Langgan

Paddock Beauty : Mengapa Gaya Kecantikan WAGs F1 Kini Menjadi Trend?

Dari paddock ke media sosial, kecantikan WAGs F1 ataupun "paddock beauty" kini menjadi trend yang sukar dipandang sebelah mata.
3 minit untuk membaca
Published: October 12, 2026

Tidak dinafikan lagi Formula 1 merupakan salah satu kegilaan terkini dalam dunia fesyen. Formula 1 mungkin bermula dan berakhir di litar, tetapi daya tarikannya kini jauh lebih daripada bunyi enjin dan aksi di garisan perlumbaan. Malah, paddock, yang juga dikenali sebagai ruang eksklusif, menjadi tempat berkumpulnya pasukan, keluarga, selebriti, tetamu dan personaliti terkenal. Dalam pada itu, di ruang paddock ini bukanlah sekadar tempat untuk menonton perlumbaan litar. Ia juga sebagai tempat perlumbaan gaya dalam kalangan tetamu yang hadir. Daripada fesyen hinggalah kecantikan, penampilan para WAGs (atau nama panjangnya ‘Wife And Girlfriends’) kini turut menjadi antara perhatian utama di media sosial baik di Tiktok, Instagram, papan Pinterest dan jua di pertunjukan fesyen! Malah media kecantikan turut mula mengiktiraf kecantikan para WAGs F1 ini. Ternyata “paddock beauty” memiliki estetika tersendiri.

Mengenali Estetika Paddock Beauty

Namun begitu, apakah sebenarnya tarikan WAGs ini? Jika diperhatikan, tidak ada formula untuk capai gaya mereka ini, namun ada beberapa elemen yang menggambarkan para WAGs. Gaya mereka memfokus pada estetika clean girl yang segar menampilkan kulit berseri, kontur wajah yang lembut, tona neutral dan gaya glamor yang bersahaja. Persamaan mereka ialah kesemuanya tampil polished tanpa terlalu sarat, seolah-olah kecantikan itu terhasil tanpa usaha berlebihan. 

Kulit Berseri, Solekan Minimalis

Kulit yang segar menjadi asas utama. Misalnya, kulit wajah bercahaya dengan sedikit bronzer mencipta ilusi kulit bercahaya, manakala rona merah jambu atak coral pada pipi beri kemasan wajah yang sihat. Di bahagian mata pula, gaya paddock beauty ini kurang menggunakan solekan mata yang terlalu dramatik sebaliknya lebih cenderung kepada hanya maskara, celak lembut dengan layangan wing pendek sahaja. Untuk bibir, rona nude, merah jambu bersama kemasan glos melengkapkan keseluruhan penampilan. 

Selain solekan, gaya rambut turut memainkan peranan penting. Daripada slicked-back bun dan sleek blowout kepada gaya semula jadi, gaya rambut para WAGs F1 memperlihatkan bagaimana kemasan rambut boleh mengubah keseluruhan estetika. Alexandra Leclerc, misalnya, sering menjadi wajah yang paling mudah dikenali di paddock. Dengan penampilannya yang gah bukan sahaja pada fesyennya tetapi juga pada imej kecantikannya. F1 sendiri pernah menampilkan Alexandra sebagai salah satu figura yang menonjol sepanjang hujung minggu perlumbaan.

WAGs F1 Paddock Beauty

Alexandra Leclerc, isteri Charles Leclerc (Gambar: Instagram @alexandramalenaleclerc)

Namun begitu, tidak semua bergaya bak seperti Alexandra. Ada yang memilih estetika soft glam berpenampilan manis, ada yang gemarkan gaya penuh solekan statement dan ada juga yang memilih kecantikan minimalis. Kepelbagaian inilah yang menjadikan fenomena tersebut lebih menarik. Ia bukan tentang meniru seorang individu, tetapi tentang mengenal pasti elemen kecantikan yang membentuk identiti paddock beauty. 

Populariti estetika ini juga tidak boleh dipisahkan daripada perubahan F1 yang kini menjadi fenomena budaya dunia. Paddock juga semakin menyerupai ruang fesyen, dengan penampilan tetamu dan WAGs menjadi sebahagian daripada tumpuan digital setiap hujung minggu perlumbaan. Liputan fesyen pada 2026 turut menggambarkan paddock sebagai antara ruang baharu untuk trend dan personaliti gaya. Alexandra Leclerc, Rebecca Donaldson, Kika Cerqueira Gomes, Lily Muni He dan Kim Kardashian menjadi antara figura yang kerap diperhatikan.

WAGs F1 Paddock Beauty

Pasangan romantik, Pierre Gasly dan Kika Gomes (Gambar: Instagram @kikagomes)

WAGs F1 Paddock Beauty

Rebecca Donaldson, teman wanita Carlos Sainz (Gambar: Instagram @rebeccadonaldson)

WAGs F1 Paddock Beauty

Alex Albon dan tunangnya, Lily Muni He (Gambar: Instagram @lilymhe)

Apabila Paddock Menjadi Pentas Kecantikan

Menariknya, kecantikan F1 juga semakin berkait rapat dengan dunia kecantikan secara rasmi. Pada 2026, Sephora menjadi rakan rasmi F1 Academy serta rakan runcit kecantikan rasmi siri perlumbaan wanita tersebut, termasuk activation kecantikan di beberapa kejohanan Grand Prix. Kerjasama ini menunjukkan bagaimana kecantikan, sukan dan ekspresi diri semakin bertemu dalam dunia F1. 

WAGs F1 Paddock Beauty

Natalia Granada Ferrero, Pemandu Akademi F1 (Gambar: Instagram @sephora)

Mungkin itulah sebabnya paddock beauty terasa begitu relevan sekarang. Ia tidak terlalu sempurna, tetapi tetap teratur, tidak terlalu dramatik, tetapi masih cukup untuk mencuri perhatian kamera. Dalam era kecantikan yang semakin meraikan gaya effortless, WAGs F1 menawarkan satu lagi tafsiran tentang glamor. Lebih segar, lebih moden dan cukup fleksibel untuk diterjemahkan dari litar kepada kehidupan seharian. Kini, apabila lampu kamera menyala di paddock, bukan hanya perlumbaan yang menjadi perhatian. Kecantikan juga sedang mengambil tempat di grid permulaan!

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down