Dalam landskap seni tempatan yang semakin berkembang, Mimifly tampil sebagai antara figura kreatif yang berani meneroka persimpangan muzik dan fesyen. Pemilik nama sebenar Shamimi Amalina binti Norhisham ini turut menjadikan warisan Malaysia sebagai sumber inspirasi. Daripada elemen tradisional dalam karya muzik hinggalah pilihan busana yang sarat dengan sentuhan budaya, Mimifly membuktikan bahawa keindahan warisan mampu diraikan melalui pelbagai perspektif.

Muzik – Identiti Malaysia dalam karya
Genre pop, R&B dan hip-hop yang digabungkan oleh Mimifly memiliki karakter tersendiri menerusi sentuhan muzik kontemporari yang disulami irama Nusantara. Pendekatan ini memperlihatkan kepekaannya sebagai anak seni yang menghargai asal usul sendiri. Menerusi lagu Serumpun, misalnya, Mimifly meraikan pertalian budaya Nusantara melalui gabungan muzik dan seni kata yang sarat dengan makna. Keupayaannya mengadunkan unsur tradisional dengan susunan muzik yang lebih segar menjadikan karya ini istimewa tanpa menghilangkan nilai budaya yang ingin disampaikan.

Mimifly turut menyerlah sebagai penulis lagu yang bijak memanfaatkan bahasa puitis dalam penghasilan karyanya. Pendekatan ini memberikan setiap lagu lapisan makna tersendiri, sekali gus membezakan penulisannya daripada kebanyakan karya pop masa kini. Keistimewaan tersebut turut dibawa ke pentas antarabangsa apabila Mimifly mewakili Malaysia menerusi ASEAN-Korea Music Festival di Manila, Filipina, pada April lalu. Persembahan itu turut menampilkan 16 penari dari Malaysia dan Filipina.
Menghidupkan Warisan di Pentas Teater
Antara pencapaian yang turut memperlihatkan sisi versatil Mimifly ialah penglibatannya dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical edisi 2026. Di bawah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina, Mimifly menjalani persediaan intensif bagi mendalami latar budaya Jawa yang menjadi sebahagian daripada dunia penceritaan tersebut. Malah, dia turut mengambil inisiatif untuk ke Indonesia bagi mempelajari dengan lebih dekat latar budaya dan karakter watak Bayan yang dibawakannya.

Pengalaman ini bukan sahaja menguji keupayaannya sebagai penghibur, malah memperlihatkan kesungguhan Mimifly dalam memahami budaya yang diterjemahkan menerusi watak tersebut. Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musicalyang kembali menemui penonton dari Oktober hingga November 2026 turut mengingatkan kita bahawa seni persembahan dan kisah warisan masih mempunyai tempat dalam landskap hiburan moden.
Fesyen – Busana tradisional sebagai identiti
Kecenderungan Mimifly mengangkat elemen tradisional turut menjadi sebahagian daripada identiti visualnya. Penggunaan songket, sari hinggalah inspirasi busana etnik, setiap penampilannya memperlihatkan keberanian menggabungkan tekstil, motif, siluet dan aksesori warisan dalam gaya yang lebih kontemporari. Apa yang menarik, Mimifly tidak menjadikan busana tradisional sekadar pilihan untuk acara kebudayaan atau persembahan bertemakan warisan. Sebaliknya, dia memberikan interpretasi tersendiri dengan mengolah elemen klasik agar tampil lebih segar, ekspresif dan dekat dengan cita rasa fesyen masa kini.

Sama ada menerusi muzik video mahupun penampilannya di atas pentas, pilihan busana Mimifly sering menjadi antara perkara yang mencuri perhatian. Setiap persalinan bukan sahaja melengkapkan persembahan, malah seolah-olah menjadi satu lagi medium untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Lebih daripada sekadar penampilan
Menceburi industri seni selama hampir dua dekad bukanlah perjalanan yang sentiasa mudah. Mimifly juga pernah melalui fasa menyepi selama beberapa tahun sebelum kembali dengan identiti muzik dan visual yang lebih jelas. Namun, apa yang menjadikan perjalanannya menarik ialah keberanian untuk tidak terikat kepada satu bentuk ekspresi seni sahaja. Mimifly memilih untuk kembali meneroka kekayaan budaya serantau sebagai sumber inspirasi. Menerusi muzik, tarian dan fesyen, Mimifly membuktikan bahawa warisan tidak semestinya dipersembahkan dalam bentuk yang konvensional. Sebaliknya, ia boleh diberikan nafas baharu melalui interpretasi kreatif tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Lebih daripada sekadar membentuk identiti peribadi, pendekatan Mimifly turut membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat warisan Malaysia dari perspektif yang berbeza. Barangkali, inilah keindahan sebenar kreativiti; apabila sesuatu yang diwarisi turun-temurun terus diberi peluang untuk berkembang, diteroka dan diraikan dalam bahasa seni yang lebih moden.

