Musim raya datang lagi, alunan lagu raya pasti menjadi perhatian sebagai ilham memeriahkan keraian. Tahun ini lebih 50 lagu terhasil dengan cukup kompetitif dan beragam. Berikut senarai lagu-lagu raya terbaik pilihan ELLE tahun ini.
JODOH LEBARAN / AISHA RETNO
Terhasil dalam acuan muzik Joget yang cukup moden. Melodinya mudah didekati dengan korus yang cukup catchy. Menonton muzik videonya menambah kemeriahan yang diperlukan untuk kita benar-benar enjoy dengan penghasilan lagu ini. Setelah "Ketipak Ketipung Raya" Aisha sekali lagi mencipta momen cemerlang penciptaan lagu-lagu raya yang moden sifatnya.
SENYUM GUGUR DI PENGHUJUNG DOA / DAYANG NURFAIZAH
Disaat ramai penyanyi tampil dengan lagu-lagu raya bernuansa Pop yang moden, Dayang tampil berbeza dengan melodi sayu lewat penciptaan lagu "Senyum Gugur di Penghujung Doa". Karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh ini cukup dekat dengan jiwa-jiwa yang pernah kehilangan insan tersayang. Emosi Dayang benar-benar dirasai dalam pengucapan bait-bait lirik yang dilantunkan sebaiknya.
RAYA MACAM RAYA / ALPHA & HAEL HUSAINI
Penciptaan lagu raya moden diteruskan dengan kolaborasi paling dinanti tahun ini. ALPHA bersama Hael Husaini menciptakan impak baru menerusi lagu "Raya Macam Raya". Penyatuan Pop, EDM dan infusi K-Pop membentuk lagu ini lebih moden dan bertumpu pada pendengar yang lebih muda.
KAMPUNG KITA / WANI KAYRIE
Wani Kayrie bergerak solo tahun ini menerusi penghasilan lagu rayanya. Jika tahun lalu "Nyam Nyam Ketupat" mencuri perhatian, tahun ini Wani bersama komposer muda Hanis Rafi menghasilkan lagu berjudul "Kampung Kita" yang berteras muzik tradisi Melayu. Cukup manis, lembut dalam ilham muzik tradisi yang dekat dengan sambutan hari raya.
BILA LAGI NAK JUMPA / FAIZAL TAHIR & SENARIO
Faizal Tahir meneruskan ilham penciptaan lagu-lagi rakyat lewat penghasilan "Bila Lagi Nak Jumpa" Cukup meriah, ceria dan heboh dengan kolaborasi bersama Senario menciptakan kembali memori lagu-lagu raya era 90-an yang banyak datang dalam inspirasi muzik serupa. Cukup catchy dan menghiburkan sesiapa sahaja yang mendengar.
RAYA DENGAN SAYA / SITI NRHALIZA
Ratu lagu-lagu raya ini kembali lagi tahun ini dengan single "Raya Dengan Saya". Dihasilkan dalam ilham Pop Tradisional yang sememangnya menjadi kekuatan Siti sebagai penyanyi. Kemeriahan dalam penghasilan lagu ini dirasai dengan penciptaan korus yang menyenangkan dan mudah diikuti.
POK PEK RAYA / DE FAM
Setelah cukup booming dengan penghasilan lagu "Alamak Raya Lagi" De Fam kembali tahun ini dengan another banger menerusi "Pok Pek Raya". Seperti dijangka penghasilannya cukup rancak, catchy dan melekat sekali dengar. Penulisan lirik cukup santai dalam gaya bahasa harian lewat lagu ini mendekatkan pendengar dengan penciptaannya.

