Gambar: netflix.com
Setelah sekian lama ditunggu-tunggukan, Squid Game 2 akhirnya melancarkan trailer musim kedua dengan menampilkan beberapa wajah baharu yang menarik perhatian. Rancangan TV Netflix kegemaran ramai ini memberikan penonton sekilas sinopsis yang menunjukkan seramai 456 pemain kembali ke dalam arena maut dengan misi mereka yang tersendiri.
Gambar: netflix.com
Membuka tirai trailer Squid Game 2, suasana menyeramkan menyambut penonton. Seorang penjaga bertopeng menyambut wajah-wajah baharu dalam siri kedua ini dan mengarahkan mereka untuk memulakan permainan pertama—Red Light, Green Light, permainan ikonik dari Squid Game. Dalam cabaran ini, pemain perlu melangkah ke garisan penamat sebelum patung mekanikal di depan berpusing ke arah mereka. Sebaik sahaja patung itu memandang, mereka harus membeku. Jika tidak, nasib tragis menanti mereka.
Gi-hun, pemenang musim pertama, kini kembali dan berusaha membantu pemain lain untuk selamat. Namun, keadaan menjadi mengerikan apabila seorang pemain bergerak setelah merasakan lebah hinggap di badannya dan segera ditembak di kepala. Seperti musim lalu, para pemain diberikan pilihan untuk mengundi—sama ada mahu menghentikan permainan atau terus bermain. Walaupun Gi-hun menggesa mereka untuk fokus untuk melarikan diri, rayuannya diabaikan. ‘Satu permainan lagi!’ teriak mereka, sementara hadiah wang tunai terus mengumpul dalam piggy-bank gergasi yang tergantung di atas.
Gambar: netflix (X)
Pengarah Hwang Dong-hyuk menyatakan bahawa usaha Gi-hun untuk mengetahui siapa mereka dan mengapa mereka melakukan perkara tersebut adalah inti cerita bagi musim kedua. Dalam wawancara dengan agensi berita Reuters, beliau mengungkapkan bahawa musim ini akan menyajikan 'permainan yang lebih menarik' serta memperkenalkan lebih banyak watak berbanding musim pertama.
Gambar: netflix.com
Musim kedua rancangan Netflix Squid Game ini akan ditayangkan pada 26 Disember 2024.