
Menjelang ulang tahun ke-60 pada 2027, Ralph Lauren meraikan lima dekad kehadirannya di Jepun menerusi PoloFest di Tokyo, sebuah perayaan yang mengangkat legasi Polo melalui fesyen vintaj, seni pertukangan dan komuniti yang terus menghidupkan identiti jenama tersebut.
Berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober 2026, PoloFest menghimpunkan pengumpul vintaj, peminat setia dan penggiat kreatif dari seluruh dunia untuk meraikan pengaruh Polo yang melangkaui dunia fesyen. Daripada estetika American heritage yang menjadi identitinya hingga gaya preppy yang terus mendapat tempat dalam landskap fesyen semasa, legasi Polo bukan sekadar tersimpan dalam arkib, tetapi terus hidup melalui collectors yang mengumpul, menggayakan dan menjadikan rekaan klasik Ralph Lauren sebahagian daripada identiti peribadi.
Enam Dekad Gaya, Lima Dekad di Jepun

Sejak diperkenalkan pada 1967, Polo telah berkembang daripada ekspresi gaya Ralph Lauren kepada identiti yang mudah dikenali merentas generasi. Kemeja polo, cable-knit sweater, jaket universiti dan siluet klasik Amerika menjadi sebahagian daripada bahasa fesyen yang terus berkembang mengikut zaman.

Namun, kekuatan Polo bukan semata-mata terletak pada reka bentuk yang konsisten. Ia juga terhasil daripada kebolehan jenama ini membina sebuah aspirasi gaya hidup yang boleh ditafsirkan mengikut cita rasa individu. Sehelai kemeja klasik boleh digayakan secara tradisional, dipadankan dengan denim vintaj atau diberikan sentuhan streetwear yang lebih kontemporari. PoloFest mengangkat hubungan tersebut melalui pengalaman yang menggabungkan pameran arkib, pasar vintaj dan sesi perbualan bersama individu yang membentuk komuniti Polo.
Mengapa Tokyo Menjadi Lokasi Pertama Untuk PoloFest?
Pemilihan Tokyo sebagai lokasi sulung PoloFest mempunyai makna tersendiri. Sejak Ralph Lauren memasuki pasaran Jepun pada 1976, peminat tempatan telah membentuk pendekatan tersendiri terhadap estetika klasik Amerika yang dibawa oleh jenama tersebut.
Fenomena ini berkait rapat dengan budaya Ametora, istilah yang merujuk kepada American traditional dan menggambarkan bagaimana gaya klasik Amerika diterima serta ditafsirkan semula di Jepun. Daripada estetika Ivy League kepada pakaian kasual berinspirasikan sukan dan heritage menswear, pengaruh Amerika berkembang menjadi sebahagian daripada landskap fesyen Jepun dengan identiti tersendiri.
Peminat Jepun bukan sekadar mengekalkan gaya asal, tetapi turut memberikan perhatian kepada mutu fabrik, perincian, ketahanan dan karakter yang terbentuk melalui pemakaian. Minat terhadap pakaian lama juga berkembang menjadi budaya mengumpul yang mendalam, dengan helaian daripada koleksi terdahulu dihargai kerana keunikan reka bentuk dan sejarahnya.
Menelusuri Arkib dan Memburu Koleksi Istimewa

Antara tarikan utama PoloFest ialah pameran arkib terkurasi yang menampilkan helaian ikonik dan jarang ditemui daripada sejarah Polo. Bagi penggemar vintaj, koleksi sebegini menawarkan peluang untuk menelusuri evolusi rekaan jenama, daripada gaya klasik yang lebih formal kepada pakaian luar dan rekaan grafik yang mencerminkan pengaruh sukan serta budaya Amerika.

Festival ini turut menghimpunkan pengumpul dan penjual vintaj antarabangsa, termasuk Chandler Guttersen dari Vintage Grace, Jessica Gonsalves dan Brian Procell dari Procell, serta Yoshihito Murayama dari Safari di Jepun. Setiap pengumpul membawa perspektif tersendiri, memperlihatkan keluasan dunia Polo melalui pilihan helaian yang mencerminkan era, gaya dan minat berbeza.
Apabila Seni Pertukangan Memberikan Nafas Baharu
Penghargaan terhadap legasi tidak semestinya bermaksud mengekalkan sesuatu dalam bentuk asalnya. PoloFest turut menghubungkan dunia vintaj dengan kreativiti kontemporari menerusi pendekatan upcycling, yang memberikan peluang kepada helaian terpilih untuk memperoleh identiti baharu.
Pendekatan ini selari dengan penghargaan terhadap ketahanan, kemahiran pertukangan dan nilai sesuatu objek yang boleh dipelihara untuk jangka masa panjang. Daripada menggantikan yang lama dengan yang baharu, pakaian diberikan peluang untuk terus hidup melalui olahan kreatif. Dalam landskap fesyen semasa, ketika koleksi baharu muncul hampir setiap musim, perspektif ini terasa semakin relevan.















