Langgan

Ulasan Filem Tarung: Unforgiven

Satu lagi filem aksi.
2 minit untuk membaca
Published: May 12, 2026
Teraju utama 'Tarung: Unforgiven'

Filem aksi bernadi terus sebagai sebuah wadah berbentuk hiburan yang masih belum lagi memperlihatkan perlahannya akan permintaan dalam genre ini. Satu per satu pertarungan dalam layar lebar dipersembahkan dengan sebuah sudut pandang bahawa itu yang penonton kita mahukan. Tidak ada salahnya hal ini namun ia harus bersemi sebuah evolusi dalam penceritaan yang naratifnya diolah kreatif.

Tarung: Unforgiven menjadi sebuah lagi persembahan aksi layar lebar tahun ini. Diceritakan lewat ilham pengarah Razaisyam Rashid bersama penulisan kolaboratif Amar Arif. Ceritanya mudah atau lebih tepat disebut predictable - tentang kesilapan masa silam yang mengganggu masa depan dalam sebuah penyesalan yang berbalut dengan emosi dan dendam.

Nah, itu premis biasa yang ditawarkan dalam kebanyakan filem-filem aksi tempatan. Daripada zaman Yusof Haslam sebetulnya sampai ke zaman Syamsul Yusof berganti generasi adiknya Syafiq Yusof. Pengisian cerita begini sepertinya menjadi identiti filem tempatan yang digunakan berulang formulanya.

Tarung Pada Naratif Yang Mudah

"Tarung: Unforgiven" bergerak atas landasan cerita yang disusun secara berkronologi. Cukup mudah diikuti tanpa peralihan plot yang kompleks. Daripada awal penonton sudah mampu menebak alur ceritanya yang berbalik pada isu kekeluargaan, kasih sayang, persahabatan dan dendam. Hal yang serupa sebetulnya saya dapat dalam 'Gayong 2' yang ditayangkan baru-baru ini.

Satu hal yang baik tentang 'Tarung - Unforgiven' yang membuka mata saya sebagai penonton ialah Mierul Aiman, yang menghidupkan perwatakan Hatta dengan sangat cemerlang. Watak yang ditulis dengan emosi yang berlapis akan tekanan masa silam dan masa depan yang kabur hidupnya, menjadi sempurna bersama Mierul. Kapasiti sebagai pelakon yang dia miliki digunakan sebaik dan seluruhnya. Mierul benar-benar tidak mensia-siakan peluang yang diberi untuk dia mengemudi cereka filem ini.

Saya tidak pasti bila terkahir kali sangat teruja melihat lakonan seorang pelakon tempatan dan Mierul benar-benar buat saya puas. Hal-hal lakonan yang baik ini diteruskan juga dengan watak-watak yang ditangani Amir Ahnaf dan Aedy Ashraf - solid, bersahaja dan tiada hal yang canggung pada pengucapan berdialog merkea. Kekuatan filem ini benar-benar berpaksi pada para pelakonnya.

Barisan watak pembantu sangat kuat. Baik Bront Palarae, Zul Ariffin, Sharifah Sakinah sehingga Azira Shafinaz semua memberi satu densiti dalam menghidupkan filem ini. Jika sekadar bersandar jalan ceritanya, saya mungkin dah keluar awal dari pawagam namun ia benar-benar hidup atas perwatakan yang dibawa para pelakonnya.

Babak aksi harus diberi pujian, ia disusun cukup kemas dengan kecekapan kerja kamera yang menghidupkan babak dengan sangat baik. Setiap bingkai dirakam menjerat emosi setiap yang menonton. Tidak ada hal yang keterlaluan dalam pertarugannya, semua cukup dalam radar yang diperlukan untuk sebuah filem aksi . Cuma sebagai penonton saya masih mahukan naratif baru yang menjadi ia berbeza dan tersendiri.

Betul, filem ini cukup ramuan aksi emosinya, namun cerita ditulis terlalu mudah dan tidak disuntik dengan idea baru dan pengolahan berbeza untuk menjadikan ia tersendiri tanpa dibayangi filem-filem aksi sedia ada. Razaisyam memilih jalan paling selamat bagi menjadikan 'Tarung: Unforgiven' sebuah filem yang mengena dengan tahap kepuasan penonton kebanyakan.

Biarpun secara naratifnya saya kira filem ini adalahkolektif pada cebisan kisah-kisah sedia ada yang disatukan menjadi cereka 'baru' yang terasa lama sifat dan penghasilannya.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down