Wajahnya pasti tidak asing di kaca televisyen. Adriana Adnan memulakan perjalanan kerjayanya sebagai hos, mencipta nama melalui ‘HLive!’ dan sejak itu terus mengukuhkan kariernya menjelajah pelbagai destinasi sambil mengacarakan pelbagai program. Kini, Adriana kekal aktif dalam dunia pengacaraan, termasuk ‘Hello Doktor’ di TV3 serta beberapa rancangan lain di Astro. Tidak lama lagi, Adriana bakal berganding bahu dengan rakan-rakannya daripada Thinker Studios menerusi siri ‘Travel Log’. Drama terbaharunya, ‘Rahsiamu Selamat Denganku’ akan menemui penonton di Astro Ria Disember ini.
Meskipun telah menjelajah serata dunia, hati Adriana tetap terpaut pada keindahan laut. Baginya, pantai dan pulau adalah escapism yang sempurna – tempat di mana dia dapat tenggelam dalam keindahan alam semula jadi.
Dimanakah destinasi kegemaran yang telah anda lawati tahun ini?
Tahun ini, destinasi yang paling diingati adalah di Labuan Bajo dan Lombok di Indonesia. Seronok sangat di sana! I love the beach, the sea and I love to see all the sea creatures, jadi memang I akan selalu ke pulau.
Tiga perkataan untuk menggambarkan destinasi tersebut.
Segar, memukau dan menenangkan.
Dimanakah tempat penginapan terbaik?
Jika di Lombok, Jeeva Beach Camp Resort adalah pilihan terbaik. Tempat ini terpencil, lengkap dengan kemudahan dan jauh dari hiruk-pikuk kota, memberi privasi sepenuhnya. Untuk Labuan Bajo, I cadangkan The Seraya Resort. Terletak betul betul depan pantai, boleh terus keluar bilik dan berenang!
Bolehkah anda berkongsi itinerari peribadi anda?
- Di Labuan Bajo, mereka sediakan peralatan snorkeling secara percuma. Terumbu karang dijaga dengan sangat baik, jadi I boleh nampak semua keindahan hidupan laut sejurus turun dari jeti.
- I berenang dengan manta ray yang sangat besar – sebesar kereta Perodua Axia. It’s so majestic!
- Lawatan balik-hari. I melawat Pink Beach di Lombok! Air lautnya sangat jernih dengan pasir merah jambu, hasil gabungan dari pasir putih dan batu karang merah yang pecah.
- Mendaki di kedua-dua pulau ini. Di Labuan Bajo, saya mendaki ke Padar Island dan dari puncaknya, saya dapat lihat tiga pulau dengan jelas terbentang di hadapan mata!
Apakah barang keperluan yang sentiasa anda bawa?
Beg ringan – I tak suka bawa barang yang terlalu banyak. Berus gigi pun tak bawa, I akan cari di sana. Tapi yang mesti bawa adalah telefon bimbit, topi, kaca mata hitam dan pakaian sukan – sesuai dipakai ke mana-mana dan lepas itu, boleh terus berenang!
Tip terbaik untuk menikmati percutian.
Mungkin ini peluang sekali seumur hidup untuk jejakkan kaki ke destinasi itu, buka minda dan jangan terlalu memikir. Mesti cuba perkara baru, jangan takut selagi tidak membahayakan sebab kenangan itulah yang akan di bawa balik bersama.
Apa yang paling anda suka tentang percutian?
Percutian buat I rasa ketagih untuk melihat apa lagi yang dunia boleh tawarkan. Setiap destinasi membuka mata, mengubah perspektif dan mempertemukan pelbagai individu serta benda baharu. Dunia ini begitu luas, buat I rasa kecil sebesar kuman dan mengingatkan I untuk tak terlalu mendongak ke langit.
Apakah destinasi seterusnya dalam senarai impian anda?
Maldives, Japan, Fiji island dan Switzerland.