
Percaya pada proses dan masa untuk bertumbuh sebagai pereka fesyen yang diperakui, Akmal Hakim Ajirul mahu mencipta momen besarnya tanpa terburu waktu.
ADAKAH APA YANG ANDA LAKUKAN HARI INI SEBAHAGIAN DARIPADA IMPIAN MASA KECIL?
Sejak kecil saya memang suka melakar rekaan fesyen dengan imaginasi pakaian bagaimana yang mahu saya ciptakan. Saya membesar menonton ‘America’s Next Top Model’ dan pertunjukan fesyen ‘Victoria Secret’. Ibu dan mak cik saya juga seorang tukang jahit jadi saya sudah terbiasa dengan dunia fesyen.
HAL TERBAIK TENTANG KERJAYA ANDA?
Banyak orang nampak fesyen hanya tentang glamor namun ada banyak skil lain seperti problem solving yang menuntut kita sebagai pereka fesyen melalui satu proses trial and error. Namun dalam pada itu saya melihat hal yang paling menarik adalah bagaimana idea kecil daripada fabrik mencipta satu naratif, identiti dan emosi.
BILA ANDA YAKIN INI MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA APA YANG ANDA MAHU LAKUKAN?
Ia satu fasa daripada zaman belajar di universiti ketika melibatkan diri dalam persembahan dan pertandingan fesyen. Namun potensi sebenar disedari datang daripada sokongan orang-orang terdekat yang melihat saya mampu bertumbuh dalam bidang ini. Daripada menjadi sesuatu yang saya suka lakukan sehingga menjadi sesuatu yang saya mahu lakukan dalam hidup.

PROSES KREATIF
Ia bergantung pada apa yang sedang saya usahakan. Boleh jadi bermula dengan fabrik, tekstur atau warna yang menarik perhatian. Ada masa ia bermula dengan imaginasi sebelum membentuk satu-satu formasi dan boleh jadi juga dengan tujuan satu-satu pakaian itu dihasilkan sama ada untuk acara tertentu atau individu tertentu.
CABARAN
Mendapatkan keseimbagan dalam kreativiti dan realiti sebenar dunia fesyen. Sebagai pereka fesyen saya semestinya mahu mencabar tahap kemampuan dan bereksperimen dengan kemampuan yang ada. Namun realiti kerja ia sentiasa datang dengan kekangan seperti bajet, masa, kualiti kerja dan commercial expectations.
PENGARUH
Saya sering mengagumi idea kreatif pereka fesyen yang tidak takut menongkah arus. Thierry Mugler antara yang saya kagumi kerana siluet yang begitu dramatik dan pendekatan yang begitu theatrical. Begitu juga dengan Jonathan Anderson dan Sarah Burton yang memberi pengaruh berbeza dalam craftsmanship juga perincian dalam rekaan.
OBSESI TERKINI
Permainan video dan menonton filem. Ia membantu saya untuk keluar seketika daripada zon dunia fesyen and enjoy something completely different. Namun menerusi filem ia masih memberi ruang untuk saya memberi perhatian pada perincian dalam seni visual.
Editor Rencana: Hafizan Mohd
Fotografi: Edmund Lee (HEXA Studio)
Arahan Seni: Nabihah Nizam
Penataan Gaya: Athirah Zahra
Solekan: Razzi Musa dan Sahir Sabri
Dandanan: Yusof Ruzaimi dan HairbyLala
Pelatih Amali: Nur Zulaikha Najwa

