Langgan

Ulasan Filem: Libang Libu

Kritikan sosial melalui komedi Bobby Husaini
3 minit untuk membaca
Published: April 26, 2026
Libang Libu filem perdana arahan Bobby Husaini

Filem Libang Libu menjadi antara naskhah yang paling banyak dibicarakan tahun ini sebelum pun ia masuk pawagam. Hal ini baik saya kira kerana hebahannya menjadikan filem tempatan semakin diraikan dan mewujudkan pengaruh yang kuat untuk menarik kita ke panggung.

Ilham satira yang mengusik kritikan sosial masyarakat menjadi pertaruhan Bobby Husaini menerusi filem cereka perdananya ini. Sebagai seorang pengarah berpengalaman dalam bidang pengiklanan, saya memiliki satu keinginan besar dan berbeza untuk melihat filem ini datang dengan sesuatu yang lebih segar dan tersendiri.

Latar masyarakat Perak dalam filem tempatan bukan hal baru, Mamat Khalid mungkin peneraju era baru tetapi jika dikilas balik paling era 80-an, seniman seperti Os sudah mewakili dialek ini dalam filem-filem lakonannya. Komedi menjadi paksi, mendengar cara orang Perak berbual saja sudah mampu menjadi modal untuk kita ketawa. Tapi cukupkah itu sebagai bahan untuk mengemudi naskhah cereka yang baik?

 

Satira Yang 'Libang Libu'

Seperti judulnya, 'Libang Libu' sebegitulah jalan ceritanya yang kabur arahnya. Sejam pertama kita dibawa kisah Man Pilem (Amerul Affendi) dan krew produksi filem yang menjalani penggambaran jauh di Lambor, Perak. Di sini kita diperkenalkan pula dengan watak Along Alid (Beto Kusyairi) yang juga abang kepada Man Pilem dan bagaimana konflik dua beradik itu bermula.

Saya kurang jelas awalnya ke mana filem ini mahu berarah. Bahagian pertama dipenuhi kisah di sebalik set penggambaran, kisah kahwin Andak Meor dan Timah Lebor juga agenda LGBTQ pada watak Amir Daniel (Zahiril Adzim) dan Pok Yie (Sabri Yunus). Terus apa sebenarnya akar pada naratif pada filem ini?

Sebagai pengarah saya kira Bobby Husaini juga terlalu banyak berpesan-pesan. Watak Kapak (Syazwan Zulkifly) dan Lan Naga (Kodi Rasheed) digambarkan sebagai gangster tetapi masih punya teguh ilmu agama. Samad (Anas Ridzuan) yang kerap ke surau sebenarnya seorang pervert. Ia ibarat potongan-potongan iklan pesan khidmat masyarakat yang dipanjangkan sebagai sebuah naskhah filem cereka.

Dan tidak berhenti di situ, pesan-pesan yang mahu ditinggalkan ini menjadi begitu jelas dalam perbualan Pok Yie dan Amir Daniel. Orang lembut tidak juga semestinya menyukai kaum sejenis - prejudis masyarakat dicampakkan right to your face. Don't judge a book by it's cover mungkin itu yang mahu disampaikan.

Namun Bobby mungkin lupa, filem bukan iklan. Filem tidak perlu penyelesaian, filem tidak juga semestinya harus menghukum. Filem sebetulnya cukup sekadar bergerak sebagai sebuah bahan fikir, namun saya faham juga siapa yang menonton filem untuk berfikir? Tapi ketika filem ini berpenghujung ada hal yang Bobby membuat saya berfikir.

Beto Kusyairi dan Amerul Afendi sebagai teraju utama.

Kritikan Sosial

Namun tidak adil menilai 'Libang Libu' hanya daripada sudut cerita. Ada banyak hal baik yang saya sukakan tentang filem ini. Pertama cara Bobby menyusun plot - dia mengambil pendekatan non-linear. Filem ini tidak bernaratif jelas daripada awal tetapi bernadi sebagai sebuah sudut pandang Bobby sebagai sutradara.

'Libang Libu' sebetulnya digerakkan oleh watak dan perwatakan bukan cerita. Setiap satu watak dalam filem ini benar-benar hidup dan tidak disia-siakan sekali pun hanyalah watak sampingan sahaja. Hal ini sangat jelas dalam perwatakan Shakoor Rahman dan konfliknya bersama Andak Meor dan Timah Lebor.

Antagonis sebenar seperti biasa dalam kebanyakan filem adalah watak-watak yang tidak begitu dikupas di awal filem. Dan dalam kes 'Libang Libu' - Chom (Nadia Aqilah) watak paling neutral dalam filem ini 'dipersalahkan' di hujung cerita bersama watak Samad.

Sekali pun watak jahat sebenarnya bagi saya ialah Man Pilem namun seperti realiti sebenar kehidupan hari ini, Man Pilem mewakili manusia-manusia yang jahat tapi tidak dihukum malah diselamatkan. Namun untuk menamatkan satu-satu cerita (baik dalam filem atau realiti) akan ada watak yang harus dikambing hitamkan. Malangnya dalam kes ini Chom dan Samad harus memikul semua 'kesalahan' Man Pilem.

Dalam hal ini saya kira Bobby benar-benar mentafsir realiti dalam kritikan sosial dengan cara paling halus yang mungkin ramai terlepas pandang kerana terkabur dengan pesan-pesan khidmat masyarakat di awal filem tadi. Saya senang dengan cara Bobby menyudahkan filem ini dengan meninggalkan pengisian paling penting dalam filem ini.

Kredit harus diberikan pada hampir semua pelakon di filem ini yang menghidupkan perwatakan dengan sangat cemerlang sekalipun screen time mereka singkat. Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Sara Ali, Ozlynn, Nabila Huda dan Azhan Rani. Beto da Amerul miliki screen presence yang sangat besar dan lakonan mereka berdua jarang gagal di layar.

Sebelum menonton di panggung anggapan bahawa Bobby adalah pelapis Mamat Khalid itu sangat kuat. Secara dasarnya iya, terutama sekali latar masyarakat, budaya dan tempat. Namun sebenarnya jika diamati cara dan pendekatan Bobby itu sangat dekat dengan apa yang Othman Hafsham pernah lalukan dalam satira cerekanya sebelum ini.

Saya kira ini permulaan yang baik untuknya menerajui arus perfileman tempatan untuk masa mendatang. Ia membuat saya pulang memandu ke rumah berfikir-fikir tentang ending filem ini dan mengapa Man Pilem 'diselamatkan'. Dan mungkin ini ending yang paling realistik pernah kita ada dalam filem tempatan setahun dua ini kerana di dunia sebenar yang akan kita selamatkan adalah orang-orang yang dekat dengan kita sekalipun mereka salah.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down