
Masih tak tahu nak buat apa hujung minggu ini? Jangan risau. Oleh kerana Merdeka 2026 jatuh pada hari Isnin penganjur-penganjur mengambil peluang hujung minggu yang panjang ini untuk mengadakan pelbagai acara menarik sempena hari kebangsaan ini. Daripada persembahan muzik dan sajian tempatan hinggalah pameran budaya, bengkel kreatif dan jenama tempatan. Jika anda masih mencari aktiviti untuk mengisi hujung minggu panjang ini, berikut lima acara Merdeka pilihan ELLE untuk anda kunjungi.
1.RIUH Merdeka
Hujung minggu ini, RIUH Merdeka bakal mengambil alih Monumen Alaf Baru, Putrajaya dengan barisan persembahan tempatan yang cukup meriah, menampilkan nama seperti Ernie Zakri, Anuar Zain, Hafiz Suip dan Noraniza Idris. Selain muzik, pengunjung turut boleh menikmati sajian tempatan, bengkel kreatif, aktiviti kanak-kanak dan pelbagai pengalaman budaya. Antaranya adalah Wayang Pacak serta pertunjukan kapal terbang. Kemuncak sambutan pula bakal menyaksikan kiraan detik Merdeka dan pertunjukan bunga api menjadikannya antara acara yang sesuai untuk mereka yang mahu menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana penuh hiburan dan semangat patriotik.
- 30โ31 Ogos 2026
- Monumen Alaf Baru, Putrajaya
- Kemasukan percuma
2. Serba Serbi Irama Merdeka
Raikan kepelbagaian cerita, warna dan warisan Malaysia menerusi Serba Serbi Irama Merdeka yang berlangsung di Kongsi Kreatif, Aras 2, Pejabat Pos Lama, Bangunan Sultan Abdul Samad. Selain menampilkan budaya, kreativiti dan komuniti tempatan, acara ini turut mengetengahkan jenama tempatan seperti Anaabu, Asly dan Erraqa, memberikan pengunjung peluang mengenali karya dan hasil kreatif anak tempatan dalam suasana yang sarat dengan nilai sejarah. Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan antara mercu tanda bersejarah paling ikonik di Kuala Lumpur dan menjadi lokasi penting menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Latar bersejarah ini menjadikan sambutan Merdeka di sini lebih bermakna, apabila warisan masa lalu bertemu kreativiti generasi hari ini.
- 29โ31 Ogos 2026
- 10 pagiโ10 malam
- Kongsi Kreatif, Aras 2, Pejabat Pos Lama, Bangunan Sultan Abdul Samad
- Kod pakaian: Busana tradisional
3. Pasar Seloka
Bagi yang mencari sambutan Merdeka dalam suasana lebih santai dan intim, Pasar Seloka menghimpunkan 10 jenama Malaysia terpilih, pengkarya tempatan dan idea kreatif di Ombak KLCC. Antara jenama tempatan yang diketengahkan termasuk Aloe Scarves, RIMBUNKL dan Milliot. Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti yang membolehkan pengunjung mencipta sesuatu dan membawa pulang hasil tangan sendiri. Menambah sentuhan nostalgia, @_kanta.studio turut menawarkan potret berinspirasikan fotografi vintaj sempena Merdeka, sesuai untuk mereka yang mahu merakamkan momen istimewa dalam gaya klasik.
- 28โ31 Ogos 2026
- 10 pagiโ10 malam
- Ombak KLCC
4. Ragam Rona Rakyat Vol. 2
Central Market sememangnya antara lokasi pilihan untuk menikmati acara seni, budaya dan aktiviti tempatan pada hujung minggu, dan kali ini tidak terkecuali apabila Ragam Rona Rakyat Vol. 2 kembali menghidupkan suasana di Pasar Seni. Membawa tema kepelbagaian budaya Malaysia, acara ini menghimpunkan seni, muzik, makanan dan pengalaman budaya dalam satu ruang yang penuh warna. Dengan sambutan berlangsung sepanjang hujung minggu Merdeka sehingga awal September, inilah masa yang sesuai untuk singgah ke Central Market, meneroka ruang ikoniknya dan mengenali pelbagai cerita, tradisi serta warisan yang membentuk identiti Malaysia.
- 28 Ogosโ2 September 2026
- Pasar Seni, Kuala Lumpur
5. cirKLe Makan2 Merdeka Semester 2026
Kalau makanan adalah antara sebab utama anda keluar hujung minggu, cirKLe Makan2 Merdeka Semester 2026 di The Campus Ampang wajib dimasukkan dalam senarai. Selama tiga hari, acara ini meraikan makanan, budaya, kreativiti dan komuniti tempatan dengan 14 cita rasa dari negeri-negeri di Malaysia, selain menampilkan jenama tempatan, bengkel kebudayaan, persembahan serta Art & Craft Market. Jadi, bukan sekadar datang untuk makan, pengunjung turut berpeluang mengenali lebih dekat kepelbagaian rasa dan kreativiti yang membentuk landskap tempatan.
- 28โ30 Ogos 2026
- 11 pagiโ12 tengah malam
- The Campus Ampang

