Langgan

The Making of ADÉLA: Dari Dream Academy ke Ikon Pop Baharu

Gagal dalam The Debut: Dream Academy, ADÉLA membentuk identiti menerusi cerita, kreativiti muzik dan fesyen yang berani.
3 minit untuk membaca
Published: November 3, 2026

Sebuah Penolakan, Permulaan Baharu

The Debut: Dream Academy, yang akhirnya melahirkan kumpulan KATSEYE, menjadi titik permulaan kepada kemunculan seorang bintang pop baharu. ADÉLA, penyanyi kelahiran Slovakia, kini mencuri perhatian industri muzik menerusi identiti fesyen yang berani dan pendekatan muzik yang penuh karakter. Membesar dalam persekitaran yang disifatkannya sebagai lebih konservatif, ADÉLA enggan membiarkan pandangan masyarakat membataskan impiannya. Keberaniannya untuk mencabar norma menjadikan perjalanan seni ADÉLA sebuah inspirasi buat generasi Gen Z yang mahu membina identiti sendiri tanpa terikat pada ekspektasi orang sekeliling.

ADÉLA
Gambar Ihsan Reel Noise Magazine

Merupakan peserta terawal yang tersingkir daripada Dream Academy pada 2023, ADÉLA membuktikan bahawa kegagalan bukanlah penamat segalanya. Kejayaan single Ain't in LA menembusi carta Billboard Hot 100 pada 2026 membuka mata ramai terhadap perjalanan hidupnya yang penuh tekad. Seawal usia lima tahun, beliau mempelajari bahasa Inggeris secara kendiri melalui budaya pop Amerika, termasuk persembahan Miley Cyrus dan Ariana Grande. Minatnya terhadap dunia hiburan turut berjalan seiring dengan latihan balet yang intensif di Bratislava, Moscow, Vienna dan London. Di sebalik disiplin seorang penari klasik, ADÉLA menyimpan cita-cita lebih besar untuk menjadi bintang pop antarabangsa, sebuah impian yang akhirnya mula menjadi kenyataan.

PRIMA: Kelahiran Seorang Bintang Pop

ADÉLA mengambil inisiatif menghubungi Jennifer Dustman, jurulatih vokal yang pernah membimbing Olivia Rodrigo, bagi mendapatkan bimbingan profesional dalam merealisasikan impiannya untuk bergelar penyanyi. Usahanya membuahkan hasil menerusi pelancaran album debut PRIMA pada 4 September 2026. Menampilkan 11 buah lagu, album ini menjadi simbol evolusinya sebagai seorang artis, dengan judul yang membawa dua makna, iaitu permulaan baharu dan gelaran prima ballerina yang mencerminkan latar belakangnya dalam dunia balet. Gabungan muzik pop kontemporari, sisi feminin, sensualiti dan emosi menjadikan PRIMA sebuah pernyataan identiti yang lebih matang dan berani.

ADÉLA
Cuplikan Muzik Video Ain't in LA (Gambar Instagram @mtv)
ADÉLA
Cuplikan Muzik Video Nicole Kidman (Gambar Instagram @mtv)

Selain kejayaan Ain't in LA yang menceritakan impian Hollywood dengan akar budaya Slovakia, single Nicole Kidman turut mencetuskan fenomena tersendiri. Diinspirasikan daripada kemewahan dan persona ikonik bintang Hollywood tersebut, lagu ini menggabungkan estetika glamor menerusi lirik serta video muzik yang penuh karakter. Lebih menarik, lagu tersebut bukan sahaja mendapat perhatian Nicole Kidman sendiri, malah merupakan muzik latar peragaan di Victoria's Secret Fashion Show 2026. Kehadiran Nicole di barisan hadapan ketika lagu itu dimainkan menjadikan momen tersebut semakin ikonik, sekali gus memperlihatkan bagaimana pengaruh muzik ADÉLA kini merentasi dunia fesyen dan hiburan antarabangsa.

Pretty in Pink: Identiti Visual ADÉLA

Selain muzik, identiti visual ADÉLA turut menjadi elemen penting dalam pembentukan identitinya. Rambut merah jambu yang kini menjadi penampilan ikonik dalam kalangan Gen Z, dipadankan dengan graphic eyeliner, solekan bibir dramatik dan siluet busana yang berani, menjadikan gayanya mudah dikenali. Malah, dalam sebuah temu bual, ADÉLA pernah berseloroh bahawa rambut merah jambunya merupakan warna rambut semula jadinya, memperlihatkan personalitinya yang spontan dan penuh karakter. Daripada busana berstruktur hingga kasut tumit tinggi, gaya ADÉLA bukan sekadar pilihan fesyen, tetapi lanjutan kepada persona muzik yang dibinanya.

ADÉLA
Gambar Instgram @adelajergova

Bukan sekadar bergantung pada penampilan, ADÉLA turut menjadikan pengalaman balet sebagai kekuatan persembahannya. Berlatih sejak usia tiga tahun, disiplin tarian klasik tersebut diterjemahkan semula menerusi koreografi pop yang dinamik, pergerakan tubuh yang ekspresif dan penggunaan kasut tumit tinggi di pentas. Gabungan teknik balet dengan gaya persembahan kontemporari membentuk identiti tersendiri yang membezakan ADÉLA daripada barisan penyanyi pop baharu.

Bukan Sekadar Bintang Pop Baharu

ADÉLA
Gambar Ihsan OneTwoWatch

Perjalanan ADÉLA membuktikan bahawa identiti seorang bintang pop bukan sekadar terbentuk melalui muzik, tetapi juga keberanian bereksperimentasi dengan fesyen, visual dan penceritaan peribadi yang mendalam. Daripada penyingkiran dalam Dream Academy hingga kejayaan album PRIMA, beliau berjaya mengubah pengalaman pahit menjadi kekuatan kreatif yang membentuk identitinya hari ini. Rambut merah jambu mungkin menjadi perkara pertama yang mencuri perhatian, namun keupayaannya mencipta dunia pop tersendiri menjadi sebab namanya semakin mendapat tempat dalam industri muzik global. Siapa sangka, poster Destiny's Child dan Madonna yang suatu ketika dahulu menghiasi dinding biliknya bukan sekadar lambang kekaguman seorang gadis kecil, tetapi cerminan impian yang kini semakin menjadi kenyataan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down