
Ditulis lewat sejarah, pertama kali lagu raya dirakamkan adalah oleh penyanyi bangsawan, Aminah Raden Nani. Diedarkan pada tahun 1936, lagu yang diberi judul ‘Selamat Hari Raya’ ini dicipta oleh Tengku Ali Basha yang juga seorang pemuzik bangsawan yang dikenali dengan nama Che Ara Bangsawan.
Sejak itu, lagu keraian Syawal menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat dalam meraikan hari raya. Kemeriahan menjadi kunci pada penciptaan sehinggalah Seniman P. Ramlee mencipta ‘Dendang Perantau’ sebagai lagu raya pertama yang mengusung ilham sayu dalam penciptaan lagu-lagu raya. Beredar sekitar tahun 1953 ia menjadi satu kejutan manis dan diterima terbuka sehingga menjadi hit klasik raya berganti generasi.
‘Selamat Hari Raya’ nyanyian asal Nona Asiah dirakamkan semula Puan Sri Saloma lewat era 1950-an dengan rendisi yang lebih Pop penghasilannya. Sejak itu melodi raya berkumandang penuh kemeriahan dengan lambakan lagu-lagu raya yang semakin banyak dihasilkan di era 60-an.
Kebangkitan Pop Yeh Yeh membuka ruang dalam penghasilannya melewati batas muzik tradisional. A. Ramlie bersama kugirannya, The Rhythm Boys dan M. Shariff bersama The Zurah pada era 70-an mencipta sesuatu yang berbeza untuk pendengar ketika itu. Peralihan ini bagaimanapun tidak melumpuhkan populariti lagu-lagu klasik P. Ramlee, Saloma dan Sanisah Huri yang masih diperdengarkan setiap kali musim perayaan.
Memasuki era 80-an pengaruh muzik Disko, City Pop dan Dance disatukan dalam ilham nostalgia membentuk sound baru lagu-lagu raya seperti ‘Pulang di Hari Raya’ (Noorkumalasari), ‘Senandung Raya Untukmu’ (Dayang Ku Intan), Indahnya Beraya di Desa (Azlina Aziz) dan ‘Hari Mulia’ (Sheila Majid) mendominasi pasaran dengan idea baru dan kemasan muzik yang lebih segar.
Biduanita Sharifah Aini menjadi figura seni yang paling banyak merakamkan semula rangkaian klasik lebaran bermula era 70-an sehingga 90-an. Kepelbagaian muzik di era 80-an turut membuka ruang untuk kugiran Rock tempatan bereksperimentasi dengan idea muzik baru. Lagu seperti ‘Cahaya di Aidilfitri’ oleh Black Dog Bone yang menjadi instant classic ketika diedarkan.

TRANSISI NOSTALGIA LAGU RAYA KE ‘EUPHORAYA’
Era 90-an mengembalikan kegemilangan penghasilan lagu-lagu tradisional. Pak Ngah mengemudi penciptaan melodi Joget, Zapin, Dondang Sayang dan Keroncong. ‘Sesuci Lebaran’ pastinya menjadi lagu raya paling fenomena bermula lewat 90-an. S. Atan seorang lagi individu penting dan cukup banyak menghasilkan melodi perayaan.
Musim beralih, generasi berganti - persembahan lagu-lagu raya bertumbuh seiring zaman beredar. Generasi pelapis era 2000 menghasilkan sesuatu yang lebih moden dan dengan itu terhasil lagu-lagu seperti ‘Anugerah Syawal’ (Bunkface) dan ‘Salam Aidilfitri’ (Hujan) antara yang memberi nafas baru penghasilan muzik.
Era baru penggubahan menemukan hayat baru lewat bakat generasi kini seperti De Fam, Aisha Retno, Aziz Harun, Mimifly dan Nabila Razali antaranya. Kebangkitan idea baru yang saya sebut sebagai ‘euphoraya’ - menggabungkan satu kegilaan idea moden yang diserap dalam ilham nostalgia lagu raya.

Pop di tangan komposer pelapis seperti Glowrush, Iqie Hugh, Hael Husaini, John Jeeves antara yang siap menciptakan fenomena baru lagu-lagu raya dengan penghasilan hit seperti ‘Alamak Raya Lagi, ‘Nyam Nyam Ketupat’, ‘Meriah Lain Macam’ dan ‘Ketipak Ketipung Raya’ antaranya.
Kreativiti penciptaan melodi raya semakin beragam dengan kolaborasi Dolla bersama Hael Husaini menerusi ‘Suara Lebaran Kita’ yang menggabungkan ilham Pop, EDM dan pada masa yang sama masih kekal pada ritma penuh nostalgia. Ia dicipta seiring peredaran trend muzik dan demand pendengar muda yang mahukan sesuatu yang luar daripada penciptaan konvensional. Dolla menerusi ‘Raya Raya Raya’ telah memulakan trend ini sebagai satu titik mula evolusi yang lebih moden.
Mimifly semakin meliar dengan idea dan kreativiti penciptaan lagu. ‘Serumpun’ yang beredar tahun lalu menjadi naskhah yang mendominasi permintaan pendengar. Ia tidak dihasilkan sekadar sebagai ilham lagu sahaja namun bergerak lengkap seni visual yang menjadi perbualan awam. Kehadiran ‘Serumpun’ saya sifatkan sebagai sesuatu yang cukup berani dan melawan arus pasaran muzik semasa sekali gus menjadi the brand new raya anthem.
