
Perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq menjadi antara detik yang mencetuskan fenomena di Malaysia, lebih-lebih lagi buat peminat BASS. Setelah melalui perjalanan hidup yang penuh warna, penyatuan mereka berdua layak digelar Wedding of the Year.
Bukan sekadar kisah cinta mereka yang menjadi bualan, setiap busana pasangan ini turut mencuri perhatian menerusi rekaan khas daripada nama-nama besar tanah air yang ditata sepenuhnya oleh penata gaya selebriti, Bry.
Segalanya bermula dengan majlis akad nikah yang berlangsung di Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur. Pelakon dan penyanyi berusia 32 tahun itu sah bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq pada 10 Oktober 2026. Bella tampil dalam busana putih bersiluet longgar rekaan Zaimi Zulkafli. Rekaan lengan butterfly, perincian sulaman bunga tiga dimensi di bahagian hadapan serta veil labuh melengkapkan penampilan dengan sentuhan romantis. "Bella menginginkan sesuatu yang sedap mata memandang, sopan dan tidak berlebihan," kata Zaimi dalam hantaran Instagramnya.
Seterusnya, Bella dan Syed Saddiq menyantuni peminat menerusi acara Meet & Greet eksklusif di Shangri-La Kuala Lumpur bersama 250 tetamu. Mengangkat keanggunan pengantin ala Barat, Bella menggayakan rekaan Rizman Ruzaini melalui siluet ball gown berlengan panjang, dilengkapkan juga dengan perincian renda pada bahagian badan yang menyuntik sentuhan klasik dan sofistikated.
Bagi gaun resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pilihan sudah semestinya merupakan busana haute couture rekaan Rizalman oleh Faizul Luziaf. Istimewanya, busana rona merah burgundi ini diperbuat daripada fabrik songket Terengganu yang ditenun dengan tangan. "Superb design and excellent workmanship," komen Bry di hantaran Instagram Haute Couture By RI.
Bella kemudian menyarungkan persalinan kedua untuk malam itu, hasil rekaan Alia Bastamam. Gaun renda halus berpotongan A-line dengan train labuh ini menyerlahkan keanggunan menerusi perincian sulaman tangan yang teliti, disempurnakan dengan sulaman inisial ‘BASS’ yang eksklusif. Gayanya dilengkapkan dengan veil labuh yang dihiasi renda halus di sepanjang bahagian hemline, menambahkan sentuhan elegan pada keseluruhan gaya.
Beralih ke majlis di Muar, Bella memilih persalinan tradisional Johor hasil rekaan Rizman Ruzaini. Baju kurung berpesak gantung dalam rona biru langit ini menyerlahkan keanggunan warisan Melayu, diserikan dengan sulaman tebuk berona perak dan keemasan yang menambahkan sentuhan mewah pada keseluruhan rekaan.
Lihat kesemuanya busana perkahwinan Bella Astillah di bawah, daripada majlis akad nikah hingga ke majlis resepsi di Muar:
Zaimi Zulkafli

Untuk majlis akad nikah di Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur pada 10 Oktober.
Rizman Ruzaini

Untuk majlis Meet & Greet di Shangri-La Kuala Lumpur pada 11 Oktober.
Rizalman oleh Faizul Luziaf

Persalinan pertama untuk majlis resepsi utama di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober.
Alia Bastamam

Persalinan kedua untuk majlis resepsi utama di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober.
Rizman Ruzaini

Untuk majlis resepsi belah lelaki di Muar pada 10 November.

