Langgan

Pesona Cocktail Watch Sebagai Pelengkap Gaya

Di pergelangan tangan, jam tidak hanya berfungsi sebagai penunjuk waktu.
2 minit untuk membaca
Published: August 3, 2026
Sarah Snook menerusi watak Shiv Roy menyarung Cartier Panthère.

Watak Carolyn Bessette yang dilakonkan Sarah Pidgeon dalam siri Love Story menjadi momen stail yang ikonik. Di pergelangan tangannya jam tangan Cartier Tank menjadi pelengkap gaya. Minimal namun mewah, mengundang cemburu setiap mata yang memandang. 

Dalam dunia sinema, Carolyn Bessette tidak hanya watak ditulis dengan terampilan jam tangan koktel, Sarah Snook menerusi watak Shiv Roy menyarung Cartier Panthère menerusi siri ‘Succession’. Simbol feminisme baru ditafsir lewat power dressing yang ada di pergelangan tangan.

Cocktail watch menemukan nadi baru lewat penciptaan kini yang lebih moden dan mewah. Tahun ini sahaja di Watches and Wonders dipersembahkan rangkaian jam tangan yang berilham aksesori mewah. Cartier, Bvlgari dan Chopard antara jenama mewah yang meneruskan ilham ini.

Serpenti Tubogas menemukan ilham baru dengan perincian stud yang disatukan dengan tatahan permata. Chopard bermain dengan sesuatu yang lebih elegan dalam penghasilan L’Heure du Diamant. Kedua-duanya menjadi dambaan kini setiap wanita yang semakin peka akan kepentingan jam tangan sebagai status mewah dan peribadi.

Jennifer Lawrence menerusi kempen Longines DolceVita

PENGARUH ART DECO
Peradaban 20-an dan 30-an menjadi era penting dalam perkembangan jam koktel. Dalam sejarah menyatakan bahawa wanita era tersebut dihalang daripada melihat waktu dan memakai jam tangan mekanikal yang cukup sinonim dengan lelaki. Maka tercipta ilham koktel yang kebanyakannya dalam saiz yang kecil tidak melebihi 20mm. Berfungsi sebagai aksesori mewah yang berlindung di balik fungsi waktu itu sendiri.

Rekaannya lebih linear dengan pengaruh timur tengah, seni halus dan hidupan liar memberi ruang kreatif pada penciptaan.  Patek Philippe, Vacheron Constantin dan Jaeger-LeCoultre mengemudi ilham Art Deco dalam penghasilan jam tangan mereka dengan cukup ikonik sehingga hari ini. 

Piaget memiliki prinsip serupa dalam penghasilan aksesori dan jam tangan yang berteras warisan. Dedikasi pada gaya hidup mewah dan komuniti yang menghargai nilai penciptaan mewujudkan apresiasi tinggi dalam penciptaan jam koktel yang bernadi sebagai lambang status. Piaget 60 dan Polo menjadi koleksi ikonik sehingga hari ini.

Puteri Diana & Kate Middleton antara yang memilih Cartier.

IKON GAYA WANITA KINI
Ikon wanita seperti Jackie Kennedy, Michelle Obama dan Puteri Diana antara yang memilih Cartier Tank. Kate Middleton pada tahun 2014 dilihat menyarung Cartier Ballon Bleu yang dihadiahi Putera William bersempena ulang tahun perkahwinan ketiga mereka. Di pergelangan tangannya, Ballon Bleu menjadi prestij baru yang semakin tinggi nilai komesialnya.

Tahun lalu, OMEGA memberi pentafsiran baru Aqua Terra dalam penciptaan saiz lebih kecil, 30mm yang dikhususkan untuk wanita moden. Apa yang terhasil sesuatu yang cukup elegan sebagai sebuah dedikasi rekaan yang tidak terikat ilham mekanikal semata namun berfungsi sebagai pelengkap gaya.


Antara penciptaan jam koktel yang menyerlah tahun ini adalah pentafsiran semula Perlée daripada Van Cleef Arpels. Inspirasi aksesori mewah dituang dalam penciptaan kini yang semakin menyerlah dan elegan. Pemilihan dail biru dengan emas putih serta tatahan berlian menambah nilai kemewahannya.

Longines baru-baru ini juga mencipta sesuatu yang lebih segar lewat koleksi terkini Dolce Vita. Mula diperkenalkan pada 1920-an hayat baru Dolce Vita diberi sentuhan mewah dengan tatahan permata dan penggunaan emas putih. Sesuatu yang elegan sentiasa menjadi paksi pada penciptaan yang kekinian dan semakin tinggi permintaannya.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down