Sejak beberapa musim lalu, kemasan matte kembali menjadi pilihan ramai. Namun kali ini, Dior Beauty tampil dengan tafsiran yang berbeza. Ketika menghadiri pelancaran global Rouge Dior On Stage di Bangkok bulan lepas, saya berpeluang mencuba sendiri dua formula baharu ini sebelum berbual bersama Peter Philips tentang inspirasi di sebaliknya.
Rouge Dior On Stage Matte hadir dalam bentuk gincu klasik dengan kemasan matte yang cukup elegan, manakala Rouge Dior On Stage Ink Blur Matte pula menawarkan tekstur cecair yang memberikan efek blur lembut dengan intensiti warna yang boleh dibina mengikut cita rasa. Namun, ketika berbual bersama Peter Philips, apa yang paling menarik perhatian saya bukan sahaja formulanya, tetapi falsafah di sebalik pelancarannya.
"Kami hanya menghasilkan 10 rona," jelasnya. "Ia memang satu keputusan yang disengajakan." Menurut Peter, terlalu banyak pilihan warna sering kali mengalihkan perhatian daripada perkara yang paling penting iaitu formulanya sendiri. "Apabila terlalu banyak warna diperkenalkan, orang akan lebih memberi perhatian kepada rona berbanding identiti sebenar produk." Justeru, setiap rona dipilih dengan teliti. Daripada nude sehinggalah merah klasik, semuanya direka sebagai warna ready-to-wear yang mudah dipakai setiap hari tanpa terasa mengintimidasi. "Saya mahu wanita melihat koleksi ini sebagai sesuatu yang mudah didekati, bukan hanya untuk pencinta fesyen, tetapi untuk semua."
Dua Rona Baharu
Selain dua formula matte baharu, Peter turut memperkenalkan dua rona tambahan untuk koleksi Rouge Dior On Stage Shine. Formula ini sememangnya terkenal kerana menggabungkan kilauan tinggi, keselesaan dan ketahanan dalam satu sapuan. Rahsianya terletak pada teknologi dua fasa Dior yang mengunci pigmen pada bibir sambil mengekalkan kemasan berkilau menerusi campuran minyak yang memberikan kelembapan berpanjangan.
Dua rona baharu yang diperkenalkan ialah: 999, merah ikonik Dior yang menjadi sebahagian daripada DNA maison sejak sekian lama. "999 sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti Dior," katanya. "Ia membuktikan bahawa kemasan berkilau juga mampu memberikan warna yang pekat dan menyerlah." Satu lagi ialah 328 Dazzling Rose, rona beige rosewood yang hangat dan cukup versatil.

