Langgan

Madonna, Dua Lipa & JISOO: Nama-Nama Besar Yang Bakal Memeriahkan Coachella 2027

Coachella 2027 umum barisan headliner, Namun BTS tiada dalam senarai meski dinanti peminat.
2 minit untuk membaca
Published: November 12, 2026
Gambar Instagram @coachella

Setiap tahun, Coachella menjadi lebih daripada sekadar festival muzik. Ia merupakan pentas pertemuan budaya pop, fesyen dan muzik yang menghimpunkan peminat dari seluruh dunia. Untuk edisi 2027, festival ikonik ini kembali dengan barisan artis yang menggabungkan nama besar industri muzik antarabangsa, legenda pop serta bintang K-pop yang semakin mengukuhkan pengaruh global mereka.

Coachella Valley Music and Arts Festival 2027 bakal berlangsung selama dua hujung minggu, iaitu pada 9 hingga 11 April dan 16 hingga 18 April 2027 di Empire Polo Club, Indio, California. Antara yang menjadi tumpuan utama ialah Dua Lipa, Tame Impala dan SZA sebagai tiga headliner festival tahun ini.

Madonna Kembali, Bersama Deretan Ikon Muzik Antarabangsa

Gambar Instagram @madonna

Salah satu kejutan terbesar dalam pengumuman kali ini pastinya kehadiran Madonna. Ikon pop itu bakal membuat penampilan di Dance Tent, mengimbau kembali hubungannya dengan Coachella menerusi persembahan pada 2006 ketika era album Confessions on a Dance Floor.

Selain Madonna, Dua Lipa, Tame Impala dan SZA bakal mengetuai persembahan mengikut hari masing-masing. Barisan ini turut diserikan dengan nama seperti Zara Larsson, Steve Lacy, Phoebe Bridgers, Weezer, Robyn, Kehlani, Måneskin, Don Toliver dan The Neighbourhood.

Gambar Instagram @peggygou_

Buat peminat muzik elektronik pula, kehadiran Peggy Gou, Tiësto, Martin Garrix, Kygo dan Dom Dolla pastinya menambah keterujaan. Malah, Daddy Yankee turut diberikan slot khas dengan produksi tersendiri, menjadikan barisan tahun ini lebih merentas genre.

Gelombang K-Pop Terus Menguasai Pentas Coachella

Pengaruh K-pop di pentas antarabangsa bukan lagi sesuatu yang asing, dan Coachella 2027 sekali lagi memberi ruang kepada artis Korea Selatan untuk mencuri perhatian.

JISOO bakal membuat penampilan menerusi karier solonya pada 9 dan 16 April, manakala NCT dijadualkan beraksi pada 10 dan 17 April. Kumpulan wanita BABYMONSTER pula bakal mengambil alih pentas pada 11 dan 18 April.

Gambar Instagram @babymonster_ygofficial

Turut melengkapkan barisan dari Korea Selatan ialah Leenalchi, kumpulan muzik yang terkenal dengan gabungan elemen pop dan pansori, seni nyanyian tradisional Korea. Kehadiran nama-nama ini memperlihatkan kepelbagaian muzik Korea yang kini semakin mendapat tempat di pentas global.

BTS Tidak Tersenarai, Walaupun Hangat Diperkatakan

Gambar Instagram @bts.bighitofficial

Pastinya, satu nama yang mencuri perhatian kerana ketiadaannya ialah BTS. Sebelum barisan rasmi diumumkan, spekulasi mengenai kemungkinan kumpulan sensasi itu menjadi antara headliner Coachella 2027 hangat diperkatakan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, senarai rasmi yang diumumkan tidak menyertakan nama BTS. Ketiadaan mereka pastinya menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ARMY yang mengharapkan peluang untuk menyaksikan kumpulan itu beraksi di pentas festival muzik berprestij tersebut.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down