Langgan

Asas Solekan Sempurna Bersama Peter Philips dan Dior Beauty

Dior Beauty memperkenalkan generasi baharu primer yang memanjangkan ketahanan solekan.
6 minit untuk membaca
Published: June 28, 2026
Peter Philips
Gambar ihsan Dior

Solekan yang tahan lama sebenarnya bermula jauh sebelum sapuan bedak asas. Menerusi pelancaran Dior Forever Skin Veil dan Forever Velvet Veil, Dior Beauty memperkenalkan generasi baharu primer yang memanjangkan ketahanan solekan serta menawarkan manfaat penjagaan kulit dalam satu langkah.

Awal bulan Jun, saya berpeluang meluangkan waktu bersama Peter Philips, Creative and Image Director Dior Beauty yang juga antara arkitek paling berpengaruh dalam landskap solekan global. Perjalanan ke Bangkok kali ini bukan hanya untuk menyaksikan pelancaran produk baharu tetapi untuk menyelami falsafah di sebalik inovasi terkini Dior Beauty dalam seni mencipta kulit yang sempurna. Di hotel Four Seasons Bangkok, sebuah penthouse telah diubah menjadi dunia Dior Beauty yang eksklusif. Di sebalik susunan produk yang tersusun rapi di atas meja panjang, perbualan kami mengalir tentang dua bintang baharu dalam keluarga Dior Forever: Forever Skin Veil dan Forever Velvet Veil. Direka untuk mempersiapkan kulit sambil meningkatkan prestasi solekan, kedua-dua primer ini menampilkan formula 4-dalam-1 yang menggabungkan manfaat penjagaan kulit dan solekan dalam satu langkah mudah. Ditawarkan dalam dua kemasan berbeza – kilauan berseri dan matte kabur (blurring matte) – kedua-duanya memenuhi keperluan kulit yang berbeza namun berkongsi matlamat yang sama: mencipta kanvas sempurna untuk solekan yang tahan lebih lama.

Peter Philips
Gambar ihsan Dior

Dior Forever Skin Veil mempunyai tekstur yang ringan memberikan apa yang digambarkan Peter sebagai “photo studio glow”, menghasilkan kulit yang tampak sihat, segar dan bercahaya sambil memastikan solekan kekal cantik sepanjang hari. Bagi mereka yang lebih menggemari kemasan bebas kilau, Dior Forever Velvet Veil menawarkan pendekatan yang berbeza. Ringan dan menyegarkan pada kulit, primer ini membantu menghaluskan, mengaburkan dan memperkemaskan tekstur kulit tanpa menghilangkan seri semula jadinya.

“Skin Veil memberikan kemasan yang bercahaya dengan tekstur yang sangat ringan,” jelas Philips. “Sebaliknya, Velvet Veil direka untuk meminimumkan penampilan liang pori sambilmenghasilkan efek kabur yang sangat cantik.” Philips menyamakan pendekatan solekannya dengan mille-feuille, pastri Perancis yang dibina melalui lapisan-lapisan halus.

“Saya suka melapiskan rutin kecantikan saya dalam lapisan yang nipis,” katanya. “Ia jauh lebih berkesan berbanding menggunakan satu lapisan produk yang tebal. Apabila semuanya diaplikasikan secara seimbang dan berlapis dengan betul hasilnya akan bertahan jauh lebih lama.”

SOAL JAWAB BERSAMA PETER PHILIPS

Peter Philips
Dari kiri: Peter Philips dan Sarah Hani Jamil, Ketua Pengarang ELLE Malaysia

Kedua-dua Skin Veil dan Velvet Veil digambarkan sebagai primer 4-dalam-1, sesuatu yang agak berbeza daripada konsep primer tradisional. Apakah yang anda mahu produk ini lakukan secara berbeza?

Ia berpunca daripada falsafah yang telah lama kami pegang sejak mula menggabungkan penjagaan kulit dan solekan bertahun-tahun dahulu. Apabila kami melihat manfaat pendekatan tersebut dan bagaimana pengguna benar-benar menghargainya, ia akhirnya menjadi sebahagian daripada DNA kami.Gabungan antara penjagaan kulit dan solekan, dengan memasukkan bahan-bahan yang menyuburkan ke dalam produk kosmetik, kini menjadi teras kepada cara kami membangunkan produk. Jika kami mampu menggabungkan empat langkah dalam satu formula, mengapa tidak?

Pada pendapat anda, adakah kita sedang menyaksikan kebangkitan semula solekan matte? Dan jika ya, bagaimana ia berbeza daripada trend matte sepenuhnya yang popular sekitar 2016?

Saya rasa solekan matte hari ini tidak lagi bermaksud kemasan matte yang rata dan tanpa dimensi. Kini, semua orang memahami keindahan dan manfaat solekan yang mempunyai elemen glow. Kadangkala ia mungkin terlalu berkilau, tetapi itu sebahagian daripada proses untuk mencari gaya yang sesuai dengan diri sendiri. Sebab itu saya tidak terlalu memberi tumpuan kepada pigmen atau bedak semata-mata. Saya lebih gemar tekstur gel yang memberikan efek kabur atau blur. Konsep blur ini menghasilkan kemasan matte yang lebih bercahaya dan sesuai untuk semua peringkat usia. Jika kemasan terlalu matte, terutama pada kulit yang lebih matang, ia boleh kelihatan sedikit kapur. Sebaliknya, tekstur yang mengaburkan membantu melembutkan penampilan ketidaksempurnaan kulit. Saya percaya setiap individu akan menemui keseimbangan tersendiri antara matte dan glow berdasarkan tekstur kulit mereka. Dengan adanya media sosial, lebih mudah untuk orang ramai meneroka dan menemui versi yang paling sesuai untuk diri mereka.

Gambar ihsan Dior

Apakah yang menjadikan kemasan matte terasa moden pada hari ini?

Kemasan matte terasa moden apabila ia tidak kelihatan kapur dan benar-benar menyatu dengan tekstur semula jadi kulit. Saya juga gemar menggabungkan kemasan matte dengan sentuhan glow yang halus. Contohnya, apabila menggunakan foundation matte, saya sering mengaplikasikan Backstage Rosy Glow Stick Blush terlebih dahulu sebelum foundation. Warna dan tekstur pemerah pipi itu akan menyerlah secara lembut melalui foundation, menghasilkan kesan warna yang kabur dan menjadikan kulit kelihatan lebih hidup. Jika anda mahukan kesan yang lebih dramatik, anda boleh menambah bedak untuk menghasilkan kemasan matte yang lebih nyata. Saya juga menyukainya untuk acara tertentu kerana ia memberikan impak visual yang kuat. Apa yang saya kurang gemari ialah solekan matte yang terasa terlalu ketinggalan zaman. Manusia itu hidup, dinamik dan penuh ekspresi. Kulit seharusnya mencerminkan tenaga tersebut.

Apakah yang paling banyak memberi inspirasi kepada anda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan bagaimana ia diterjemahkan ke dalam produk baharu Dior?

Apabila saya menghasilkan koleksi, inspirasi saya biasanya datang daripada dunia fesyen, arkib, penciptaan look serta pengalaman saya sebagai jurusolek. Namun dalam konteks ini, sumber inspirasi terbesar saya ialah pengembaraan dan peluang untuk memahami persepsi kecantikan yang berbeza di seluruh dunia. Kepelbagaian definisi kecantikan sangat mengagumkan. Masyarakat di Thailand, Norway, Sepanyol, Brazil dan pelbagai negara lain mempunyai harapan yang berbeza tentang bagaimana mereka ingin tampil. Menggabungkan semua perspektif ini merupakan pengalaman pembelajaran yang luar biasa.

Saya pernah bekerja dalam pertunjukan fesyen di India dan belajar begitu banyak tentang tona kulit India, teknik pembetulan warna serta pelbagai nuansa yang unik. Saya juga pernah bekerja di Jepun selama beberapa musim pertunjukan fesyen.

Sebagai contoh, ketika bekerja dengan Maria Grazia di Paris, dia mahukan penampilan no-makeup makeup tanpa pemerah pipi, tanpa warna bibir, tanpa apa-apa. Namun apabila kami menghasilkan pertunjukan yang sama di Jepun dengan majoriti model Asia, saya berkata bahawa pendekatan itu tidak boleh diterjemahkan secara literal. Solekan nude bagi wanita Asia sangat berbeza daripada solekan nude bagi wanita Perancis. Perkara seperti ini memerlukan kita untuk terus belajar, mendengar dan menghormati budaya serta keutamaankecantikan setiap tempat yang kita kunjungi. Saya mendapati proses itu sangat memberi inspirasi.

Bagaimanakah primer ini memenuhi keperluan wanita dan lelaki di Asia berbanding di Eropah?

Saya rasa lelaki di Eropah secara umumnya tidak begitu berminat dengan solekan, tetapi mereka sangat menghargai penjagaan diri yang kemas dan rapi. Perkara yang sama juga boleh dilihat dalam kalangan ramai wanita di negara seperti Perancis. Mereka tidak semestinya mahu solekan mereka kelihatan jelas, kecuali mungkin apabila mengenakan gincu. Apabila melibatkan produk asas wajah, mereka lebih menggemari hasil yang kelihatan semula jadi dan tidak terlalu bersolek.

Sebab itulah Veil, terutamanya versi matte, merupakan alat yang sempurna untuk grooming yang tampak semula jadi. Apabila digunakan sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit, ia memberikan efek kabur yang halus sambil membantu meminimumkan penampilan liang pori. Ia ibarat lapisan solekan yang tidak kelihatan namun membuatkan kulit kelihatan lebih sempurna. Di Asia pula, produk seperti ini hampir menjadi satu keperluan kerana ia membantu memastikan solekan kekal tahan lebih lama. Ia menjadi sebahagian daripada ritual kecantikan harian yang lebih menyeluruh. Justeru, kedua-dua primer ini cukup versatil untuk memenuhi keperluan dan tabiat kecantikan pengguna yang berbeza.

Apakah yang paling mengujakan anda tentang evolusi baharu Dior Forever ini?

Dalam banyak aspek, ia telah pun melepasi jangkaan kami. Sudah tentu, matlamat kami sentiasa untuk terus berkembang tanpa pernah mengabaikan pelanggan setia Dior yang telah bersama kami sejak sekian lama. Pada masa yang sama, kami juga mahu kekal relevan dan menarik perhatian generasi yang lebih muda. Ramai yang mengatakan bahawa untuk menarik pengguna muda, anda perlu mengikut trend. Saya tidak begitu percaya kepada perkara itu. Saya percaya kepada kualiti.

Dior tidak mencipta trend. Apa yang kami lakukan ialah menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan prestasi yang benar-benar terbukti. Jika produk itu menyentuh hati pengguna, tidak kira usia mereka, mereka akan menggunakannya dan akhirnya merekalah yang mencipta trend tersebut.

Ada produk yang saya amat sukai kerana kualiti dan prestasinya, tetapi ia tidak pernah menjadi fenomena. Kemudian secara tiba-tiba, generasi muda menemuinya dan menjadikannya tular. Cabarannya ialah trend datang dan pergi dengan sangat pantas. Itulah sebabnya kami lebih gemar mencipta warna-warna yang bersifat abadi dan mampu menarik pelbagai lapisan pengguna. Apabila orang ramai menerima dan menjadikan produk itu sebahagian daripada identiti mereka, trend akan tercipta secara organik. Dan apabila sesuatu itu bertahan melepasi kitaran trend, ia menjadi sesuatu yang kekal relevan.

Bagi kami, perkara paling penting adalah kekal autentik, mendengar pengguna dengan teliti dan memastikan setiap tuntutan yang dibuat adalah benar. Jika kami mengatakan produk itu tahan selama 24 jam, kami tidak akan mendakwa ia tahan 48 jam. Jika kami mengatakan ia transfer-proof, maka ia benar-benar perlu transfer-proof. Kejujuran itulah yang menjadi salah satu kekuatan terbesar kami.

Gambar ihsan Dior

Adakah anda terlibat secara mendalam dalam pemilihan pembungkusan setiap produk?

Ada beberapa projek yang saya benar-benar terlibat secara langsung, antaranya ialah rangkaian Backstage. Ia lahir secara spontan dan bukannya melalui perancangan pemasaran yang konvensional. Ketika itu saya merasakan adanya keperluan untuk mendekati pengguna yang lebih muda. Jadi saya terlibat dalam keseluruhan proses pembangunan produk tersebut. Malah, Backstage bermula hampir seperti sebuah fail konsep yang saya bangunkan sendiri.

Kami juga sangat bertuah kerana berada di bawah sebuah rumah fesyen. Ia membolehkan kami mengambil inspirasi daripada dunia fesyen untuk ‘mendandani’ produk-produk kami dan membentuk identiti yang konsisten serta mudah dikenali. Saya tidak mencipta produk semata-mata untuk mereka yang sentiasa mengejar trend. Sudah tentu saya menghargai golongan pencinta solekan yang gemar bereksperimen dan sentiasa mencuba penampilan baharu kerana saya sendiri begitu. Namun pada masa yang sama, saya sentiasa memikirkan wanita yang tidak semestinya mahu mengikut trend. Dia hanya mahu kelihatan cantik. Dia memilih sesuatu produk kerana dia mempercayainya dan tahu bahawa produk itu boleh diharapkan.

Seperti yang selalu saya katakan, saya suka memperkenalkan warna-warna yang saya benar-benar percaya, disokong oleh tuntutan yang jujur dan kualiti yang terjamin. Pada masa yang sama, elemen fesyen yang saya boleh bawa ke dalam produk menjadikannya lebih menarik dan menggalakkan pengguna untuk bereksperimen. Sebab itulah dalam koleksi musim panas, musim luruh, musim percutian mahupun musim bunga, saya sering memperkenalkan warna yang lebih berani, lebih menyeronokkan dan kadangkala tidak dijangka. Namun pengguna tahu bahawa di sebalik semua kreativiti itu, terdapat kredibiliti yang kukuh.



ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down