Langgan

Ili Ruzanna Tampil dengan EP 'With Love, ili'

Menerusi EP ini, Ili ingin mempersembahkan rangkaian lagu yang sarat emosi dan pengalaman cerita.
3 minit untuk membaca
Published: October 16, 2026

Setelah sekian lama menemani pendengarnya di corong radio dan berkongsi kisah hidup di media sosial, Ili Ruzanna kini memulakan lembaran baru perjalanan kreatifnya menerusi With Love, ili. Sebuah EP terbaru yang rasmi dilancarkan pada 30 Oktober 2026. Menghimpunkan empat lagu, EP ini menjadi nadi projek muzik pertama yang diterajui sepenuhnya oleh dirinya. Ia dihasilkan mengikut visi kreatifnya sendiri, bermula daripada penulisan lagu hingga ke proses penerbitan.

Mengenai EP Terbaru Ili

Mula lebih dikenali sebagai penyampai radio HITZ dan kini telah pun meninggalkan stesen itu, sekarang dia mahu memberikan tumpuan kepada pelbagai cabang kreatif. Namun, nama Ili juga bukanlah nama asing dalam landskap hiburan tempatan. Sebagai penulis lagu dan pencerita atau 'certified-yapper' di media sosial, dia sering mengangkat emosi serta pengalaman peribadi yang dekat dengan kehidupan ramai. Ini termasuklah cerita dan perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Kecenderungan itu turut menjadi nadi kepada penghasilan EP ini yang mahu menelusuri banyak cerita sisi cinta, pertumbuhan diri, kehilangan dan proses penyembuhan (healing).

EP ini memuatkan empat lagu dengan setiap satunya mempunyai kisah tersendiri. 'I Didn’t Know' mengangkat situasi sahabat yang perlu meluahkan perasaan, sekali gus mengubah cara dia melihat semula perhubungan yang pernah terjalin. Namun, sebelum sempat meluah perasaan itu, segalanya sudah terlambat apabila si dia lebih memilih untuk bersama orang lain.

Berbeza dengan kisah cinta tidak kesampaian itu, 'i love you to death' meraikan dua insan yang tetap memilih satu sama lain. Seolah-olah tiada apa yang mampu memisahkan mereka. Sementara itu, 'Whatchu Wanna Do Tonight' membawa pendengar menyelami keterujaan mengenali seseorang yang masih asing. Akan tetapi kehadirannya cukup untuk menghidupkan kembali kepercayaan terhadap cinta. Lagu pop bernuansa era 2000-an ini turut menjadi single utama EP yang dilancarkan pada 25 September lalu.

Melengkapkan perjalanan emosi tersebut ialah 'And Why?'. Ia sebuah lagu tentang hakikat bahawa tidak semua insan ditakdirkan akan kekal bersama terus di sisi. Empat lagu ini membentuk sebuah naratif tentang cinta dalam pelbagai keadaan. Segalanya daripada debaran awal perkenalan dan harapan yang tumbuh hinggalah kepada kehilangan serta penerimaan.

Perjalanan Muzik Ili Ruzanna

Walaupun With Love, ili merupakan projek EP yang lebih peribadi, perjalanan muzik Ili sebenarnya sudah bermula sejak 2019. Dia merupakan pemuzik yang belajar bermain piano secara sendiri dan pernah bekerjasama dengan beberapa nama dalam persada muzik bebas tempatan. Antaranya termasuk MFMF., Afaro, Airliftz dan ASYRFNSIR. Antara karya terdahulunya, 'Pixels' mencatatkan lebih 747,000 strim di Spotify. Selain itu 'I Don’t Mind' dan 'Shady' turut meraih lebih 200,000 strim setiap satu.

Selain muzik, Ili turut dikenali menerusi siri kandungan '30 Hari Rindu Rasa Ibu' yang diterbitkan Ramadan lalu. Ia merupakan siri khas sebagai penghormatan kepada memori arwah ibunya. Menerusi 30 episod yang menyaksikannya mengunjungi ibu-ibu di seluruh negara untuk memasak dan menikmati hidangan bersama itu, lebih 13 juta tontonan diraih serta lebih 800 perkongsian orang ramai diterima. Sambutan tersebut memperlihatkan bagaimana kisah yang berakar daripada pengalaman peribadi mampu menyentuh perasaan khalayak yang lebih luas.

Kini, Ili mahu membawa sisi penceritaannya ke pentas menerusi persembahan sulung With Love, ili pada 31 Oktober bersempena hari kelahirannya. Bakal diadakan di APW Bangsar, Kuala Lumpur, acara itu bakal menampilkan persembahan langsung keempat-empat lagu daripada EP berkenaan. Turut akan dipersembahkan beberapa lagu kegemaran peminat dan lagu-lagu saduran. Menariknya, 100 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan kepada National Cancer Society Malaysia (NCS).

Menerusi With Love, ili, Ili Ruzanna bukan hanya mahu memperkenalkan himpunan lagu barunya tetapi turut mahu mengajak pendengar menyelami emosi yang sering hadir dalam perjalanan hidup masing-masing bersama dirinya.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down