Louis Vuitton menandai ulang tahun agung ini dengan sebuah perayaan ibarat puisi visual: kemunculan semula ikon-ikonnya yang paling dikenali, disertai tiga koleksi kapsul yang menafsirkan semula monogram untuk generasi baharu pencinta fesyen.

Namun tiada perayaan tanpa kembali ke akar. Dicipta pada tahun 1896 oleh Georges Vuitton sebagai penghormatan kepada bapanya. Dia sendiri melakar huruf L dan V yang bertaut anggun, dihias medal bunga yang diilhamkan seni Neo-Gothic dan seni Japonisme. Kemudian, simbol ini dipatenkan menjadikannya perisai dan identiti abadi maison ini.
Ditenun dalam linen jacquard berwarna ecru dan terre de Sienne, monogram ini menangkap cahaya seperti bayang-bayang yang menari. Sewaktu menghiasi trunk legenda Louis Vuitton – bagasi yang menjulang sebagai karya kejuruteraan dan keanggunan – motif ini menjadi sahabat setia para pengembara dari benua ke benua.

'The Train Journey': ilustrasi pengiklanan, tahun 1929
Menjelang 1950-an, ketika dunia memasuki era jet dan perjalanan menjadi lebih bebas, monogram turut bernafas baharu. Kanvas lembut 1959 diperkenalkan melahirkan siluet yang kini terukir dalam kamus fesyen global: Keepall, Speedy dan Noé. Dahulu hanya menghiasi trunk, kini ia menjadi identiti bergerak dan ikon yang dibawa ke mana-mana.Daripada atelier tradisional ke galeri avant-garde, motif monogram ini kekal sebagai kanvas imaginasi. Ia membentuk visi para pengarah artistik yang berpengaruh – Marc Jacobs, Nicolas Ghesquière, Virgil Abloh dan Pharrell Williams – selain menyemarakkan kolaborasi ikonik bersama Takashi Murakami, Yayoi Kusama dan Richard Prince, sekaligus melakar warisannya dalam seni dan fesyen.

Ikon Monogram
Koleksi Ulang Tahun Monogram
Untuk meraikan perjalanan 130 tahun yang sarat warna dan sejarah, Louis Vuitton mempersembahkan tiga kapsul edisi khas, setiap satu membawa monogram ke wilayah baharu antara nostalgia dan futurisme.
Monogram Origine Collection
Bisikan daripada tahun 1896, dihidupkan semula dalam jacquard monogram baharu, ditenun daripada campuran linen–kapas dalam rona pastel.
VVN Collection
Diperbuat daripada kulit asli paling murni, koleksi ini merayakan kesederhanaan tekstur, kejujuran material dan keindahan patina yang akan mekar seiring masa.
Time Trunk Collection
Cetakan trompe-l’œil meniru tekstur kayu berpatina, bucu logam dan kunci trunk sejarah Maison, mengaburkan garis antara masa lalu dan kini.
















