
Lebih dua dekad mengemudi pasaran muzik tempatan dengan rangkaian lagu-lagu patah hati yang sinonim dengannya, Misha Omar tahun ini mengorak langkah dalam memberikan sesuatu yang cukup istimewa untuk penggemar muziknya.
Konsert berskala besar diberi nama "DiA - Misha Omar" akan dilangsungkan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November 2025. Menyifatkan konsert ini sebagai sejarah penting yang bakal tercetak dalam karier seninya setelah 20 tahun menyanyi.
“Konsert ini bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier yang telah ditapaki lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat."
Tiket bermula harga RM288 (SILVER), RM388 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM588 (DIAMOND), RM688 (VIP 2), RM1,200 (VIP 1), RM1,200 (2 PAX; ROYAL TWIN SEAT) boleh dimiliki menerusi pembelian di Jiotix Asia.

Kemunculan Single Baru Misha Omar
Selain perkhabaran konsert yang dikongsi bersama peminat, baru-baru ini Misha Omar turut menghadirkan sebuah single terbaru berjudul "Break" yang diedarkan di semua platform muzik digital.
Lagu ciptaan Melly Goeslaw sepenuhnya ini digarap muziknya oleh produser, Tohpati yang sebelum ini banyak bekerjasama dengan penyanyi hebat seperti Sheila Majid dan Ruth Sahanaya antaranya. Lagu ini telah dirakamkan di Jakarta.
Menerusi siaran media, dia berkata "Judulnya, melodi dan lirik semuanya dihasilkan khas untuk saya. Sebagai penyanyi, saya mahu menyampaikan karya ini dengan penghayatan terbaik agar benar-benar sebati dengan jiwa pendengar."
Sehingga hari ini penyanyi ini memiliki tiga album penuh dan sebuah album kompilasi. Antara lagu-lagu popularnya yang lain adalah "Bunga-Bunga Cinta", "Pulangkan", "Sampai Bila" dan "Tiada Lagi Tangisan".

