Langgan

Icon Revival: Beg Ikonik Kembali!

Beg ikonik yang pernah digilai selebriti kini kembali menjadi tumpuan!
2 minit untuk membaca
Published: November 30, 2025
kim kardashian

Beg-beg ‘It’ yang pernah mendefinisikan era awal tahun 2000 dan 2010 kini bernafas semula dalam versi kontemporari. Setiap rekaan diterjemah semula melalui siluet, tekstur, material serta rona baharu, sekali gus terus mencuri hati peminat fesyen merentas generasi.

Beg Spy, Fendi

Antara beg paling diburu di awal milenium, Fendi Spy Bag kini kembali menawan pentas musim luruh/dingin 2025 dengan pesona yang tidak pernah pudar. Diperkenalkan pada tahun 2005 oleh Silvia Venturini Fendi, beg ini dikenali melalui pemegang berpintal, siluet bulat hobo yang feminin dan kompartmen rahsia tersembunyi di bawah flap, sinonim dengan namanya. Versi terbaharu hadir dengan butang rahsia dan bingkai lengkung keemasan, disempurnakan dengan pilihan material mewah dan rona yang lebih berani. Ia direka semula khas untuk wanita moden yang menghargai nostalgia Y2K dalam sentuhan lebih halus dan sofistikated.

Beg Le City, Balenciaga

Dicipta oleh Nicolas Ghesquière pada tahun 2001, beg Balenciaga Motorcycle adalah lambang keanggunan anti-glamor. Rekaannya menolak tradisi beg mewah yang terlalu formal, memberi ruang kepada ekspresi individual dan dengan gaya rock chic yang kemudiannya menjadi DNA Balenciaga. Di bawah visi Demna Gvasalia, beg ini dihidupkan semula sebagai Le City. Kini, ia menampilkan siluet yang lebih berstruktur, perincian logam yang diperbaharui serta pelbagai pilihan rona dan saiz, sambil mengekalkan kulit bertekstur lusuh yang digilai ramai. Le City terus membuktikan ia masih kekal relevan untuk generasi muda.

Beg Paddington, Chloé

Apabila Phoebe Philo memperkenalkan Chloé Paddington pada tahun 2005, seluruh dunia seolah-olah hanya tertumpu padanya – butik-butik kehabisan stok, setiap wanita mahukan beg dengan padlock besar yang dramatik itu. Dengan bentuk east-west dan jahitan berstruktur, ia membawa definisi baharu kepada gaya boho luxe yang menjadi nadi Chloé. 20 tahun kemudian, Paddington kembali dalam intrepretasi yang lebih praktikal: kulit lembut bertekstur grainy, padlock yang lebih ringan dan tali bahu boleh laras. Di pentas peragaan, ia turut digayakan dengan aksesori tambahan seperti ekor faux-fur, melambangkan semangat bebas yang menyeronokkan.

Beg New Luggage, Celine

Daripada tangan Phoebe Philo ke visi Michael Rider, Celine Phantom Luggage Tote kekal sebagai simbol gaya minimalis yang abadi. Kini dilancarkan semula sebagai New Luggage, ia mengekalkan identiti asal dengan zip melengkung berbentuk ‘senyuman’ dan struktur tegas bersiluet moden. Versi baharu tampil lebih lapang dengan rekaan east-west, flap dan zip penuh, serta tali bahu boleh tanggal untuk gaya versatil. Diperbuat daripada kulit kambing lembut berkilau halus, New Luggage hadir dalam pelbagai format termasuk Smiling dan Flat Cabas. Ia menandakan kesinambungan era Celine yang elegan, pada masa yang sama terus berevolusi.

 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down