
Kemunculan watak Miranda Priestly dalam filem ‘The Devil Wears Prada 2’ dengan jaket berjumbai dramatik daripada koleksi Dries Van Noten Musim Luruh/Dingin 2025 seakan memberi isyarat jelas: era quiet luxury mungkin sudah berakhir. Penampilan itu sememangnya agak mustahil untuk diabaikan. G-Dragon turut menggayakan jaket statement yang sama semasa persembahan Übermensch Encore di Osaka dan Taipei, sekali gus menegaskan kebangkitan cita rasa dunia fesyen yang kembali berani.
Sebelum ini, trend stealth wealth, di mana kemewahan sebenar dizahirkan melalui simbol status yang tidak ketara menjadi formula bagi It girl di media sosial untuk tampil bergaya. Siluet ringkas, palet rona neutral dan lembut, fabrik premium serta logo yang hampir tidak kelihatan menjadi ciri utama estetika ini. Antara wajah paling sinonim dengan gerakan quiet luxury, Kendall Jenner membantu mempopularkan estetika ini menerusi penampilan gaya jalanannya yang sentiasa kemas, minimal dan bersahaja.
Dan selepas berlakunya permainan ‘musical chairs’ dalam kalangan pengarah kreatif industri fesyen, kita dapat menyaksikan perubahan ketara dalam hala tuju beberapa rumah fesyen terbesar dunia. Perubahan ini telah menyuntik tenaga baharu ke dalam industri, dengan banyak jenama kini semakin cenderung kepada pendekatan more-is-more serta keberanian kreatif yang lebih ketara sejak beberapa musim kebelakangan ini. Antara nama yang menerajui fasa baharu ini termasuk Alessandro Michele di Valentino, Jonathan Anderson di Dior, Matthieu Blazy di Chanel, Michael Rider di Celine, Demna di Gucci dan beberapa lagi nama yang lain.
Kesan daripada peralihan kreatif ini mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan buat sesetengah jenama. Menurut The Lyst Index Q1 2026, Chanel, Saint Laurent dan Dior menduduki tiga tangga teratas bagi kategori ‘Hottest Brands’. Walaupun kejayaan ini tidak boleh dikaitkan dengan satu faktor sahaja, sebahagian besar daripada pencapaian ini menunjukkan bahawa pencinta fesyen kini kembali menyambut fesyen yang lebih ekspresif, selari dengan deretan koleksi yang dipersembahkan oleh jenama-jenama ini.
View this post on Instagram
“Matthieu di Chanel telah mengalihkan semula perhatian kepada hasil dan ketukangan. Kejayaannya tidak didorong oleh pemasaran semata-mata, tetapi oleh komitmen yang jelas terhadap asas sebenar kemewahan: produk itu sendiri.” komen akaun @iapigi_designerspace di hantaran Instagram Lyst. “Akhirnya, ada seseorang yang benar-benar memahami perkara ini. Dan tidak menghairankan, dia datang daripada salah satu rumah fesyen mewah Perancis yang paling berpengaruh. Mungkin inilah perubahan sebenar yang telah lama dinantikan oleh industri fesyen,” tambahnya lagi.
Matthieu Blazy dilihat menghidupkan semula semangat eksperimen, ketukangan halus dan sentuhan fantasi yang pernah menjadi nadi kepada era-era paling gemilang Chanel. Daripada sekadar memelihara warisan rumah fesyen itu, Matthieu mentafsir semula kod-kod ikoniknya melalui lensa yang lebih segar, menjadikan Chanel terasa lebih dekat dengan generasi kini. Di Saint Laurent pula, Anthony Vaccarello mempersembahkan tafsiran moden terhadap power dressing. Visinya kekal elegan dan sensual dengan potongan yang tajam, namun pada masa yang sama menampilkan keyakinan yang jelas menerusi permainan warna, proporsi dan siluet. Sementara itu, Dior di bawah Jonathan Anderson bergerak ke arah pendekatan yang lebih imaginatif dan ekspresif. Koleksinya menggabungkan kod-kod ikonik Dior dengan siluet yang tidak konvensional, proporsi yang diperbesar serta perincian quirky yang menjadikan rumah fesyen itu terasa lebih artistik dan sarat dengan unsur penceritaan.
Tanda-tanda kebangkitan maximalism juga semakin jelas. Kita melihat kebangkitan warna dan corak yang berani termasuk cetakan haiwan dan polka dot, tekstur yang pelbagai dan menyeronokkan termasuk fringes dan feathers, serta lapisan perincian yang lebih kaya dan ekspresif. Aksesori pernyataan seperti anting-anting bersaiz besar, rantai bold, kaca mata berskala dramatik, serta tali pinggang yang lebih mencuri perhatian turut menjadi elemen utama gaya. Padanan warna juga menjadi lebih eksperimental: oren dengan biru, hijau dengan merah jambu, merah dengan kuning, ungu dengan coklat ataupun kuning dengan biru muda.
Koleksi Resort terbaru Louis Vuitton untuk Musim Panas 2026 turut menampilkan almari pakaian musim panas dengan warna-warna terang seperti pink, oren dan biru. Ia adalah antara kombinasi paling berani yang pernah dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada masa yang sama, fesyen selebriti turut mempengaruhi trend ini, sama ada di acara karpet merah atau gaya jalanan peribadinya.
Pendedahan busana perkahwinan Dua Lipa menampilkan rekaan Chanel Haute Couture yang luar biasa, dihiasi 480,000 manik serta 25,000 bulu pada train gaun, lengkap dengan veil panjang bermotif burung dan bunga yang disulam halus. Gaun ini disempurnakan dengan perincian rantai kristal berlapis di bahagian belakang yang terdedah. Keseluruhan rekaan merupakan satu perayaan terhadap ketukangan, kemewahan dan fantasi. Tidak mustahil ia bakal mempengaruhi generasi pengantin akan datang, mendorong mereka memilih gaun yang lebih dramatik. Model dan pencipta kandungan digital, Nara Smith yang dikenali dengan estetika domestic glamour di TikTok turut muncul sebagai ikon maximalist. Nara sentiasa menampilkan gaya yang penuh karakter dalam kandungan memasak ‘from scratch’ yang dikongsikan di media sosial.
Namun, maximalism hari ini berbeza daripada satu dekad yang lalu. Mungkin ramai yang masih mengaitkannya dengan era Gucci 2017 di bawah Alessandro Michele: penuh dengan cetakan eklektik, lapisan corak dan aksesori berlebihan. Walaupun estetika itu masih berpengaruh, versi hari ini terasa lebih halus dan matang. Ia bukan lagi tentang keterlaluan semata-mata, tetapi tentang keyakinan, personaliti dan kebebasan kreatif.
Kebangkitan semula budaya Y2K turut mengukuhkan perkara yang sama. Awal tahun 2000-an meraikan logo, kilauan, warna dan ekspresi diri tanpa batas. Kembalinya trend ini mencerminkan keinginan yang semakin meningkat terhadap fesyen yang lebih menyeronokkan dan penuh emosi, bukan sekadar praktikal atau berfungsi semata-mata.
Ini tidak bermakna quiet luxury sudah sepenuhnya hilang. Potongan klasik, palet neutral dan investment pieces akan sentiasa mempunyai tempat dalam almari moden. Fesyen bukanlah soal memilih satu gaya sahaja, tetapi ruang yang membenarkan pelbagai bentuk ekspresi. Tiada gaya yang dianggap ‘betul’ atau ‘salah’.
Mungkin sebab itulah maximalism terasa begitu menyegarkan ketika ini. Ia menggalakkan eksperimen terhadap identiti peribadi seseorang. Walaupun tidak praktikal, ia tetap mencetuskan perbualan, membangkitkan emosi dan memberi ruang untuk gaya peribadi berkembang dengan lebih bebas. At the end of the day, fashion should be fun.

