
Kolaborasi UNIQLO dan JW Anderson kembali untuk musim Luruh/Sejuk 2026 dengan koleksi yang mengangkat estetika klasik British, gaya yang cukup sinonim dengan rekaan Jonathan Anderson. Kali ini, inspirasi daripada dunia teater, akademia dan ekspresi seni diterjemahkan menerusi helaian klasik, perincian bernuansa vintaj serta potongan praktikal yang mudah digayakan setiap hari.
Sejak diperkenalkan pada musim Luruh/Sejuk 2017, kolaborasi ini menggabungkan kreativiti Jonathan Anderson dengan pendekatan UNIQLO yang mengutamakan keselesaan dan fungsi. Hasilnya, helaian asas tampil lebih menarik dengan perincian tersendiri tanpa mengorbankan aspek praktikaliti.

Pakaian luaran antara yang menarik perhatian dalam koleksi musim ini, dengan rekaan klasik yang diberi nafas baharu menerusi potongan lebih moden. Short Blouson uniseks tampil dengan potongan pendek dan siluet santai, sesuai untuk mereka yang menggemari gaya kasual dengan sentuhan kontemporari. Untuk wanita, Padded Short Jacket hadir dengan isian lembut yang memberikan efek volum, manakala Fleece Short Blouson sesuai dijadikan pilihan untuk gaya berlapis. Bagi lelaki pula, Windproof Fleece Jacket mengutamakan keselesaan dan fungsi, menjadikannya pilihan praktikal untuk hari yang lebih sejuk.
Bagi penggemar knitwear, koleksi ini turut menawarkan sweater V-neck dan vest leher bulat dalam pelbagai warna serta corak menarik. Cuba gayakan vest bersama kemeja putih atau padankan sweater bercorak dengan denim kegemaran anda. Mudah digayakan dan cukup untuk memberikan sedikit kelainan pada penampilan harian.

Pleated Skirt untuk wanita tampil dengan potongan asimetri yang memberikan gerakan serta dimensi baharu kepada helaian klasik. Digayakan bersama knitwear ringkas atau pakaian luaran berstruktur, skirt ini menawarkan kontras elegan kepada rekaan lain yang lebih santai. Barisan aksesori seperti stoking, skaf, beanie dan beg melengkapkan koleksi, memberikan sentuhan akhir untuk gaya Luruh dan Sejuk yang lebih tersusun.

Koleksi ini boleh didapati di butik UNIQLO terpilih dan secara dalam talian menerusi uniqlo.com/my.

