Langgan

Kecantikan Tanpa Batas : Sorotan L’Oréal di Minggu Fesyen Paris

Menggabungkan keindahan solekan, ekspresi diri dan pemarkasaan wanita, L’Oréal Paris menyerlahkan sisi kecantikan tanpa batas di Minggu Fesyen Paris.
3 minit untuk membaca
Published: October 12, 2026

Apabila berbicara tentang kecantikan wanita Perancis, gambaran yang sering hadir ialah penampilan mereka yang bersahaja. Dan seperti semua tahu, di pentas peragaan L'Oréal Paris saban tahun sememangnya mengetengahkan elemen kecantikan semula jadi, mengutamakan kesihatan kulit dan gaya hidup elegan tanpa usaha berlebihan. Mereka selalunya menghindari riasan tebal atau kontur yang berlebihan. Namun di pentas Minggu Fesyen Paris 2026, definisi tersebut hadir dalam bentuk yang lebih jauh dan luas. Menerusi Le Défilé L'Oréal Paris, kecantikan bukan sekadar diungkap berdasarkan warna gincu, kekemasan kulit, penggayaan rambut atau penampilan yang elegan. Sebaliknya, pentas ini menjadi medium untuk menonjolkan nilai diri mereka dan di dalam pada masa yang sama meraikan kebebasan, keyakinan dan kekuatan wanita.

Ini adalah pentas kecantikan untuk semua...

Gambar : instagram @lorealparis

Berlangsung pada 28 September yang lalu di Place Joffre, iaitu lokasi yang terletak di antara Menara Eiffel dan École Militaire, L'Oréal Paris meneruskan misi mereka untuk memberikan yang terbaik dalam aspek kecantikan kepada setiap wanita di seluruh dunia. Sebagai rakan rasmi Minggu Fesyen Paris 2026, L'Oréal Paris menghimpunkan duta global jenama, pereka fesyen dan pakar kecantikan. Acara ini meraikan kuasa transformatif kecantikan sambil menegaskan semula komitmen jangka panjang L'Oréal Paris untuk memperkasakan wanita. Lebih menarik, pertunjukan ini terbuka kepada semua dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia di Instagram, TikTok serta platform digital L'Oréal Paris. Justeru, acara ini menjadikan salah satu detik yang paling dinanti-nantikan dalam industri ini. 

Kepelbagaian Wajah, Kepelbagaian Definisi Cantik

Aja Naomi King, Iris Berben, Jane Fonda, Andi MacDowell, Eva Longoria, Kristen Bell (Gambar : instagram @lorealparis)

Di atas pentas, kecantikan hadir melalui pelbagai wajah termasuklah Kendall Jenner, Simone Ashley, Andie Macdowell, Viola Davis, Heidi Klum, Bebe Vio Grandis, Luma Grothe, Aja Naomi King dan Aishwarya Rai. Kehadiran mereka memperlihatkan bagaimana kecantikan tidak mempunyai satu definisi tunggal. Daripada supermodel, penyanyi, pelakon, atlet Paralimpik, dan wanita daripada pelbagai peringkat usia, setiap individu membawa karakter dan tafsiran kecantikan tersendiri. Daripada sudut kecantikan, Le Défilé turut menjadi ruang untuk memperlihatkan kreativiti para pakar solekan dan rambut.

Kika Gomes & Heidi Klum (Gambar : instagram @lorealparis)

Pakar solekan bertaraf global, Harold James dan pasukannya, bersama pakar dandanan rambut, Stéphane Lancien, serta pasukannya menghasilkan gaya ikonik menggunakan kepakaran kreatif mereka bagi mencetuskan inspirasi kecantikan dan dandanan rambut untuk musim ini. Disinilah kecantikan wanita Perancis tampil bukan sekadar melalui estetika yang minimal, tetapi melalui kebebasan untuk bereksperimen, menonjolkan keperibadian dan menjadikan kecantikan sebagai bentuk ekspresi. 

Harold James, pakar solekan (Gambar : instagram @lorealparis)

Stéphane Lancien, pakar dandanan rambut (Gambar : instagram @lorealparis)

Eva Longoria (Gambar : instagram @lorealparis)

Memperkasa Wanita Melalui Ekspresi Diri

Lebih daripada sekadar pertunjukan kecantikan, mesej memperkasakan wanita menjadi elemen utama yang menjadikan Le Défilé 2026 begitu bermakna. Dengan membawa wanita-wanita daripada pelbagai latar belakang ke pentas yang sama bagi menyampaikan idea bahawa keyakinan tidak seharusnya bergantung kepada usia, bentuk tubuh badan, pekerjaan atau latar belakang seseorang. Sebaliknya, kecantikan boleh menjadi ruang untuk seseorang menyatakan siapa dirinya dan bagaimana dia mahu dilihat. 

Celine Dion turut hadir membuat persembahan di pentas Le Défilé L'Oréal Paris 2026 (Gambar : instagram @florianlavielle_pro)

Pada masa yang sama, L'Oréal Paris turut menekankan konsep sisterhood. Apabila kecantikan diraikan melalui pelbagai wajah, penonton bukan sahaja melihat trend solekan dan rambut, tetapi turut berhadapan dengan gambaran kecantikan yang lebih inklusif. Pertunjukan ini memberi peringatan bahawa setiap wanita mempunyai ruang untuk bersinar dengan caranya tersendiri. Akhirnya, Le Défilé L'Oréal Paris 2026 membuktikan bahwa kecantikan tidak semestinya perlu mengikut satu acuan. Di tengah-tengah kemeriahan Minggu Fesyen Paris 2026, kecantikan hadir sebagai sesuatu yang lebih peribadi, tentang keberanian untuk berekspresi, kebebasan untuk memilih dan keyakinan untuk meraikan diri sendiri. Dalam dunia kecantikan hari ini, menjadi cantik bukan hanya tentang bagaimana kita kelihatan, tetapi juga tentang bagaimana kita membawa diri dan memiliki nilai diri sendiri.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down