
Pada pentas Milan Fashion Week 2026, Demna mempersembahkan koleksi pertamanya sebagai pengarah kreatif bagi Gucci Musim Luruh/Dingin. Langkah demi langkah model melalui landasan pertunjukan fesyen itu, jelas bahawa koleksi ini tampil dengan lebih edge, berbeza dengan beberapa tahun kebelakangan ini. Daripada penggunaan kulit dan latex ke solekkan bold dan messy. Ternyata koleksi ini menerima pengaruh daripada subbudaya alternatif. Perubahan dalam arahan kreatif ini menarik perhatian khalayak ramai kepada gaya alternatif yang semakin berkembang dalam dunia fesyen.

Sumber: Launchmetrics Spotlight
Walaupun gaya alternatif semakin tular dengan pelbagai pereka fesyen dan juga selebriti yang merangkul serta menggayakan estetika itu, pada asasnya ramai lagi yang tidak boleh mentakrifkannya. Disebalik penampilan yang berani, lain daripada gaya biasa dan kadangkala mengerikan, terdapat maksud kepada jenis gaya ini. Di bawah payung ‘alternative style’ terdapat pelbagai cabang dan subbudaya, semuanya membawa maksud tersendiri.
Akar Sebuah Subbudaya

Sumber: Instagram (@thewestwoodarchives)
Subbudaya punk, goth, grunge dan seumpamanya pada awalnya berasaskan muzik dan kemudian membentuk estetika masing-masing. Jenis estetika ini muncul sebagai pemberontakan terhadap gaya mainstream dan kini diterima sebagai medium ekspresi diri. Sifat ekspresi diri yang unik dan individualistik ini selalunya diterjemahkan dengan pengubahsuaian pakaian dan amalan DIY (Do It Yourself) bagi menentang kekemasan fesyen di pasaran dan budaya konsumerisme. Hasilnya membentuk pakaian berciri one-of-one dan unik bagi diri sendiri. “Tujuannya adalah ekspresi diri sebenar, walaupun bertentangan dengan pendapat khalayak ramai,” kata Tengku Hadhira, artis dan komposer yang aktif dalam komuniti alternatif Malaysia.

Sumber: The Metropolitan Musuem of Art
Punk, subbudaya belia Barat yang muncul pada pertengahan 1970-an, berasaskan semangat anti-pemerintah dan kebebasan ekspresi diri, dengan estetika yang menggunakan barangan harian seperti pin keselamatan serta mengubah simbol golongan atasan seperti rantai mutiara dan corak tartan menjadi gaya subversif sebagai kritik. Antara tokoh pentingnya ialah Vivienne Westwood melalui rekaan seperti kemeja-T “God Save The Queen”. Selepas itu, lahirnya post-punk menerusi kumpulan seperti Siouxsie and the Banshees dan The Cure. Mereka mempengaruh subbudaya goth dengan gaya lebih romantik dan gelap melalui penggunaan renda, velvet dan elemen Victorian. Estetika grunge pula menggabungkan unsur punk-rock dengan pakaian kelas pekerja seperti kemeja flannel, but Dr. Martens serta pakaian thrifted atau lusuh sebagai lambang berjimat cermat dan penggunaan jangka panjang.
Estetika Alternatif di Pentas Global

Sumber: Launchmetrics Spotlight
Hampir semua subbudaya di bawah payung alternatif mementingkan mesej dalam pemakaian mereka. Kembali ke pertunjukkan fesyen musim Luruh/Dingin 2026, Matières Fécales adalah antara pereka yang mengambil perhatian ramai. Pertunjukkan fesyen mereka penuh makna tersirat, mengkritik konsumerisme, budaya duit dan kecantikan dunia moden. Model-model berjalan di atas landasan dengan menyarung topeng yang diperbuat dari duit kertas atau kad bank dan ada juga penyumbat mulut yang diperbuat dari mutiara. Semua simbol duit dan status dan menggambar kawalan duit dalam kehidupan.

Sumber: Instagram (@angustsuiofficial)
404: Safety Not Found oleh Angus Tsui menggunakan body horror yang menyeramkan. Koleksi ini menampilkan rekaan seakan kulit-kulit mengelupas dan berdarah dan banyak lagi reka bentuk untuk menyampaikan mesej ekstrem tentang kesan-kesan buruk pada era digital ini. Pereka lain yang mengangkat estetika ini termasuk Rick Owens, Junya Watanabe, Ashi Studio dan Dilara Findikoglu. Dua rumah fesyen terakhir ini menceburi juga pop culture baru-baru ini dengan penggayaan method dressing oleh Jenna Ortega untuk siri TV ‘Wednesday’ dan juga Margot Robbie untuk filem ‘Wuthering Heights’. Lady Gaga untuk promosi album ‘Mayhem’ juga telah mempersembahkan gaya yang lebih gelap seiring dengan estetika album itu. Penyanyi FKA twigs pula bukan sahaja menggayakan fesyen alternatif untuk projek baharunya tetapi juga pada gaya harian.
Naratif Tempatan dalam Fesyen Alternatif

Fesyen dan budaya alternatif bukan sahaja berkembang di luar negara malah golongan alternatif tempatan juga menghidupkan budaya ini di Malaysia. Fesyen alternatif tempatan pada zaman ini melihat perkembangan di acara weekend market yang sering menempatkan usahawan kecil seperti kedai pakaian thrift ataupun pereka barangan buatan sendiri. Kedua-duanya konsep ini selari dengan pandangan komuniti alternatif. Pada tahap yang lebih profesional, ada juga pereka fesyen tempatan yang merangkul estetika ini. Huntilanak, sebuah jenama yang menterjemahkan budaya Asia Tenggara melalui lensa yang lebih gelap juga jatuh dalam kategori fesyen alternatif. “Secara peribadi, saya tertarik kepada perkara yang sesetengah orang menganggap sebagai kelam, mengerikan atau tidak konvensional,” kata Ryan Alexandar, pengasas bagi Huntilanak. Rekaan MSYD dalam koleksi ‘Legend Dystophia’ juga meneruskan tema interpretasi budaya yang lebih gelap ini. Kedua-dua pereka ini melambangkan keunikan gaya alternatif di Malaysia.

Semakin ramai artis alternatif antarabangsa sepertiMy Chemical Romance dan Evanescence mengadakan konsert di Malaysia pada tahun ini. Komuniti alternatif tempatan juga semakin berkembang. Nat Yong, seorang seniman yang aktif dalam komuniti alternatif berharap dengan perkembangan ini semua golongan alternatif dapat dilayan dengan rasa hormat dan kebaikan yang sama seperti orang biasa. “Sebagai masyarakat berbilang budaya, kita sepatutnya menerima serta meraikan perbezaan antara satu sama lain,” ujar Nat.

