Margot Robbie dan suaminya, Tom Ackerley, kini bergelar ibu bapa. Menurut laporan People, pelakon ini menyambut kelahiran cahaya mata lelakinya yang sulung. Pasangan ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai berita gembira tersebut dan masih merahsiakan butiran tentang tarikh lahir serta nama anak mereka.
Sepanjang tempoh kehamilannya, Robbie beberapa kali menampilkan pelbagai gaya fesyen maternity, termasuk baju sheer, bikini hitam dan stail kemeja separuh butang terbuka. Berita kehamilannya mula tersebar pada bulan Julai dan sumber dari People kemudian mendedahkan bahawa pasangan ini memang telah lama berhasrat untuk membentuk keluarga. “Keluarga amat penting bagi kedua-duanya dan sejak awal hubungan, mereka sangat mengidamkan untuk menjadi ibu bapa. Mereka telah menyimpan rahsia ini buat seketika, tetapi gembira apabila berita tersebut tersebar.” kata sumber itu.
Robbie sudah menjadualkan projek baharu untuk tahun hadapan: adaptasi novel klasik Wuthering Heights oleh Emerald Fennell, membawa watak sebagai Catherine Earnshaw.
Pada bulan Januari, Robbie memberitahu Deadline tentang rancangannya untuk berehat seketika dari perhatian umum selepas musim anugerah filem Barbie. “Semua orang bertanya, adakah awak akan berehat?” katanya. Reaksinya “Awak tahu saya seorang penerbit (bersama syarikat produksi LuckyChap), kan? Kami tidak dapat berehat.” Dengan ketawa dia menambah, “Kerja penerbitan ini 24/7, tetapi dari segi lakonan, ini adalah tempoh paling lama saya tidak berada di set pengambaran. Kami menamatkan penggambaran Barbie pada Oktober 2022, jadi sudah lebih setahun sejak kali terakhir saya berlakon, dan selain tempoh COVID, ini adalah kali pertama perkara ini berlaku.
“Saya rasa semua orang pun mungkin sudah muak melihat saya buat masa ini. Saya patut menghilangkan diri dari paparan layar buat seketika. Sejujurnya, kalau saya terlibat dalam filem lain dengan terlalu cepat, orang akan berkata, ‘Dia lagi? Kami baru sahaja habiskan satu musim panas dengannya. Itu sudah mencukupi.’ Saya tak tahu apa yang akan saya lakukan seterusnya, tetapi saya harap akan ada sedikit ruang masa.”
Gambar dari Chanel
Artikel asal dari ELLE USA