Mengawani buana langit biru seraya berantara jauh, dalam kelapangan rasa yang tak terkalahkan. Berpergian ke Paris bersama Etihad Airways Dreamliner 787-9 dan bertamu di ruang istirahat premium Abu Dhabi adalah satu kenikmatan yang rasa sungguh luar biasa!
Dari satu kota besar ke kota besar yang lain. Sejujurnya, perjalanan terbang memanifestasikan kelapangan perasaan dan kebeningan fikiran yang merencanakan satu pengembaraan lancar. Mencongak segala faktor, seperti kelas kabin dan persinggahan transit yang menyelesakan.

Bulan Jun yang lalu, saya melanjutkan tugasan tahunan ke minggu fesyen antarabangsa dan kali ini, menghadirkan diri ke Minggu Fesyen Lelaki di Paris. Gelombang haba yang dijangka menyuasanai kota Paris menjentik jangkaan yang memerlukan energy secukupnya untuk mendepani keributan minggu tersebut. Terbang ke Paris dengan memilih Etihad Airways adalah seleksi tepat. Dari proses mendaftar masuk sehinggalah memijakkan kaki ke dalam kabin perniagaan Etihad Airways Dreamliner 787-9, semua koordinasi berlangsung tanpa hambatan.
Mengarah hala masuk ke kabin Dreamliner 787-9 merangkul keterujaan dengan keluasan serta keselesaan kabin yang bersandarkan stail signature Etihad Airways – menyediakan 32 Business Suites dan 271 tempat duduk di kabin Economy. Tempat duduk pilihan saya, yakni kabin perniagaan disuguhkan keunikan serta versi rekaan khas tempat duduk Elements dihasilkan oleh Collins Aerospace, yang dikenali dengan inovasi kerusi bermutu tinggi dan ia Etihad merupakan kapal terbang pertama memperkenalkan kerusi ini untuk jenis pesawat Boeing 787. Ruang ini sejujurnya sangat sempurna untuk saya menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh, sambil menonton filem Malaysia serta Hollywood, menikmati makanan-makanan in-flight yang sedap dan sudah tentu, nyaman untuk tidur.
Pengembaraan Cakerawala Biru Lebih Selesa!
Ruang dalaman kabin perniagaan menampilkan kelapangan maksimum, kesenangan rasa tanpa kompromi dan paling penting, ada privasi. Peredaran pergerakan juga tidak terasa terhad dan menggugah kenyamanan pabila duduk serta berdiri sepanjang waktu. Setiap tempat duduk kabin perniagaan menawarkan akses terus ke laluan dan boleh disandarkan menjadi lie-flat-bed 78 inci dengan tilam busa memori bersama duvet lembut, yang mengenakkan tidur saya sepanjang penerbangan. Sudut peristirahatan kabin perniagaanya begitu optimum sepertikan bersendirian di pojok peribadi tanpa ada gangguan.

Sentuhan istimewa Etihad bertunas ke kit amenity The Destination Collection yang direka eksklusif oleh dengan inspirasi daripada kota-kota dalam rangkaian penerbangannya. Lebih menarik, setiap kit dilengkapi pilihan penjagaan kulit daripada jenama kecantikan Korea, LANEIGE, termasuk Water Sleeping Mask, Lip Sleeping Mask dan Hand Cream untuk membantu memastikan kulit kekal terhidrat dan segar sepanjang penerbangan. Beg edisi terhad ini juga direka sebagai koleksi dengan nama serta koordinat destinasi pada bahagian luar dan karya seni unik di bahagian dalam.
Keefisienan Etihad bertunas ke skrin televisyen 4k 17.3 inci yang berlanjutan menyempurnakan kepraktisan kabin perniagaan. Seperti sambungan fon kepala Bluetooth, pengecasan tanpa wayar dan port pengecasan yang pelbagai. Dan yang paling menarik adalah kompartmen simpanan yang luas – selamat untuk penyimpanan sepanjang penerbangan.

Menu in-flight entertainment juga merantai perhatian saya. Sebarisan hiburan daripada antarabangsa sehinggalah ke Timur Tengah. Seperti filem, muzik, siaran berita secara langsung, saluran sukan serta permainan video yang pelbagai, membelah waktu senggang sepanjang penerbangan. Skrin televisyen dengan paparan sentuh dan opsyen untuk disesuaikan dengan telefon serta tablet peribadi yang boleh berfungsi sebagai alat kawalan jauh untuk menukar seting. Makanya, ia meminimumkan pergerakan, apalagi bila sudah diselimuti ambien nyaman.
Pengalaman penerbangan seamless ini diperkayakan lagi oleh kemudahan Wi-Fi daripada solusi kesalinghubungan daripada Viasat menggunakan teknologi Ka-band. Menyambung bicara tentang kelancaran tontonan hiburan, Wi-Fi ini malah memudahkan kecekapan siaran secara langsung, berita serta rancnagan sukan. Di samping itu, Etihad menawarkan juga Etihad Wi-Fly untuk ahli-ahli Etihad Guest yang boleh menikmati pakej chat secara percuma serta pakej Surf tanpa had data sepanjang durasi dalam penerbangan.

Seperkara lagi tentang kebaikan Etihad Airways adalah pengembara-pengembara antarabangsa yang datang ke Abu Dhabi malah disediakan keistimewaan Complimentary Travel Insurance, sebagai satu lagi manfaat berguna, sekiranya bersesuaian secara semula jadi dalam apa-apa situasi.
Jengah Abu Dhabi Sebentar Dengan Program Stopover Etihad
Naratif eksplorasi Minggu Fesyen Lelaki di Paris tidak bernoktah di pertengahan. Parameter kembara diperluaskan dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur, saya bertamu ke Abu Dhabi sebagai hab perhentian selama tiga hari dua malam. Menjalin atmosfera bertemasya dengan menyinggah ke buana ultra-moden seperti Abu Dhabi sementelahan tradisinya masih kekal terpelihara… menterjemahkan satu kenikmatan unik.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, sebagai pengembara yang menggunkanan khidmat kabin perniagaan, saya menerima layanan istimewa sejurus selepas mendarat. Diiringi khas ke pangkalan untuk menaiki chauffeur peribadi yang memandu saya ke Hotel St. Regis di Saadiyat Island. Peralihan yang berjalan lancar!
Saadiyat Island adalah lokasi tumpuan pelancongan baharu yang kini antara yang hangat diperkatakan. Lokasinya agak eksklusif serasa sentosa. Pulau ini menyatukan kemajuan pembangunan dengan aspek semula jadi, dengan integrasi kebudayaan serta kemewahan yang segalanya co-exist. Tidak hairanlah mengapa ia dilabel sebagai destinasi yang sofistikated sehingga menjadi pilihan utama permukiman.
Keenakan kembara Abu Dhabi tak terpermanai ini dilanjutkan lagi pabila saya berpeluang untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang seperti St. Regis Saadiyat Island Resort. Hotel yang berteraskan binaan Mediterranean yang dilengkapi lebih 300 bilik untuk penginap ini menerbitkan pengalaman tumpangan bermalam yang sangat elegan.
Itinerari Ringkas Abu Dhabi
Empat mercu tanda Abu Dhabi menjadi tumpuan saya. SeaWorld Abu Dhabi, teamLab Phenomena Abu Dhabi, Louvre Museum Abu Dhabi dan sudah tentu, Sheikh ayed Grand Mosque.

Lokasi yang menjadi persinggahan pertama adalah SeaWorld Abu Dhabi di Yas Island. Jiwa keanak-anakan dalam diri membarai semangat ketidaksabaran untuk melangkah masuk ke ‘akuarium’ yang berkeluasan lebih kurang 183,000 meter persegi. Pabila masuk ke pintu utamanya, saya segera mengerti mengapa SeaWorld Abu Dhabi menjadi tarikan popular. Ia bukan sekadarkan taman tema, namun adalah sebuah alam lautan yang direka dengan jalinan naratif tersendiri.
Setiap seksyen membawa pengunjung mengembara ke habitat berbeza – dari lautan tropika sehinggalah ke dunia Artik yang dinginnya di bawah paras negatif!

Sorotan utama kunjungan ini sudah tentu akuarium gergasi Endless Ocean. Saya berdiri di hadapan panel kaca yang gah binaanya itu dan penaka berada di dasar laut. Menyaksikan ikan pari, jerung, penyu serta ribuan spesies hidupan marin melintasi pandangan dalam gerakan tenang. Tercetus juga detik yang membikin saya terlupa bahawa saya sebenarnya berada di dalam sebuah bangunan. Reka bentuk ruangnya begitu immersive yang mengaburi sempadan antara realiti dan fantasi. Perjalanan diteruskan dari satu seksyen ke seksyen yang lain tanpa rasa jemu. Saya sempat menyaksikan aksi ikan lumba-lumba, melangkah ke kawasan habitat penguin dengan suhu yang menjunam yang memberikan ilusi seperti berada di Antartika.
Dari dunia lautan, saya melangsungkan perjalanan ke pengalaman spiritual. Yakni ke Sheikh Zayed Grand Mosque. Masjid gah yang antara mercu tanda terpenting Abu Dhabi yang selama ini hanya saya lihat menerusi gambar dan video di media sosial. Bayangkan, masjid ini merupakan lokasi tersenerai dalam ‘must-go’ saya.

Perjalanan menuju ke ruang solat utama sudah menjadi satu pengalaman. Laluan masuknya terasa panjang, lengkap dengan ruang bawah tanah yang menempatkan deretan butik, kafe dan pusat membeli-belah sebelum pengunjung tiba di kawasan utama masjid. Segala-galanya diatur dengan begitu sistematik, membuatkan aliran ribuan pengunjung setiap hari masih terasa teratur dan tenang.
Apabila melangkah keluar ke ruang terbuka, mata saya terus terpaku pada binaan marmar putih yang memantulkan cahaya matahari senja. Kubah-kubahnya megah, sementara tiang-tiang dihiasi ukiran bunga daripada batu berharga yang dihasilkan sepenuhnya oleh tangan manusia. Lantai halaman pula diselimuti corak mozek bunga yang begitu teliti pembuatannya. Setiap inci ruang memperlihatkan kehalusan seni bina Islam yang dipadukan dengan ketelitian pertukangan moden. Apa yang mengagumkan adalah, walaupun menerima kunjungan jutaan pelawat setiap tahun, keseluruhan kawasan masjid ini kekal bersih dan dijaga rapi.
Masuk hari ketiga di Abu Dhabi pula menjadi antara kemuncak keseluruhan perjalanan saya. Saya menanti-nantikan untuk ke teamLab Phenomena Abu Dhabi dan akhirnya berpeluang jua untuk melawat! Sebagai seorang individu yang sentiasa tertarik dengan dunia sains, teknologi dan misteri angkasa lepas, saya merasakan ruang ini umpama membawa saya melangkaui batas imaginasi. Di samping berfungsi sebagai ‘galeri’ seni digital, ia juga adalah ruang pengalaman yang mengajak pengunjung menjadi sebahagian daripada penerokaan yang bersifat interaktif.

Setiap bilik menawarkan dimensi yang berbeza. Ada ruang yang berubah mengikut pergerakan tubuh, ada yang bertindak balas terhadap sentuhan, malah ada juga yang berubah warna mengikut jumlah manusia di dalamnya. Orang dewasa seperti saya turut hanyut dalam keterujaan di teamLab Phenomena, apalagi berjalan dari satu instalasi ke satu instalasi lain berbekalkan keingintahuan yang kuat.
Ruang kegemaran saya adalah sebuah bilik yang dilengkapi jaring tegang, membolehkan pengunjung berjalan dan berbaring sambil memandang hologram yang bergerak bebas di siling. Saya menghabiskan masa agak lama di situ, seraya mendongak menikmati perubahan visual tersebut. Terasa seperti terapung di angkasa!
Satu lagi instalasi yang meninggalkan kesan mendalam adalah ruang kolam air yang dipenuhi bebola gergasi. Setiap langkah menghasilkan riak dan tindak balas cahaya yang berbeza, menjadikan keseluruhan ruang sentiasa berubah mengikut kehadiran pengunjung. Sebelum mengakhiri kunjungan, saya sempat berehat menikmati secawan teh Jepun di kafe teamLab. Menyeropot teh dalam gelas yang mengelurkan bunyi setiap kali diangkat dalam suasana yang dikelilingi karya seni digital terasa seperti satu alam khayalan.

Persinggahan terakhir sebelum meninggalkan Abu Dhabi adalah ke Louvre Abu Dhabi. Sebagai pencinta seni dan fesyen, destinasi ini juga adalah satu kemestian. Muzium ikonik yang direka arkitek Perancis, Jean Nouvel ini dibuka pada tahun 2017, hasil kerjasama antara Emiriah Arab Bersatu dengan Perancis, sekali gus menjadi muzium pertama yang menggunakan nama Louvre di luar Paris.
Seni bina kubah gergasi – yang seolah-olah ‘terapung’ itu membenarkan cahaya matahari menembusi di celah-celah corak atap, menghasilkan fenomena yang digelar ‘Rain of Light’.
Saya menghabiskan masa hampir berjam-jam menelusuri galeri menghimpunkan pelbagai khazanah tamadun dunia. Manuskrip purba, arca klasik, artifak Mesir, sehinggalah karya moden daripada pelukis-pelukis tersohor. Sungguhpun dalam hati, saya sempat mengharapkan dapat bertemu Mona Lisa. Sayangnya, karya agung Leonardo da Vinci itu kekal menghuni Louvre di Paris. Namun, rasa tersebut segera terubat apabila berpeluang menyaksikan sendiri karya asli Piet Mondrian yang selama ini hanya saya tatap menerusi buku. Berdiri beberapa langkah di hadapan karya tersebut memberikan satu rasa yang jauh berbeza dengan menyaksikan sendiri sapuan warna dan komposisinya membuatkan saya lebih menghargai keunggulan seorang maestro seni.
Tiga hari dua malam di Abu Dhabi mengubah persepsi saya terhadap kota ini. Di sebalik imej metropolis moden yang sering dikaitkan dengan kemewahan, Abu Dhabi sebenarnya memiliki keseimbangan yang cukup indah di antara warisan, seni, teknologi dan alam semula jadi. Dan apabila keseluruhan pengalaman itu disulam dengan layanan premium Etihad Airways dari awal perjalanan sampailah kembali menjejak Kuala Lumpur, saya menyedari bahawa pengembaraan bukan hanya tentang tujuan destinasi, namun juga bagaimana setiap detik perjalanan itu diraikan dengan penuh keselesaan dan kesejahteraan diri terjaga.

