Langgan

Meneroka Perkembangan Fesyen Malaysia di Pentas Dunia

Setiap kejayaan yang diraih bukan sekadar mengangkat nama individu atau jenama, malah membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu mendapat tempat di pentas fesyen global.
2 minit untuk membaca
Published: September 1, 2026
Gambar ihsan Instagram/ @mrselfportrait

Membina kerjaya dalam industri fesyen tempatan bukanlah perjalanan yang mudah. Daripada peluang yang terhad hinggalah cabaran membina jenama sendiri, ramai yang berdepan dengan hakikat bahawa bakat dan kreativiti semata-mata tidak menjaminkan kejayaan. Itulah realiti pahit yang perlu ditelan semua.

Charli XCX memadankan kasut tumit tinggi Jimmy Choo di hari bahagianya.
Gambar ihsan Instagram/ @jimmychoo

Namun, nama-nama seperti Jimmy Choo, Zang Toi dan Han Chong membuktikan bahawa bakat dari Malaysia mampu menembusi industri fesyen antarabangsa. Ini menjadi bukti kukuh bahawa bakat dan kreativiti kita sebenarnya mampu bersaing di peringkat global. Ia juga melambangkan pengiktirafan terhadap identiti, keunikan dan potensi industri fesyen Malaysia di pentas dunia - sebuah pencapaian yang sememangnya wajar diraikan.

Pengaruh anak Malaysia di arena fesyen antarabangsa tidak terhad kepada nama-nama ini sahaja. Jenama seperti Rizman Ruzaini turut mengangkat nama Malaysia ke peringkat global menerusi rekaan yang pernah digayakan oleh figura seperti Naomi Campbell, Lady Gaga dan Rawdah Mohamed. Sementara itu, Ghostboy, label fesyen yang diasaskan oleh David Han dan Cyii Cheng pada tahun 2020, kini telah melangkah lebih jauh dengan menembusi pasaran antarabangsa melalui rangkaian pengedar di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

Malah, Malaysia turut memiliki barisan model fesyen elit yang berjaya melangkah ke pentas peragaan global untuk jenama-jenama terkemuka dunia. Antaranya termasuk Ridzman Zidaine, Gwen Lu, Shikin Gomez, Atikah Karim dan Ling Tan, yang membina kerjaya sambil berulang-alik antara Malaysia dan pusat-pusat fesyen dunia. Walaupun Malaysia mungkin belum berdiri sebagai salah satu pusat utama fesyen, setiap pencapaian yang diraih oleh bakat tempatan ini membuktikan bahawa kreativiti, bakat dan visi dari Malaysia mampu mendominasi pasaran luar negara.

Shikin Gomez, gambar ihsan Launchmetrics Spotlight

Persoalannya kini bukan lagi sama ada Malaysia mampu melahirkan pereka atau bakat fesyen bertaraf dunia. Bukti kejayaan tersebut sudah jelas terpampang. Persoalan sebenar adalah sama ada ekosistem fesyen tempatan mampu menyediakan ruang, sokongan dan peluang yang mencukupi agar lebih ramai bakat tempatan yang dapat membina kerjaya global dengan asas sokongan yang kukuh di tanah air sendiri, tanpa perlu meninggalkan tanah air untuk membina nama. 

“Pentas peragaan tempatan memberi impak yang sangat besar dan menjadi batu loncatan kepada para pereka fesyen. Saya sendiri sudah hampir 10 tahun berada di pentas KLFW, dan bagi saya, konsistensi itu sangat penting. Platform seperti ini membolehkan kami mengetengahkan identiti jenama serta memperkenalkan koleksi dan trend terkini kepada umum. Tanpa pentas seperti KLFW atau MBFWKL, agak sukar, terutamanya bagi pereka muda, untuk mengorak langkah dalam industri fesyen tempatan,” kata Zaimi Zulkafli, pereka fesyen Malaysia. “Malaysia mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri, cuma kita masih kurang mengangkat serta mempromosikan karyawan tempatan. Ramai yang tidak mengetahui siapa insan di sebalik setiap hasil tersebut,” tambahnya lagi.

Baca artikel penuh “Dari Malaysia Ke Pentas Dunia” di ELLE Malaysia isu Ogos 2026.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down