Ilham kolaborasi sentiasa menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan penggemar dunia horologi. Bermula pada tahun 1972 debut The Piaget Andy Warhol diperkenalkan menjadi antara kolaborasi yang paling ikonik dan dinantikan. Hari ini setelah lebih empat dekad diperkenalkan Piaget berevolusi dengan rekaannya yang lebih elegan dan timeless.
Babak baru ini menampilkan siri Clou de Paris yang menampilkan rekaan yang disifatkan cukup berkuasa. Dilengkapkan dengan dail biru meteor, edisi terkini The Piaget Andy Warhol ini menyerlah dengan lebih luar biasa. Pentafsiran berani, mewah dan distingtif digunakan sebaiknya bagi memberi nilai tambah pada rekaannya.
Mengimbas kembali kali terakhir kolaborasi menawan ini diberi nafas baru adalah pada tahun 2014 kira-kira sedekad lalu. Andy Warhol yang juga sebahagian daripada komuniti Piaget Society memiliki sekurang-kurangnya tujuh jam tangan jenama yang diperakui ini. Satu daripada koleksi yang dia miliki adalah jam tangan Black Tie yang memiliki diameter 45mm dengan dinamik rekaan dekorasi elemen gadroon.
Hari ini di bawah yayasan The Andy Warhol Foundation untuk Visual Arts, Piaget & the Foundation secara rasminya menamakan koleksi terbaru ini sebagai The Andy Warhol Watch. Direka khusus untuk pencinta jenama jam tangan ini, Piaget komited dalam menghasilkan setiap unit jam tangan atas permintaan.
Ciri-ciri utamanya adalah diameter 45mm dilengkapi dengan emas putih berkemasan Cloude Paris dan dail biru meteorit. Menambah tawanan mata memandang, edisi kali ini disempurnakan dengan tali kulit buaya berwarna biru yang cukup mewah diliputi buckle emas putih.