Langgan

Vanessa Toolseram, Si Gadis Pulau

Perjalanan tidak selalu bermula dengan peta atau destinasi. Kadangkala ia bermula dengan keberanian
3 minit untuk membaca
Published: April 1, 2026

Seorang pengembara, pencipta dan pemerhati alam, Vanessa Toolseram membentuk kehidupannya melalui pilihan yang tidak konvensional. Dipengaruhi oleh falsafah Tao, pengalaman merentas budaya dan kecintaan terhadap proses mencipta dengan tangan.

Di Cherating, pantai bukan sekadar destinasi percutian. Ia menjadi ruang kehidupan, ruang berfikir dan berkarya. Di sini, Vanessa memilih untuk menetap dan membina dunianya sendiri yang jauh daripada kesibukan bandar. Melalui Kedai Tepi Pantai, dia menggabungkan kraftangan, kreativiti dan komuniti sebagai satu bentuk ekspresi kehidupan yang lebih perlahan, lebih jujur dan lebih bererti.

ELLE: Apa yang membuatkan anda tertarik dengan dunia pantai dan lautan?

Vanessa: Bagi saya, pantai dan laut itu mengingatkan saya untuk memperlahankan diri dan kembali kepada rentak semula jadi kehidupan. Berada di tepi laut mengajar saya untuk memerhati, mendengar dan menerima keadaan seadanya. Ombak sentiasa berubah tetapi tetap mengalir dan itu mengingatkan saya bahawa hidup tidak perlu tergesa-gesa untuk jadi bermakna. Ia sangat selari dengan falsafah Tao dan konsep kehidupan santai yang saya amalkan.

E: Boleh ceritakan bagaimana anda boleh terlibat dalam dunia sukan luncur air dan penglibatan sebagai jurulatih untuk sukan ini?

V: Minat saya terhadap lautan bermula sejak kecil, dipengaruhi oleh ibu bapa yang gemar membawa kami berkelah dan berkhemah di pantai, serta dorongan ayah yang sentiasa mengajar kami untuk berani mencabar diri. Selain itu, kartun Rocket Power turut mencetuskan minat saya terhadap sukan luncur air, yang akhirnya membawa saya mencuba kelas pertama di Desaru dan jatuh cinta dengan ombak.

Perjalanan menjadi jurulatih pula berlaku tanpa dirancang, selepas meninggalkan kerjaya dalam industri fesyen kerana keletihan, saya mengembara mencari makna hidup sebelum menerima tawaran daripada rakan untuk menjadi jurulatih di sekolah luncur air Jomsurf, di mana saya akhirnya menemui kepuasan dalam berkongsi minat dengan orang lain.

E: Boleh cerita sedikit tentang projek yang anda sedang usahakan dan apa yang menarik tentang projek itu?

V: Sebelum Kedai Tepi Pantai, saya melakukan satu pengembaraan berbasikal solo merentasi Jawa yang saya namakan Batik Road Map. Projek ini bertujuan menghubungkan bandar-bandar batik serta individu yang terlibat dalam industri batik. Saya merakam visual dan menjalankan temu bual dengan hasrat menghasilkan dokumentari mini.

Projek ini masih dalam proses tetapi perkara paling menarik bagi saya pabila dapat bertemu para penggiat seni, mendengar kisah hidup mereka dan melihat bagaimana hasil kraftangan ‘hidup’ di tangan pembuatnya. Ia juga membuka perspektif tentang makna kebahagiaan dan kepuasan hidup dan sesuatu yang sangat mempengaruhi apa yang saya lakukan hari ini.

E: Di mana anda melihat kelebihan Kedai Tepi Pantai dan boleh ceritakan sedikit tentang konsepnya?

V: Keistimewaan Kedai Tepi Pantai terletak pada pendekatan yang berjiwa. Di sini, kualiti, kebahagiaan dan tujuan hidup didahulukan berbanding jualan. Segala yang kami lakukan berteraskan kepercayaan, kasih sayang dan perkongsian sama ada melalui produk buatan tangan, bengkel kreatif atau hubungan dengan komuniti.

Konsepnya ringkas dimana ia tentang langkah yang perlahan, menghargai keindahan hidup dan mewujudkan ruang untuk manusia berhubung semula dengan kreativiti, budaya, diri sendiri dan satu sama lain.

E: Apakah pengalaman yang paling bermakna buat anda sepanjang anda mengembara?

V: Kesedaran bahawa kemanusiaan dan kasih sayang masih wujud. Itulah yang menjadikan dunia ini terus penuh harapan dan keindahan.

E: Apakah yang mendorong anda untuk terus menerokai dunia dan apakah makna pengembaraan bagi anda? 

V: Saya terdorong oleh keseronokan dan cabaran yang datang bersama pengembaraan. Ia mengajar saya menyelesaikan masalah, keluar daripada zon selesa dan menemui potensi diri yang tidak pernah saya sedari. Bagi saya, pengembaraan adalah tentang pembelajaran dan penemuan bukan hanya tentang tempat tetapi juga tentang diri sendiri.

E: Boleh kongsikan sedikit tentang impian dan harapan masa depan anda berdasarkan apa yang anda lakukan sekarang? 

V: Saya ingin sentiasa mengingatkan diri untuk berseronok, memberi masa untuk diri sendiri dan memahami apa yang benar-benar membahagiakan saya. Saya berharap dapat terus memberi, mempercayai gerak hati dan membiarkan kasih sayang membimbing setiap pilihan hidup. Paling penting, saya mahu kekal ingin tahu kerana rasa ingin tahu sentiasa membuka pintu dan membawa kita ke arah kehidupan yang lebih bermakna. 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down