior yang terukir secara halus. Ditawarkan dalam saiz Small dan Medium, pilihan warnanya menghormati kod reka bentuk klasik rumah fesyen ini sambil memperkenalkan rona moden yang lembut seperti Rose Soupir, Icy Blue, Trench Beige, Moiré Grey, petal pink, butter yellow dan kemasan bertekstur kulit buaya.
Di sebalik ketukangannya, daya tarikan sebenar beg ini terletak pada versatilitinya. Ia tampak sama elegan apabila digayakan bersama denim untuk penampilan off-duty, di barisan hadapan pertunjukan fesyen, mahupun acara malam yang formal.
Satu ikon gaya yang sebenar telah dilahirkan.
Artikel diterjemah daripada ELLE Australia

